Ejen Perubahan Komuniti

Perlahan saja pergerakan cacing tanah itu selepas berjaya ditangkap beberapa remaja lelaki. Bagi peserta perempuan, ada yang suka melihatnya malah tidak kurang yang geli. Ada yang takut, ramai juga yang berani.

Tapi apabila diberi peluang, kanak-kanak ini sebenarnya tidak menolak untuk terjun ke dalam sungai, malah sanggup meredah hutan rimba walaupun hanya seketika.

Sememangnya seronok dan lucu melihatkan gelagat 60 kanak-kanak bandar yang berkampung di Alang Sedayu, Gombak, minggu lalu bagi mengikuti Kem Eko Kiehl’s sempena musim cuti persekolahan ini.

Kem yang turut dianjurkan Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) itu bertujuan memberi inspirasi kepada peserta berusia lapan hingga 17 tahun agar lebih menghargai alam sekitar, sekali gus menjadi ejen penyebar kesedaran melestarikannya pada masa depan.

Banyak negara Barat dan Asia antaranya beberapa negara yang berjiran dengan Malaysia mula menitikberatkan kesedaran alam sekitar di peringkat akar umbi.

Kanak-kanak seawal usia tiga tahun di negara terbabit mula diajar cara kitar semula di rumah lalu usaha itu diteruskan di tadika dan sekolah.

Atas kesedaran yang ada dalam kalangan ibu bapa, nilai ini mudah dipupuk hingga membuatkan kanak-kanak terbabit terbiasa dengan perkara membabitkan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) ini.

Seperti apa yang dikatakan Aishah Sinclair, salah seorang ahli lembaga pengarah merangkap jurucakap YAWA, menjaga, memulihara dan memelihara alam sekitar ini sebenarnya mudah dilakukan tapi ramai yang masih enggan bergerak ke arah perubahan.

“Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah seseorang kanak-kanak itu. Setiap ibu bapa menitikberatkan pelajaran dan pengajaran yang baik untuk anak masing-masing, lalu kesedaran menjaga alam sekitar kita perlu diselitkan dalam dua elemen ini agar dapat membentuk peribadi yang baik secara keseluruhan.

“Apa yang cuba dilakukan YAWA dan Kiehl’s ini diharapkan dapat mengembangkan lagi gelombang kesedaran dalam kalangan generasi muda yang kemudian akan disebarkan kepada masyarakat seluruhnya.

“Kanak-kanak inilah yang akan menjadi ejen perubahan untuk komuniti mereka,” ujarnya.

Kem tiga hari ini menyaksikan peserta daripada beberapa sekolah sekitar Lembah Klang mempelajari dan mengkaji sains alam menerusi aktiviti interaktif dan menyeronokkan.

Menariknya, apa yang sudah dipelajari ketika dalam kelas sains di sekolah dapat diaplikasikan dalam beberapa aktiviti kumpulan antaranya menguji kualiti dan ketumpatan air, mencari hidupan air di kolam juga sungai berhampiran, eksperimen mengesan karbon dioksida, mengkaji spesimen air serta mengenal pasti serangga yang tidak berbahaya.

Tidak lengkap aktiviti kumpulan tanpa disertakan acara pertandingan yang menawarkan hadiah menarik. Kumpulan 6 dikenali sebagai Asli Jakun (sempena nama salah satu kaum orang asli di negara ini), muncul juara apabila menerima markah tertinggi dalam hampir semua cabaran.

Juara, naib juara serta pemenang tempat ketiga menerima hadiah produk penjagaan wajah dan tubuh daripada Kiehl’s.

Salah seorang ahli kumpulan Asli Jakun, Mohd Nazhan Nazir, 16, berkata kem seperti ini membuka mata dan minda mereka untuk melihat dunia daripada dimensi berbeza.

“Kami dapat bertemu kenalan baru dan melakukan aktiviti yang selama ini difikirkan mustahil. Kem ini banyak membantu kami menggunakan sebaiknya semua deria terutama apabila membabitkan aktiviti survival,” katanya.

Pada masa sama peserta berpeluang mempelajari seni muzik kaum Orang Asli dikenali sewang iaitu alunan nada menggunakan buluh.

Seorang ketua atau pengendali kumpulan akan menceritakan aktiviti harian mereka dalam bentuk nyanyian bagi mengiringi hentakan alunan buluh itu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

564 views