Fikir Sebelum Ubah Bentuk

WAH! Seksinya bibir wanita itu. Macam Angelina Jolie. Tapi mengapa penampilannya begitu berbeza, bibirnya semakin seksi dan tebal. Adakah dia melakukan rawatan bibir?

Mungkin ini antara andaian yang sering diberikan kepada wanita yang memiliki bibir tebal, penuh dan seksi. Antaranya melakukan rawatan dan suntikan bibir.

Namun persoalannya, benarkah semua wanita yang memiliki bibir tebal dan penuh melakukan suntikan pada bibir atau dia benar-benar memiliki bibir semula jadi?

Jika dulu wanita yang mempunyai bibir tebal dianggap memalukan tetapi kini penilaian masyarakat terhadap makna kecantikan itu turut berubah. Jika tidak masakan ada yang sanggup melakukan rawatan wajah termasuk bibir semata-mata mendapatkan bibir seperti Angelina Jolie atau melakukan teknik solekan bibir yang mampu menyerlah penampilan misalnya menerusi rona terang merah saga yang mampu menyuntik penampilan segar dan memukau.

Di Barat, artis dan bintang Hollywood yang memiliki kelebihan pada wajah sudah pasti menjadi tarikan media. Buktinya siapa yang tidak mengenali pembawa watak Lara Croft dalam filem Tomb Raider yang memiliki bentuk bibir seksi dan tebal?

Sehingga kini, istilah bibir seksi masih kekal di tangan Angelina Jolie yang berusia 37 tahun. Biarpun kehadiran ramai pendatang baru, ibu kepada tiga anak kandung dan tiga anak angkat itu tetap berada di tangga teratas.

Menurut pakar estetik dan pemilik Klinik Thalia, Dr Shaharom Sulaiman, kajian pernah dilakukan mengenai sifat yang membezakan antara lelaki dan wanita sama ada lebih feminin (wanita) atau maskulin (lelaki).

“Ciri-ciri yang menampakkan wanita lebih feminin apabila dia memiliki mata yang lebih besar, hidung lebih kecil, dagu runcing, kening tinggi serta bibir yang tebal. Bagi lelaki pula, ciri-ciri yang menampakkan seseorang itu lebih maskulin adalah bermata kecil, hidung yang agak besar, dagu bersegi, kening yang rendah serta berbibir nipis,” katanya.

Justeru, sebenarnya memiliki bibir yang nipis bukan sifat semula jadi wanita.
Bibir wanita perlu lebih tebal pada bahagian tengah namun begitu, semakin usia bertambah, bibir menjadi semakin menipis serta menimbulkan banyak kedutan
di sekitarnya.

“Ini kerana bibir memiliki kulit yang sangat nipis. Kurangnya jumlah lipid barrier, kelenjar sebaceous dan melanin yang berfungsi sebagai pelindung serta kesan persekitaran dan gaya hidup menyebabkan kulit bibir mudah kehilangan lembapan, kering dan pecah,” katanya.

Menurut Dr Shaharom, dalam bidang kecantikan terdapat pelbagai teknik merawat atau mencantikkan bibir yang boleh dilakukan. Namun ia perlu dilakukan doktor bertauliah dan diiktiraf kerajaan disebabkan prosedur yang selamat dilakukan doktor terlatih di klinik berdaftar.

“Walaupun proses memilih doktor bertauliah dan diiktiraf agak sukar namun wanita disarankan mendapatkan maklumat yang betul sebelum melakukan rawatan.
Dengan itu, ketika perbincangan mungkin anda boleh mengagak sama ada doktor itu berpengalaman atau tidak. Dapatkan juga maklumat mengenai teknik rawatan, bahan serta jenama digunakan. Jangan terus tergesa-gesa melakukannya, fikir dulu baik dan buruknya kerana kebanyakan wanita Malaysia terutama Melayu semula jadinya sudah mempunyai bibir yang cantik dan menawan,” jelasnya.

Apa yang berlaku pada masa sekarang, ada sesetengah individu melakukan rawatan di salun kecantikan pada hal bahan yang selamat dan diiktiraf untuk suntikan wajah hanya boleh didapati menerusi doktor pakar plastik atau doktor estetik saja.

“Dalam hal ini, kesedaran wanita mengenai keselamatan dan pentingnya mendapatkan pakar bertauliah sangat penting. Ini kerana ada sesetengah kes, doktor yang tidak bertauliah menyuntik pelanggan mereka menggunakan minyak bayi saja atau bahan diragui kandungannya seperti silikon. Selain itu, proses suntikan ini juga penting, alat digunakan perlu disteril dan dinyah kuman terlebih dulu,” ujarnya.

Antara teknik rawatan mencantikkan bibir disediakan pakar bertauliah seperti:

Rawatan menggunakan implan

Rawatan ini dilakukan pakar bedah plastik terlatih. Prosedurnya dengan memasukkan implan diperbuat daripada silikon lembut ke dalam bibir. Ia adalah prosedur mudah, dengan hanya sekali rawatan bibir dapat membentuk seperti yang diinginkan malah jika tidak suka implan itu boleh ditanggalkan.

Rawatan menebalkan bibir

a. Rawatan menebalkan bibir menggunakan filler iaitu pengisian bahan ke dalam bibir menggunakan dua jenis produk sama ada kesan sementara atau kekal. Untuk kesan sementara, bibir disuntik menggunakan asid hyaluronic oleh pakar terlatih namun, ia hanya bertahan sembilan hingga 12 bulan saja dan wanita perlu melakukannya lagi untuk mendapat kesan yang kekal. Harga rawatan sekitar RM1,500 hingga RM3,000 bergantung kepada jenis filler digunakan.

Kebaikan menggunakan asid hyaluronic adalah mengurangkan reaksi radang dan alahan pada wajah kerana bahan ini sebahagian daripada badan kita. Namun sekiranya bibir yang disuntik ini kelihatan berbeza atau hodoh, doktor boleh menyuntik bahan hyaluronidase untuk mencairkannya atau mereka boleh menanti enam sehingga sembilan bulan iaitu selepas asid hyaluronic diserap oleh badan dan bibir kembali kepada bentuk asal.

b. Rawatan menebalkan bibir menggunakan lemak pesakit.
Menerusi teknik ini, doktor menggunakan lemak pesakit dan disuntik pada bibir untuk menampakkan lebih tebal. Rawatan ini mungkin kekal atau mungkin tidak kekal. Ini kerana kadang-kadang lemak diserap oleh badan tetapi adakalanya lemak itu kekal pada bibir. Namun begitu jika bibir ini kelihatan cantik, anda perlu melakukan prosedur ini lagi sekali selepas enam hingga sembilan bulan.

Suntikan kolagen

Suntikan bibir menggunakan kolagen mempunyai risiko untuk mengalami masalah radang kulit. Ini kerana kolagen digunakan selalunya berasal dari haiwan. Jika bibir kelihatan hodoh, doktor perlu melakukan sedikit pembedahan untuk mengeluarkannya. Namun begitu jika bibir cantik, ia akan kekal lama dan sebenarnya dalam jangka panjang rawatan ini lebih murah berbanding asid hyaluronic.

Namun begitu individu yang menghidap kencing manis, sakit jantung, lelah, masalah darah cair atau susah beku, penyakit lupus Erythromatous tidak digalakkan melakukan suntikan kolegan. Ini kerana suntikan ini akan menyebabkan penyakit menjadi lebih serius.

Begitu juga bagi mereka yang menghadapi masalah tahap kebersihan mulut yang rendah serta herpes bibir dan mulut juga dilarang melakukannya kerana boleh memberi kesan kepada tubuh badan. Bagi pengguna accutane yang melebihi enam bulan juga tidak digalakkan kerana suntikan bibir boleh meningkatkan risiko mendapat parut pada bibir.

Menurut Dr Shaharom, wanita yang ingin melakukan rawatan bibir diingatkan supaya mematuhi tiga garis panduan bagi memastikan bibir menjadi lebih feminin dan seksi dan bukannya buruk atau hodoh. Antaranya memastikan bibir bawah sentiasa lebih tebal daripada bibir atas. Sekiranya bibir atas sama tebal dengan bibir bawah, bibir akan menjadi seperti bibir ikan manakala sekiranya bibir atas lebih tebal daripada bibir bawah, ia akan kelihatan pelik dan hodoh.

Secara terperinci, bibir bawah adalah 1.6 kali lebih tebal daripada bibir atas. Secara umumnya, bibir atas sepatutnya kelihatan lebih sedikit ketebalan daripada separuh ketebalan bibir bawah untuk kelihatan semula jadi.

“Selain itu, bibir tidak sepatutnya kelihatan seperti mencebik apabila dalam keadaan normal. Ia hanya kelihatan mencebik jika anda mencebikkan bibir anda,” jelasnya.

Bagi model profesional Roshayati Rokbi, 30, atau senang dipanggil Sara, dia pernah dikatakan melakukan rawatan menebalkan bibir kerana memiliki bibir yang penuh dan seksi padahal bibir yang dimilikinya semula jadi diwarisi ibu, Hatitah Jalil berketurunan Punjabi.

“Ketika mula menceburi bidang peragaan saya pernah rasa malu dan rendah diri kerana memiliki bibir yang tebal. Ini kerana kebanyakan agensi peragaan cenderung memilih model berbibir nipis sehingga saya berasa malu berada di sekeliling mereka. Jadi saya memaksa jurusolek mempraktikkan pelbagai teknik solekan agar bentuk bibir yang tebal itu dapat dikecilkan,” katanya yang pernah membintangi iklan komersial Sendayu Tinggi, Electrolux, Anmum, Pos Malaysia dan TM Net.

Namun kini, senario sudah berubah apabila wanita berbibir tebal semakin mendapat perhatian sehinggakan ada segelintir wanita sanggup mengeluarkan wang yang banyak semata-mata ingin mendapatkan bibir yang tebal, penuh dan seksi.

Ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini, sebagai model tubuh badan adalah aset paling berharga justeru dia amat mementingkan kesihatan dan kecantikan bagi memastikan tubuh sentiasa dalam keadaan sihat.

“Setiap hari saya amalkan minum jus buah-buahan seperti epal, lobak merah, strawberi dan oren sama ada dibuat sendiri atau dibeli bagi mendapatkan kulit yang lembap dan sentiasa berseri. Untuk penjagaan bibir, saya menyapu pelembap dan minum banyak air putih bagi mengelakkan bibir kering dan menggelupas.
Sebelum keluar rumah, saya pastikan bibir sentiasa dilapisi pengilat bibir supaya wajah tampak segar,” katanya.

Sara yang menjadi model sepenuh masa mengakui sentiasa memastikan mengambil hidangan berkhasiat dan mengelak makanan berminyak bagi mendapatkan tubuh langsing selain tidak minum minuman berais kerana bimbang kulit kusam dan tua sebelum waktunya.

“Memang sejak dulu saya elakkan minuman berais kerana tidak baik untuk kesihatan terutama pada kulit wajah kerana kelihatan tidak bermaya. Saya juga mengambil pil tambahan seperti vitamin dan kalsium untuk kesihatan badan,” ujar anak kedua daripada lima beradik ini.

Sara juga tidak menolak melakukan rawatan suntikan vitamin dan kolagen kerana baik untuk kulit. Lagipun ia sama seperti makan vitamin.

“Selepas melahirkan anak saya dapati kulit mula mengendur, justeru dengan mengambil suntikan vitamin dan kolagen, ia dapat mengembalikan keceriaan dan keserian wajah. Apa yang saya tidak lakukan adalah suntikan botox yang boleh merubah bentuk muka. Saya juga rajin ke salun bagi melakukan urutan supaya wajah menjadi lebih berbentuk sesuai penampilan seorang model,” katanya.

Bagi mereka yang ingin melakukan rawatan wajah, Sara menasihatkan supaya membuat kajian sama ada menerusi Internet atau berjumpa pakar kecantikan terlebih dulu bagi mendapatkan penjelasan mengenai rawatan yang ingin dilakukan. Jangan hanya kerana ingin cantik dan mendengar kata orang sehingga boleh merosakkan diri sendiri.

“Bagi wanita, makan makanan berkhasiat, mengambil vitamin, melakukan senaman dan tidur mencukupi enam hingga lapan jam sehari adalah ubat paling mujarab untuk kesihatan dan kecantikan wajah. Paling penting menjaga kecantikan dalaman, iaitu hati yang bersih sekali gus akan terpancar menerusi wajah,” katanya.

Panduan penjagaan bibir

Sapukan salap bibir mengandungi pelindung matahari sebelum memakai gincu atau gincu mengandungi SPF ketika melakukan aktiviti di luar rumah. Penjagaan yang baik dan sering diberi rawatan, kulit bibir akan berwarna kemerahan, lebih lembut dan lembap. Kesannya, bibir akan lebih sihat, menarik dan seksi serta berwarna merah jambu secara semula jadi.

Sebelum tidur sapukan madu lebah pada bibir untuk mendapatkan bibir yang kemerah-merahan dan kekal lembap sepanjang hari.

Elakkan menggigit, menjilat dan menyapu dengan lidah kerana ini hanya akan membuatkan bibir kering.

Hanya dengan sapuan pengilat bibir, bibir sudah tampak cantik menawan. Sekiranya anda berasakan bentuk bibir kurang sempurna, jangan berasa rendah diri.

Untuk mendapatkan bibir yang seksi, bukanlah sesukar mana, hanya teknik solekan yang perlu dipelajari dan warna gincu yang tepat. Walaupun hasilnya sementara, ia pasti memuaskan hati dan memukau mata yang memandang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,574 views