Enak, Berkhasiat
BAGI penggemar sushi pasti tidak melepaskan peluang menikmati hidangan enak dari negara Jepun ini yang bukan saja mudah dihasilkan tetapi berkhasiat. Bahan digunakan juga senang diperoleh kerana hanya menggunakan sayur-sayuran dan makanan laut saja. Bahagian yang mungkin sukar sedikit adalah untuk mendapatkan nasi yang dimasak enak dan memuaskan iaitu tidak lembik dan berderai.
Menurut Chef Sous dari Hotel Grand BlueWave (HGBWSA) Shah Alam, Chef Christopher Leong, untuk mendapatkan nasi yang dimasak ‘cantik’ harus mengikut sukatan beras dan air yang sepadan.
Selain itu, tambahan gula, garam dan cuka pula memberikan rasa yang pelbagai terutama apabila dicampurkan bersama makanan laut dan sayur-sayuran.
Selain menggunakan bahan khas, cara membuat kepalan juga perlu dilakukan ketika nasi masih panas. Ini bagi memastikan bentuknya sekata, memudahkan kita meletakkan ikan mahupun potongan sayur selain membolehkan ia digulung kemas.
“Sushi nigiri paling mudah dibuat kerana hanya menggunakan nasi dan isi ikan saja. Gulungan California temaki pula perlu dibalut menggunakan daun nori bersama isi ketam, ikan dan sayur-sayuran.
“Untuk lebih menyelerakan, bolehlah dicampur mayonis, dicicah bersama syouyu atau dimakan begitu saja,” katanya yang berpengalaman selama 16 tahun dalam bidang perhotelan.
Christopher juga bertanggungjawab menyediakan pelbagai resipi untuk menu hidangan Jepun di HGBWSA.
Bahan-bahan
800 gram beras (minshiki) sumo calrose
1,215 mililiter air
100 mililiter cuka
85 gram gula
20 gram garam
Cara memasak
1. Basuh beras minshiki sumo calrose.
2. Campurkan semua bahan di atas dan masak.
3. Larutkan gula dan garam di dalam air panas. Apabila sudah larut, biarkan seketika sehingga sejuk sementara menunggu nasi masak.
4. Apabila nasi masak, keluarkan nasi dan masukkan ke dalam bekas.
5. Masukkan cuka mengikut sukatan.
6. Tambahkan larutan gula dan garam dengan menuangnya sedikit demi sedikit.
Sushi nigiri
Bahan-bahan:
Salmon segar (shake)
Tuna putih (aburo dozu)
Udang harimau (ebi)
Gulungan California temaki
1 batang isi ketam
Hirisan timun Jepun
Udang harimau
Mayonis
Sayur-sayuran