Elak Rambut Gugur
Bangun saja daripada tidur pasti ada beberapa helai rambut melekat di bantal. Kecewa rasanya kerana sudah banyak produk digunakan untuk mengelak atau paling tidak pun mengurangkan masalah keguguran rambut.
Namun diri tidak pernah mengalah dalam usaha memperoleh rambut yang bukan saja cantik dan kemas, tapi kukuh struktur akarnya.
Kebanyakan penggaya mengesyorkan pemilihan syampu dan perapi yang sesuai dengan masalah kerosakan rambut kerana ia bukan saja membantu menyelesaikan masalah itu, malah melindungi rambut daripada kerosakan lain.
Tetapi tidak banyak pula produk di pasaran yang dihasilkan untuk membantu memperbaiki semua masalah rambut dalam satu botol. Lazimnya, syampu dan perapi daripada jenama sama manakala penjagaan susulan seperti serum serta vitamin rambut terpaksa menggunakan jenama lain.
Ada juga yang terpaksa menggunakan syampu dan perapi berlainan bagi menepati keperluan rambut. Keadaan akan jadi lebih rumit jika rambut kerap diwarnakan dan menjalani proses kimia seperti melurus atau mengerintingkannya di salun.
Sedar dengan keperluan itu, Pureology memperkenalkan inovasi terbarunya, Strength Cure, yang mampu menyuntik penampilan lebih bermaya pada rambut biarpun sering diwarnakan.
Rangkaian penjagaan rambut Strength Cure ini dijana daripada astaksantin (atau astaxanthin) bagi memastikan keseimbangan dalam memperbaiki kekuatan dalaman rambut.
Astaksantin, antioksidan berkuasa tinggi daripada tumbuhan seterusnya digabungkan bersama kompleks antipudar untuk membantu menjaga rambut yang diwarnakan, selain memperbaiki rambut rosak berikutan pendedahan berterusan kepada haba dan produk kimia.
Seramida, keravis dan arginina seterusnya membantu menggantikan ikatan sisteina yang rosak dan memulihkan kutikel untuk hasil rambut yang lembut dan teguh.
Variasi haruman flora dan aromaterapi antaranya lavender, pic, kesturi dan vanila ditambah bagi melengkapkan pengalaman rawatan rambut Strength Cure ini.
Jelas Pengurus Pendidikan bagi L’Oreal Malaysia Randall Wong, ramai wanita bimbang mengenai keadaan rambut mereka terutama yang mengalami kerosakan, namun enggan memberi tumpuan dari segi penjagaan kerana rasa terbeban dengan pelbagai produk.
“Apa yang cuba dilakukan Pureology menerusi sistem Strength Cure ini ialah menggabungkan semua keperluan bagi menangani rambut rosak dalam satu rangkaian khusus.
“Pada masa sama, Strength Cure membantu menghasilkan rambut yang lebih lembut dan terurus menerusi penjagaan menyeluruh,” katanya.
Berdasarkan ujian memberus rambut yang dijalankan, 97 peratus mendapati adanya peningkatan terhadap tahap kekuatan rambut selepas sekali penggunaan syampu Strength Cure disusuli perapi dan serum Split End Salve.
Menariknya, Pureology menggunakan bahan semula jadi dalam setiap produknya bagi meminimumkan penggunaan bahan kimia pada rambut dan tubuh.
Formula Pureology terdiri daripada 100 peratus ekstrak tumbuh-tumbuhan dan sesetengah rangkaian syampunya yang sifar sulfat dirumus daripada ekstrak kelapa, jagung dan gula untuk pembersihan lembut sambil memastikan warna rambut kekal lama.