Elak Serangan Hipoglisemia

Boleh berpuasa atau tidak? Apabila diajukan kepada pesakit diabetes, pertanyaan ini akan menjadi tajuk perbincangan utama terutama menjelang Ramadan. Ini kerana rata-rata penghidap kencing manis akan berusaha berpuasa sehingga sampai waktu berbuka kerana berasa ia tidak membahayakan kesihatan.

Bagi penghidap diabetes jenis 1 mungkin tidak menjadi masalah, berbeza dengan jenis 2 yang memerlukan pemantauan lebih ketat daripada doktor serta disiplin dalam pengambilan makanan.

Namun pesakit kencing manis jenis 2 dan tidak memerlukan suntikan insulin biasanya dapat menjalani ibadah puasa tanpa sebarang masalah, berbeza dengan mereka yang memerlukan suntikan insulin biasanya perlu berjumpa doktor untuk mengetahui jenis insulin, ubat-ubatan serta pemakanan.

Ini diperjelaskan lagi mengenai penyelidikan terbaru dalam kajian epidemiologi yang turut menunjukkan peningkatan 7.5 kali ganda hipoglisemia atau gula darah rendah dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 yang nyata lebih kerap berlaku pada Ramadan berbanding bulan lain.

Menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin, pesakit diabetes jenis 2 boleh berpuasa, tetapi perlu berdisiplin dalam pengambilan makanan dan kesihatan mereka. Ini kerana secara purata mereka harus berpuasa selama 14 jam dan bagi pesakit diabetes sudah tentu ia memberikan risiko kesihatan jangka pendek dan panjang.

“Selain itu, mereka juga tidak mengambil sebarang ubat-ubatan dan insulin sepanjang tempoh berpuasa (pada waktu siang) yang akan menyebabkan kenaikan paras gula dalam darah. Begitu juga dengan keadaan cuaca yang panas serta pergerakan fizikal menyebabkan pesakit mengalami dehidrasi yang teruk. Pesakit juga pasti akan mengambil makanan yang sedikit ketika berbuka dan bersahur yang akan menjadi punca hipoglisemia,” katanya.

Untuk mengelak sebarang komplikasi berlaku pesakit digalakkan bersahur lambat, tetapi disarankan berbuka puasa tepat pada masanya bagi mengelakkan sebarang komplikasi akibat berpuasa seharian. Pengawasan secara tetap terhadap paras gula darah sememangnya mandatori semasa Ramadan.

“Pengukuran tahap gula darah sebaik-baiknya dijalankan pada awal pagi sebelum puasa dan selepas iftar dan sahur. Tetapi jika sesuatu berlaku ketika berpuasa, mereka dinasihatkan agar segera berbuka puasa dengan mengambil minuman untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini. Apa yang penting sepanjang berpuasa, pesakit digalak mengawasi aras gula darah dengan lebih kerap pada waktu siang,” katanya.

Semasa berpuasa, penting bagi pesakit mengenali tanda hipoglisemia dan mengetahui cara menanganinya. Ini boleh dilakukan dengan mengukur paras gula darah dengan cara tertentu, meminum air yang cukup dan mengamalkan kesederhanaan dari segi pemakanan.

“Hipoglisemia merujuk keadaan apabila kandungan glukosa berkurangan dalam darah dan berada di bawah paras normal. Tanda hipoglisemia termasuklah rasa gelisah dan tidak tentu arah, lemah, teramat lapar, berpeluh, pucat, berdebar-debar, menggeletar, denyutan nadi terlalu laju dan tidak sedarkan diri sekiranya terlalu serius. Apabila ini berlaku, mereka seharusnya berbuka puasa. Penting bagi pesakit mengetahui tanda komplikasi kesihatan bagi mengelakkan sebarang masalah serta komplikasi lebih teruk,” ujarnya.

Bagi mengelak sebarang masalah, pesakit diabetes jenis 2 perlu mengambil makanan berkhasiat dan seimbang ketika waktu berbuka dan bersahur. Untuk sahur, pesakit disarankan mengambil makanan seperti gandum dan kekacang kerana makanan ini merembeskan gula dengan perlahan. Ketika berbuka puasa pula, makanan seperti buah-buahan serta makanan berkarbohidrat amat digalakkan untuk merembeskan gula dengan cepat.

Hipoglisemia juga berlaku disebabkan jenis ubat yang diambil pesakit untuk mengawal paras glukos dalam darah. Dua jenis ubat yang selalu digunakan di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea. Metformin yang berfungsi memperbaiki paras glukos dalam darah tanpa merangsang pengeluaran insulin mampu meminimumkan atau tidak mendatangkan risiko hipoglisemia. Sulfonylurea pula boleh menyebabkan risiko ketara hingga tercetusnya hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran insulin selagi berada dalam badan.

Aplikasi mudah alih Apple

Menyedari pentingnya maklumat yang jelas mengenai diabetes dan puasa, MSD melancarkan aplikasi mudah alih Apple sejak 2012 lalu bagi membantu pesakit diabetes menguruskan aras gula darah dengan cara lebih mudah. Pada 2013 pula, aplikasi mudah alih Apple MSD ini dan risalah maklumat untuk pesakit bertajuk Fakta Mengenai Amalan Berpuasa dikemas kini dan diedarkan manakala pada tahun ini (2014), Kempen Ramadan MSD diteruskan dengan pelancaran resipi untuk pesakit diabetes dan laman web fakta mengenai amalan berpuasa.

Menurut Pengarah Perubatan MSD Dr Yeoh Boon Hock, aplikasi serta kit maklumat ini terhasil apabila pihaknya menyedari cabaran dihadapi jutaan pesakit diabetes Islam seluruh dunia yang tetap ingin berpuasa.

“Dengan memanfaatkan kuasa dan capaian teknologi mudah alih yang ada hari ini, kami ingin memberi peluang dan membantu pesakit diabetes jenis 2 menunaikan kewajipan mereka sepanjang Ramadan.

“Pada masa sama kami sentiasa berusaha menghasilkan alat bantuan baru dan lebih baik untuk menyokong masyarakat diabetes dengan pelbagai cara. Malah, sepanjang dua tahun sejak diperkenalkan pesakit diabetes menyambut baik dan menggunakan secara positif,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi dan kit maklumat di Sri Hartamas Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fakta mengenai amalan berpuasa pada Ramadan adalah kit maklumat yang disediakan bertujuan menambah dialog antara pakar kesihatan dengan pesakit mengenai pengurusan gula darah yang rendah sebelum Ramadan.

Aplikasi berkenaan mengandungi maklumat penting mengenai Ramadan seperti waktu solat, waktu matahari terbit dan waktu matahari terbenam berdasarkan lokasi pengguna dan kompas yang menentukan arah kiblat. Aplikasi ini juga mengandungi pengesan gula dalam darah yang memudahkan laporan dihantar mengenai aras glukosa kepada pengamal kesihatan sepanjang Ramadan secara terus melalui e-mel.

Pada masa sama, aplikasi ini juga memberikan saranan umum mengenai aras gula darah yang mengharuskan pesakit berbuka puasa disebabkan risiko gula darah yang rendah.

“Antara ciri penting lain adalah cadangan soalan kepada pakar kesihatan sebelum mula berpuasa Ramadan termasuklah sajian makanan dan rawatan yang boleh dijalani,” katanya.

Resipi untuk pesakit diabetes juga dipelbagaikan supaya dapat menggalakkan pemakanan berkhasiat. Untuk itu, MSD mendapatkan kerjasama pakar diet klinikal dan bertauliah Sandra Mikhail untuk menyediakan kad resipi dengan bantuan chef tempatan yang menunjukkan cara memasak. Antaranya stew daging, paella ringkas, telur dadar provengal dan ayam tajine. Resipi ini boleh dimuat turun menerusi laman web.

Aplikasi ini serasi dengan peralatan Apple iaitu iPhone, iPod Touch dan iPad serta boleh dimuat turun secara percuma melalui iTunes App Store. Setakat 2014, aplikasi ini boleh didapati di Malaysia, India, Singapura, Indonesia, Brunei dan negara teluk termasuk Kuwait dan Arab Saudi. Ia boleh didapati dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

635 views