Fahami, Jadi Pendengar Setia

Manusia adalah makhluk yang emosional dan sering berhadapan dengan segala macam cabaran sepanjang hidupnya. Ada kalanya, kita dilanda rasa murung, sedih atau rendah diri berpanjangan yang menyebabkan fikiran bercelaru dan jiwa kacau.

Ada masa pula hidup berdepan situasi yang menguji ketahanan iman dan ketabahan hati, misalnya kehilangan orang tersayang, ditinggalkan pasangan ataupun dibuang keluarga akibat pelbagai masalah peribadi.

Sesetengah masalah mungkin kelihatan remeh pada sesetengah orang tetapi bagi yang mengalaminya, umpama ada tangan yang meragut jantungnya ataupun mereka sudah hilang semangat untuk meneruskan kehidupan.

Dengan iman dan kesabaran yang tinggi, kebanyakan daripada kita dapat melupakan perkara buruk yang berlaku dan percaya setiap perkara itu ada hikmah di sebaliknya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan positif.

Namun, bukan semua orang memiliki kekuatan jiwa yang membolehkannya melupakan sesuatu perkara. Malah, ada kala perasaannya berkecamuk akibat ‘ketidakadilan’ yang berlaku hingga terdorong untuk mengambil langkah drastik seperti cuba mencabut nyawanya sendiri.

Biarpun masalah adalah perkara biasa dalam kehidupan, bukan semua individu mampu mengharunginya dengan tenang. Emosi yang rapuh ditambah pula dengan cemuhan, ejekan atau kurangnya sokongan daripada orang sekeliling terutama yang paling rapat dengan dirinya membuatkan seseorang sanggup bertindak seperti orang hilang akal.

Menurut Pakar Psikologi Perunding Klinikal, Paul Jambunathan, masalah kemurungan serius boleh bermula seawal usia kanak-kanak lagi dan berlarutan sehingga dewasa.

Katanya, kemurungan serius kebiasaannya dicetuskan oleh kejadian yang sungguh menekan jiwa misalnya kehilangan orang tersayang sama ada meninggal dunia atau bertindak memutuskan hubungan.

“Mereka yang berisiko tinggi selalunya individu yang sudah pun mengalami episod kemurungan sebelum itu dan kemudian berdepan sekali lagi dengan kejadian lain yang mendukacitakan.

“Keadaan mereka yang terdedah kepada masalah kemurungan serius ini selalunya tidak disedari atau dirawat dengan sempurna. Ini kerana bukan semua perasaan atau keinginan membunuh diri berpunca daripada masalah emosi. Ada kalanya ia berkait rapat dengan ketidakseimbangan biokimia di dalam otak.

“Ada kes membabitkan kanser otak atau ketagih alkohol yang menyebabkan kimia dalam otak tidak seimbang yang mendorong mereka melakukan perkara di luar kewarasan,” katanya baru-baru ini pada forum awam, ‘Help Save A Life – Destigmatising Suicide’, anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Befrienders Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Paul berkata, stigma masyarakat terhadap individu yang cuba mengambil nyawa sendiri juga tidak membantu golongan itu bangkit daripada kemurungan kerana kebanyakannya akan diberi label ‘tidak sihat’ dari segi mental dan mereka yang cuba bunuh diri akan mencuba sekali lagi perkara yang sama.

Masyarakat perlu memahami bahawa individu yang ingin membunuh diri sebenarnya melakukan cubaan itu kerana mereka kehilangan harapan dan meminta bantuan secara senyap.

“Selalunya mereka ini hilang harapan untuk hidup kerana tidak nampak jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah dan tidak dapat berfikir dengan positif. Mereka menganggap hanya bunuh diri dapat menyelesaikan masalah dan kesedihan yang ditanggung.

“Misalnya bagi situasi biasa iaitu ketika kita terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk, kita secara automatik akan berfikir mana jalan yang boleh digunakan lain kali supaya tidak terus berhadapan dengan masalah sama,” katanya.

Menurutnya, manusia selamanya akan terus mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah dan cabaran yang mereka hadapi sepanjang hidup. Masalah tidak seharusnya dilihat sebagai beban sebaliknya menjadi ‘ejen’ untuk kita menjadi lebih matang dan berani menghadapi kesukaran hidup pada masa akan datang. Apalah erti hidup jika tiada cabaran kerana dugaan itulah yang menjadikan kehidupan lebih berwarna-warni.

Positifkan emosi

Masyarakat memainkan peranan yang penting dalam membantu menghapuskan stigma terhadap isu bunuh diri dan mereka yang berisiko dengan cara lebih memahami masalah, menjadi pendengar setia, menghulurkan bantuan, membawa individu berkenaan bertemu pakar perubatan dan memberikan sokongan moral yang tinggi.

Menurut Paul, menjadikan pemikiran positif sebagai sebahagian daripada amalan seharian juga penting kerana apabila kita berfikir secara positif, kajian menunjukkan secara tidak langsung sistem pertahanan tubuh menjadi lebih kuat dan kita menjadi lebih proaktif dalam kehidupan.

“Ia semacam memberi satu motivasi untuk berhadapan dengan apa juga rintangan tanpa mudah berputus asa atau menyerah kalah. Motivasi memberikan motif yang merangsang kehidupan,” katanya.

Emosi terdiri daripada empat komponen iaitu perasaan, rangsangan tubuh, penyataan sosial dan tujuan. Namun, biologi psikososial iaitu faktor perubatan juga merupakan komponen yang penting kerana ia mempengaruhi kewarasan berfikir.

Kesihatan mental adalah bergantung kepada keseluruhan kehidupan misalnya adalah individu berkenaan menjalani kehidupan yang bahagia atau menjanjikan harapan cerah kepadanya di mana ia membabitkan emosi dan psikologi yang tinggi.

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri, Dr Bharati Vengadasalam mengatakan, pendekatan psikiatrik dalam pengurusan masalah kemurungan adalah amat penting memandangkan setiap tahun hampir satu juta orang di seluruh dunia mengambil jalan membunuh diri bagi menyelesaikan krisis yang mereka hadapi.

Malah katanya, membunuh diri merupakan antara tiga punca utama kematian golongan mereka yang berusia antara 15 hingga 44 tahun di sesetengah negara.

“Masalah mental terutama yang berpunca daripada kemurungan dan ketagihan alkohol adalah faktor utama yang membawa kepada tindakan membunuh diri. Ia juga boleh dicetuskan oleh pelbagai krisis tetapi ada kalanya berlaku secara spontan,” katanya.

Risiko bunuh diri yang selalunya berlaku pada orang yang mengalami masalah kemurungan adalah antara enam hingga 15 peratus, ketagihan alkohol (tujuh hingga 15 peratus), penyakit mental skizofrenia (lima hingga 10 peratus) dan masalah kerisauan melampau (tujuh peratus).

Menurut Dr Bharati, kemurungan melampau meningkatkan risiko bunuh diri sebanyak 20 kali ganda berbanding orang normal manakala pengambilan alkohol dalam kalangan orang murung meningkatkan lagi risiko mereka mengambil tindakan berkenaan yang juga merupakan masalah keempat paling mencengkam penduduk dunia.

“Setiap orang pasti akan mengalami rasa sedih sekali-sekala namun kesedihan dan kemurungan adalah dua perkara yang amat berbeza. Kemurungan adalah keadaan kesihatan yang serius dan mempengaruhi perasaan, pemikiran dan perlakuan.

“Bukan mudah untuk memujuk orang yang sedang murung untuk berfikir secara positif. Kadangkala ia menyebabkan mereka rasa lebih teruk kerana menganggap kita melihat mereka sebagai orang yang lemah,” katanya.

Namun, kemurungan boleh dirawat secara klinikal dan mempunyai peluang cerah untuk pulih semula biarpun ia mengambil masa yang lama, kesabaran tinggi dan banyak peringkat.

Perhatian perlu diberikan kepada individu yang pernah cuba membunuh diri kerana peratusan mereka mengulanginya adalah tinggi terutama bila berdepan dengan keadaan yang menekan perasaan misalnya perceraian atau kematian.

“Apabila kemurungan sukar hilang dan berpanjangan selama berminggu-minggu, hilang selera makan, turun berat mendadak, sentiasa terlintas di fikiran untuk membunuh diri dan diri menjadi tidak senang duduk, itulah masanya untuk seseorang itu bertemu dengan pakar bagi membantunya sebelum perkara buruk berlaku.

“Bantuan pakar boleh didapati dari pelbagai institusi perubatan antaranya hospital kerajaan, hospital swasta, klinik dan Persatuan Psikiatri Malaysia. Sokongan daripada keluarga atau insan tersayang juga amat penting dalam memastikan pesakit sihat seperti sediakala,” katanya.

Fakta kemurungan:

1. Perubahan biologi di dalam otak
2. Sesetengah keluarga mempunyainya kerana ia juga adalah penyakit keturunan
3. Selalu tercetus akibat peristiwa menekan jiwa
4. Mengakibatkan tekanan berpanjangan
5. Ia adalah ketidakupayaan dan merupakan sejenis penyakit
6. Merosakkan hubungan dengan orang sekeliling.
7. Menjejaskan kerja
8. Ada yang bergantung kepada alkohol, ubat tidur, ubat tahan sakit dan ubat batuk sebagai cara untuk ‘menghilangkan’ tekanan

Simptom kemurungan:

1. Kesedihan berpanjangan dan mudah menangis
2. Rasa kosong, hilang harapan, rasa tidak bernilai yang ekstrem
3. Mudah terasa dan marah
4. Sukar berfikir
5. Pelupa
6. Tidak ada fokus
7. Berfikiran negatif
8. Perasaan bersalah melampau
9. Suka duduk bersendirian
10. Hilang minat dalam apa yang selalunya diminati
11. Hilang atau berat badan bertambah mendadak
12. Hilang selera
13. Sukar tidur lena atau terlalu banyak masa dihabiskan dengan tidur
14. Tidak bertenaga

Pengurusan kemurungan

1. Bertenang, menarik nafas panjang bila mula cemas, meditasi, mengerjakan solat dan bersenam
2. Beri fokus kepada masa sekarang
3. Makan seimbang dan kekalkan berat ideal
4. Dapatkan tidur secukupnya
5. Jauhkan diri dari dadah atau alkohol
6. Bersembahyang
7. Bertemu pakat psikologi/ psikiatri
8. Mendapat sokongan insan tersayang
9. Jadikan rutin hidup anda lebih ringkas dan mudah
10. Tunda keputusan besar yang perlu dibuat
11. Ambil ubat secara teratur

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

462 views