Fesyen Berani, Garang

FABRIK renda biasanya sinonim dalam penggayaan busana pengantin kerana disifatkan lebih glamor dan menyerlah bersesuaian dengan tema raja sehari.

Namun kebijaksanaan pereka dalam menggabungkan klasik renda bersama sifon, satin atau kapas sememangnya mampu mencetuskan keindahan yang sukar digambarkan.

Apatah lagi sekiranya potongan busana itu mengetengahkan unsur moden sekali gus menjadikannya bebas digayakan ke sebarang majlis kasual.

Cetusan rona segar, ceria serta glamor menjadi inspirasi dua pereka muda, Saiful Amar dan Saiful Alif, dalam menterjemahkan rekaan mereka menggunakan label Saiful Sin.

Tampil berkonsepkan RomPomPom Raya yang bermaksud letusan kegembiraan raya, koleksi ini menjadi rekaan pertama mereka.

Secara keseluruhan, RomPomPom Raya menekankan kombinasi warna terang sebagai asas lakaran, digabungkan rona kulit pada renda Prada daripada nuansa emas menjadikan setiap helaian molek digayakan sesiapa saja.

Menambah keindahan pada sifon polos, perincian kristal pada leher menaikkan seri si pemakai.

Menurut Saiful Amar, metafora di sebalik pemilihan warna ceria dalam penghasilan koleksi ini adalah untuk menggambarkan kegembiraan raya. Kombinasi renda Prada rona coklat muda pula digunakan menyesuaikan konsep ‘colour blocking’ serta lambang kemewahan dalam memperkenalkan identiti Saiful Sin.

“Tanda pengenalan jenama ini bukan saja pada pemilihan rona ceria seperti merah, biru, kuning, hijau, ungu dan merah jambu sebaliknya gabungan coklat serta nuansa renda Prada keemasan pada setiap helaian, menjadikan setiap padanan berbeza dan tampak mewah apabila disarungkan ke tubuh wanita,” katanya.

Keistimewaan busana raya Saiful Sin apabila setiap helaian diberi nafas baru
dan lebih fleksibel menerusi kebaya peplum yang boleh digayakan dalam beberapa stail berbeza. Sama ada dipakai bersama kain atau seluar, ia kekal memikat
dan serasi untuk semua wanita.

“Ilham menghasilkan potongan kebaya dengan sedikit kembang pada bahagian bawah sebagai memenuhi impian wanita yang ingin tampil dalam rekaan berbeza. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai pilihan bukan saja pada potongan tradisional malah anggun mengenakan busana moden yang boleh dipakai untuk acara bertema atau makan malam,” katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari align=”right”> Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

922 views