Elak Warisan Ditelan Zaman
Warisan kerja tangan yang halus dan idea kreatif masih dikekalkan hingga kini. Disebabkan itu, tekstil tempatan yang mempunyai nilai seni dan kerja tangan yang halus seperti tenun, tekat, songket dan batik terus diangkat ke peringkat lebih tinggi.
Ia bertujuan mengelakkan warisan sejak turun-temurun itu hilang ditelan zaman dan lebih menyedihkan apabila generasi akan datang tidak lagi mengenalinya untuk dijadikan hasil seni yang boleh dibanggakan.
Bagi Timbalan Pengarah Bahagian Rekaan Kraftangan Malaysia yang juga pereka fesyen berpengalaman luas, Rodziah Md Yusoff, kerja tangan halus yang dihasilkan sejak dulu itu tidak harus dilupakan.
“Mungkin disebabkan penggunaan kain tenun dan songket tidak begitu dikomersialkan menyebabkan ia kurang diminati. Sebenarnya, jika kita bijak mengubahnya dengan baik pasti hasilnya akan memukau pandangan.
“Justeru, saya sering mempelbagaikan penggunaan tekstil tempatan ini pada rekaan baju pelbagai kategori sama ada kanak-kanak, remaja atau dewasa mengikut tema majlis untuk mereka menggayakannya,” katanya.
Menceburi dunia fesyen sejak 1978 selepas tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Fesyen dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, kebanyakan rekaannya memberi fokus kepada penggunaan songket, tenun dan batik.
Ini kerana Rodziah mahu berusaha menjadikan tekstil tempatan sebagai identiti yang dikenali di dalam mahupun luar negara.
Peluang terbuka luas di depan mata apabila Rodziah ditawarkan bekerja di Kraftangan Malaysia pada 1981 di bidang sama sehinggalah ke hari ini bagi membantu mengetengahkan lagi tekstil tempatan secara meluas melalui peragaan fesyen.
Malah, dia juga pernah mengadakan pertunjukan fesyen yang menggunakan tekstil tempatan dalam setiap rekaannya di London, Paris, Brunei, Jakarta, Sepanyol dan Los Angeles.
“Batik biasa dilihat pada kain sarung manakala songket dan tenun pula banyak dijadikan persalinan mempelai di atas pelamin dan menjadi pakaian diraja.
“Untuk tujuan komersial fabrik yang lebih sesuai adalah batik kerana ia fleksibel dan boleh diubah kepada rekaan eksklusif bagi golongan elit hinggalah ke pantai.
“Ia disebabkan cara penghasilan fabrik batik itu sendiri yang pelbagai sama ada menerusi lukisan ta ngan, cetakan blok dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, corak batik pada rekaan busana yang lebih ringkas akan menjadikan penampilan tampak menarik.
Rodziah yang kini berusia 58 tahun akan meneliti terlebih dulu acara yang akan dihadiri si pemakai sebelum memberi penekanan penggunaan batik di bahagian tertentu agar ia lebih menonjol.
Ini berbeza bagi kain tenun dan songket yang lebih halus dan sukar dihasilkan. Setiap rekaan dan potongan harus dilakukan berhati-hati bagi mengelakkan ia merosakkan kecantikan fabrik itu sendiri.
Ia hanya sesuai digayakan untuk majlis istimewa dan berprestij, penerimaan anugerah atau perkahwinan kerana nilainya yang tinggi.
Bukan itu saja, malah dia juga harus menempuh cabaran besar dalam menghasilkan rekaan yang boleh digayakan oleh semua kaum bagi mengetengahkan lagi tekstil tempatan yang boleh ditampilkan dengan pelbagai gaya.
Sebelum menghasilkan rekaan, dia akan membuat kajian terlebih dulu mengenai fabrik digunakan, karakter si pemakai dan tujuan pemakaiannya.
Ia bagi menepati cita rasa pemakai dan lebih penting bersesuaian dengan tema majlis, cara pemakaian dan umur si pemakai agar tidak kelihatan janggal serta mengikut perkembangan fesyen semasa.
“Biasanya, saya akan meletakkan diri sendiri sebagai pemakai sebelum menghasilkan pakaian yang lengkap. Kajian terperinci harus dilakukan mengenai karakter diri pemakai, tugasan yang akan dilakukan, tujuan serta tema majlis yang akan dihadiri.
“Saya sendiri perlu membayangkan situasi pemakai sama ada untuk ke majlis minum petang, karpet merah, korporat mahupun bersantai,” katanya.
Tambahnya, semua itu perlu diambil kira dalam menghasilkan rekaan yang bermutu tinggi sesuai dengan fabrik digunakan.
Malah langkah itu juga menjadi pencetus idea kepada Rodziah untuk menghasilkan rekaan kreatif, boleh diterima pakai dan tampak eksklusif.
Ujarnya, rekaan tidak boleh dilakukan secara sambil lewa dan asal boleh saja. Setiap pereka perlu membuat kajian terlebih dulu terutama mengenai penggunaan warna dan fabrik.
Ada kalanya pereka fesyen juga harus mengetahui maklumat yang dianggap kurang penting seperti kenderaan yang dinaiki si pemakai kerana ia juga mampu mempengaruhi penampilannya agar kekal anggun dan menarik perhatian.