Elak Tertekan

Boleh berpuasa atau tidak? Itu di antara persoalan klise bagi sebilangan pesakit diabetes menjelang Ramadan. Namun rata-rata mereka akan cuba berpuasa disebabkan kewajipan serta tanggung jawab sebagai umat Islam. Namun dari sudut kesihatan, adakah pesakit diabetes dibenarkan berpuasa? Ini kerana Islam memberi kelonggaran kepada golongan tertentu termasuk pesakit diabetes untuk berbuka sekiranya memudaratkan diri sendiri. Persoalannya, adakah mereka sedar dan cuba menguruskan pola pemakanan serta perubahan diet dengan sebaiknya?

Menurut kajian, setiap tahun dianggarkan 40 hingga 50 juta penghidap diabetes di seluruh dunia berpuasa dalam bulan Ramadan dengan kira-kira 79 peratus daripada mereka menghidap diabetes jenis 2. Walaupun berpuasa adalah rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam, bagi penghidap diabetes beragama Islam masalah ini boleh menimbulkan risiko kerumitan sekiranya paras gula tidak diurus dengan betul.

Walaupun ramai antara mereka yang mampu menguruskan paras glukosa darah dengan baik, ada yang tidak begitu maklum bagaimana berpuasa boleh menyebabkan penyakit sehingga memberi kesan kepada diri sendiri.

Menurut Pakar Runding Kanan Endokrinologi Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Wan Mohamad Bebakar, ibadat puasa membabitkan perubahan corak pengambilan makanan. Bagi penghidap diabetes, mereka menghadapi cabaran kerana gangguan metabolisme kronik menyebabkan muncul pelbagai risiko.

Ini kerana apabila berpuasa, badan mula berada dalam keadaan kekurangan zat selama kira-kira lapan jam selepas sajian terakhir. Dalam tempoh ini, tubuh akan menggunakan sumber glukosa yang disimpan sebelum pemecahan lemak untuk menghasilkan tenaga. Untuk individu sihat, proses ini membabitkan keseimbangan antara tahap insulin dan hormon.

“Bagaimanapun dalam kalangan pesakit diabetes, rembesan insulin dipengaruhi oleh penggunaan ubat yang berfungsi meningkatkan atau menyokong pengeluaran insulin menyebabkan kesukaran mengekalkan tahap gula darah seterusnya risiko yang lain,” ujarnya.

Antara kerumitan utama yang dikaitkan dengan puasa pesakit kencing manis ini ialah hipoglisemia atau tahap gula yang rendah. Ini berlaku apabila tahap gula darah kurang daripada 4mmol/L. Walaupun kelihatan ringan, keadaan ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan kekeliruan, pitam dan secara beransur-ansur hipoglisemia sehingga kekejangan otot, koma dan paling serius kematian.

Satu lagi kerumitan ialah hiperglisemia iaitu tahap gula darah yang tinggi sehingga mencecah 7.8mmol/L ke atas selepas berbuka puasa untuk tempoh sekurang-kurangnya lapan jam.

“Keadaan ini sekiranya tidak diatasi segera boleh menyebabkan kerosakan saraf, salur darah dan organ badan. Malah ia menjadi lebih serius apabila berlaku ketoasidosis iaitu badan yang tidak boleh menggunakan gula (glukosa) sebagai sumber tenaga. Hasil sampingan daripada proses penguraian ini ialah penghasilan keton iaitu sejenis bahan beracun yang terkumpul di dalam badan,” jelasnya.

Menyedari kepentingan komunikasi dan interaksi berkaitan pengurusan diabetes dengan betul ketika berpuasa, pesakit seharusnya bersedia lebih awal dengan mendapatkan maklumat lengkap dan jelas daripada doktor. Ini kerana semua kerumitan yang dialami sama ada ringan mahupun teruk boleh dielakkan sekiranya disiplin menerusi pengambilan makanan serta ubat-ubatan mengikut nasihat doktor.

Oleh kerana terdapat keperluan bagi pesakit mendapatkan sumber pendidikan bermaklumat terutama menggalakkan perbincangan mengenai usaha mengawal diabetes ketika Ramadan, Eli Lilly sebuah syarikat pengeluaran produk farmaseutikal melancarkan program Peta Perbualan Diabetes yang memberi tumpuan kepada pesakit menguruskan diabetes ketika berpuasa.

Program baru untuk Ramadan ini sudah dilancarkan di 16 negara termasuk Belanda, Switzerland, Indonesia, Pakistan, Mesir, Afrika Selatan, Afrika Sub-Sahara, Maghribi, Algeria, Lubnan dan Oman. Ia disediakan dalam tujuh bahasa iaitu Inggeris, Belanda, Perancis, Arab Klasik, Urdu, Indonesia dan Melayu pada 2013 oleh pakar endokrinologi beragama Islam seluruh dunia bagi menggalakkan pengurusan diabetes yang betul serta mewujudkan kesedaran mengenai cara umat Islam menunaikan kewajipan dan pada masa sama, mengekalkan tahap gula yang optimum dalam badan mereka.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, diabetes di Malaysia sangat membimbangkan kerana sudah mengatasi angka unjuran kelaziman diabetes oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Memandangkan kesedaran semakin meningkat, wujud keperluan untuk menghasilkan Peta Perbualan Diabetes ketika berpuasa bagi memastikan pesakit berpuasa secara selamat. Dalam pada itu, perbincangan membabitkan pesakit, penjaga dan profesional perlu diadakan agar wujud kefahaman mengenai rawatan dan pengurusan yang betul,” katanya.

Menerusi program ini, pesakit diabetes akan memanfaatkan sumber inovatif untuk membantu mereka berdepan cabaran dalam kehidupan seharian. Peta Perbualan Diabetes boleh digunakan dalam kumpulan kecil antara tiga hingga 10 pesakit, visual menarik menggunakan soalan perangsang minda untuk menggalakkan perbualan antara penghidap diabetes dan profesional penjagaan kesihatan bagi mewujudkan suasana yang terlindung dan mesra.

Ini berbeza dengan cara tradisional iaitu pesakit hanya mendengar tanpa berpeluang bertanya atau berbincang antara mereka. Penggunaan aspek visual tertentu seperti kunci (membawa maksud insulin), membantu pesakit memahami diabetes dan mengurusnya dengan baik, tanpa rasa tertekan. Malah Peta Perbualan Diabetes menggalakkan proses perbualan dua hala mengenai penyakit dan memberi peluang kepada pesakit berinteraksi dengan orang lain yang mengalami penyakit sama. Manfaat besar diperoleh daripada perbualan dengan orang yang senasib kerana mereka sedar tidak keseorangan mengharungi pengalaman dan emosi ini.

Bagi Pengurus Besar Eli Lilly Malaysia Singapura, Ham Taejin, pengurusan diabetes ketika Ramadan adalah sebahagian komitmen berterusan syarikat terbabit untuk menghulurkan maklumat pendidikan kepada penghidap diabetes beragama Islam supaya mereka mengambil langkah sewajarnya ketika berpuasa.

“Mereka perlu sedar rawatan perubatan hanya hanya membantu sehingga tahap tertentu saja. Pesakit perlu berhubung dengan profesional penjagaan kesihatan untuk mendapatkan kefahaman lanjut mengenai cara menguruskan penyakit.

“Menerusi Peta Perbualan Diabetes, kami mahu mewujudkan persekitaran positif. Pesakit diberi dorongan dan didikan melaksanakan perubahan supaya hidup selesa dan berpuasa dengan sempurna,” katanya.

Tanda hipoglisemia

Sejuk atau kulit berpeluh

Pucat

Kesukaran menumpukan perhatian

Marah, ganas dan tingkah laku yang tidak sepatutnya

Longlai ketika berjalan

Keletihan

Gemuruh

Lapar yang melampau

Sakit kepala

Penglihatan kabur dan pening

Sakit perut dan loya

Pengsan dan tidak sedarkan diri

Sekiranya anda mempunyai tanda ini, segera uji glukosa darah anda. Sekiranya glukosa darah kurang daripada 3.8mmol/L, segera lakukan langkah ini:

Berbuka puasa.

Minum 120 mililiter jus, ambil empat tablet glukosa atau minum separuh gelas air dengan satu sudu gula.

Tunggu 10 hingga 15 minit dan periksa glukosa darah semula.

Jika berterusan 3.8mmol/L, minum 120 mililiter jus, ambil empat tablet glukosa atau minum separuh gelas air bersama satu sudu gula.

Hubungi kakitangan kesihatan untuk nasihat selanjutnya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

622 views