Elak Kulit Kusam
Kulit yang bersinar dan bercahaya dapat menggambarkan tahap kesihatannya yang sebenar. Namun, jenis dan ton kulit kadang kala boleh berubah disebabkan beberapa faktor yang menyebabkan keadaannya tampak berbeza daripada biasa.
Ditambah dengan faktor alam sekitar yang kurang sihat juga boleh menggalakkan kulit wajah tampak kusam. Pelbagai produk digunakan bagi mengatasi masalah berkenaan namun hasilnya tidak seperti diharapkan.
Bahkan kebanyakan wanita hari ini lebih menggemari produk kecantikan yang mempunyai pelbagai fungsi dan mudah digunakan terutamanya bagi individu yang sentiasa sibuk dengan tugasan di pejabat untuk memastikan kulit tampil cantik, menunjukkan kesan segera dan kesannya itu kekal lama.
Menurut Pengarah Eksekutif Pembangunan Global Produk dan Rawatan Clinique, Ida Wong, ahli dermatologi dan saintis memberitahu bahawa jenis dan ton kulit akan berubah secara beransur-ansur.
“Perubahan ton kulit ini boleh berlaku dan kesannya berbeza mengikut etnik. Misalnya, kulit yang gelap akan kelihatan kelabu atau pudar manakala kulit orang Asia pula menjadi kusam atau kekuningan dan orang berkulit cerah bertukar kemerah-merahan.
“Perubahan pada ton kulit sukar dikenal pasti dengan melihat wajah sendiri di cermin namun ia tampak ketara apabila kita membandingkan gambar lama dan terkini.
“Perkara yang menjadi kebimbangan ramai wanita ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti keadaan alam sekitar, kerosakan akibat sinaran matahari, penuaan dan gaya hidup yang mengakibatkan kulit kelihatan kusam serta tidak sihat,” katanya.
Memahami kebimbangan dan kehendak wanita pada masa kini, Clinique memperkenalkan Moisture Surge CC Cream SPF 30/PA+++ untuk membantu mengimbangkan kembali ton kulit yang kemerah-merahan, kusam dan tidak sekata.
Katanya, krim CC sesuai digunakan untuk semua jenis kulit dan mereka yang mahu mengimbangi perubahan warna pada wajah dengan rawatan yang lebih ringan, menyegarkan, menghidrat selain membantu menangkis serangan daripada pencemaran alam sekitar.
“Ia boleh dipakai dengan cara berbeza mengikut keperluan kulit sama ada disapu pada wajah begitu saja atau sebelum mengenakan bedak asas.
“Penggunaan krim CC ini akan membantu menangani masalah perubahan ton kulit dengan mengembalikannya kepada warna asal menerusi teknologi canggih bagi meneutralkan kulit agar kelihatan cerah, sihat dan semula jadi.
“Di samping membantu memperbetulkan ton kulit, formula krim ini juga melancarkan proses penghidratan dan perlindungan daripada sinaran matahari kepada wajah,” katanya.
Krim CC berkenaan didatangkan dalam lima warna berbeza mengikut keadaan dan keperluan kulit, terdiri daripada tiga ton berbeza iaitu Natural Fair, Natural dan Natural Beige untuk membantu mengimbangkan kembali keadaan kulit yang mula berubah.
Dua warna lagi iaitu Fresh Pink dan Fresh Peach masing-masing berfungsi untuk mengatasi masalah ton kulit yang berubah kepada kekuningan atau kusam untuk penampilan lebih cerah.
Jelasnya lagi, krim CC berbeza dengan krim BB dan ramai yang masih keliru dengan fungsinya untuk disapu pada kulit wajah.
“Ramai orang mungkin mahu membandingkan krim CC dengan krim BB kerana ia adalah antara dua trend yang sedang hangat di Asia.
“Krim BB adalah untuk individu yang mahu memperbaiki tekstur kulit yang lebih lembap dan liputan penuh pada wajah dengan kemasan yang tidak berkilau.
“Berbanding krim CC yang berfungsi untuk membantu tekstur kulit lebih cerah, memberi kemasan sederhana dan menjadikan kulit berkilau dengan sentuhan yang lebih ringan,” katanya lagi.