Fokus Perkara Diminati

Orangnya sangat peramah dan bersahaja biarpun baru pertama kali bersua muka. Malah dia tidak lokek berkongsi pengalamannya yang sehingga kini sudah berjaya memiliki syarikat sendiri dan memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

Usahawan wanita serba boleh, Nuraizah Shamsul Baharin, 42, menganggap wanita Malaysia sebagai bertuah kerana suasana di negara ini membolehkan mereka bersaing tanpa sempadan, berusaha untuk menjadi yang terbaik seterusnya mengecapi kejayaan luar biasa.

Bagi pemilik dan Pengarah Urusan Madcat World Sdn Bhd ini, wanita memainkan peranan penting kerana ramai yang mampu berdikari serta menjadi tunjang dalam membantu menyara ahli keluarga, malah semakin ramai yang muncul sebagai usahawan berjaya.

Menurutnya, dalam usaha untuk berkembang menjadi negara maju, seharusnya rakyat bijak mencipta dan mencari peluang pekerjaan sendiri, bukannya bergantung kepada kerajaan atau majikan semata-mata.

“Kalau kita lihat gaya terkini, semakin ramai wanita yang sudah tidak bergantung kepada kerajaan atau majikan, sebaliknya mereka usaha sendiri untuk mencipta peluang pekerjaan supaya boleh berjaya dalam hidup.

“Selain itu, semakin ramai wanita yang mendaftarkan perniagaan mereka. Ini secara tidak langsung bukan saja menunjukkan kemampuan dan keyakinan golongan wanita dalam perniagaan, malah ia menyumbang dan memberi manfaat kepada kerajaan,” katanya.

Menurut wanita cekal ini, golongan hawa di Malaysia patut berbangga kerana pihak kerajaan dan swasta juga lebih yakin dan positif terhadap usahawan wanita, sekali gus membantu dan menyokong perkembangan golongan itu.

Pada pandangannya, keistimewaan usahawan wanita terletak kepada kredibiliti golongan itu yang sememangnya gigih mendukung nilai murni yang disanjung oleh masyarakat seperti bersifat jujur dan sanggup bekerja kuat demi mencapai matlamat dan menepati kemahuan pelanggan.

Pihak bank juga menaruh kepercayaan yang tinggi kepada peminjam wanita, seterusnya memainkan peranan yang kukuh dalam membantu pembangunan usahawan wanita.

“Ini kerana peminjam wanita mempunyai rekod yang baik dalam membuat pembayaran semula kepada pihak bank. Selalunya golongan wanita mengambil hutang yang dia mampu bayar semula iaitu dalam jumlah yang kecil,” katanya.

Berkongsi tip yang boleh dipraktikkan oleh mana-mana wanita untuk berjaya dalam setiap lapangan yang mereka ceburi, Nuraizah berkata, wanita perlu mengikis sifat malu yang menebal dalam diri hingga mengekang potensi mereka untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

Katanya, wanita juga perlu menonjolkan diri dan menghebahkan kepada orang ramai mengenai produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan, bukannya terperuk saja di rumah dan berharap ada yang datang bertanya.

Wanita juga perlu pandai menguruskan masa mereka sebaiknya dan bijak membahagikan masa selain perlu mempunyai keluarga yang menyokong kuat supaya mereka mampu terbang tinggi.

“Bagi saya, untuk meraih kejayaan setiap wanita boleh melakukannya tetapi mereka perlu memberi fokus mendalam pada sesuatu yang kita minat dan usaha sehingga berjaya menjadi yang terbaik.

“Fokus pada satu jenis perniagaan atau produk dulu sehingga berjaya. Mereka juga perlu ada kemahiran dan latar belakang pengurusan perniagaan. Sekiranya tidak ada, boleh mengambil kursus jangka pendek.

“Ini kerana perniagaan yang kita lakukan mestilah setaraf dengan peringkat antarabangsa. Kita mesti mahu ketengahkan perniagaan hingga ke persada antarabangsa, bukan sekadar tempatan saja,” katanya.

Menurutnya, biarpun ada orang Malaysia yang lebih gemarkan barangan luar kerana dianggap lebih berkualiti, hakikatnya barangan keluaran tempatan juga mempunyai kualiti yang disegani dan menjadi pilihan masyarakat luar.

Menguruskan perniagaan perisian dalam telefon bimbit pintar produknya, Nurmuslim mendapat sambutan hangat di pasaran dan sehingga kini sudah dimuat turun sebanyak satu juta kali dan diguna pakai di lebih 196 negara.

Biarpun produknya berunsur Islamik, ia bukan mempromosi agama tetapi lebih kepada memperkenalkan gaya hidup Islam dan memberi inspirasi yang membantu memperbaiki diri seterusnya melahirkan persekitaran lebih baik.

Mengakui kadangkala timbul kesukaran untuk berurusan di peringkat antarabangsa apabila ada yang mengetahui kandungan produknya berkaitan Islam disebabkan isu yang dimainkan media asing, Nuraizah menganggap itu semua sebagai satu cabaran yang mampu menjadikannya lebih berazam untuk memperkembangkan lagi produk yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia itu.

Apa yang cuba dilakukan usahawan wanita itu adalah menghebahkan kepada semua orang bahawa Islam bukan sekadar agama, ia suatu cara hidup dengan harapan ia boleh melahirkan dunia yang lebih baik.

Malah bekas pelajar Sekolah Perempuan Bukit Bintang, Kuala Lumpur ini pernah memenangi barisan anugerah termasuk daripada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2010 (ITEX 2010) dan Anugerah Inovasi dan Reka Cipta ke-9 pada 2010 untuk ciptaan cemerlangnya.

Dia juga pernah mewakili Malaysia dalam Anugerah Utama Mobile 2010 di Barcelona dan Anugerah MEFFYS di Perancis, selain muncul pemenang bagi Pertandingan Isi Kandungan Bimbit Interaktif MSC 2007 dan Anugerah Perikatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) 2007.

Dalam usahanya membantu wanita lain untuk mencapai kejayaan sama seperti dirinya, Nuraizah kini berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (WENA).

WENA memberi fokus kepada membantu golongan wanita membina jaringan perniagaan seterusnya berjaya mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Bukan berasal daripada keluarga berada, Nuraizah yang mempunyai latar belakang jurutera menghabiskan masa setahun untuk mengambil jurusan dalam bidang etika perniagaan.

Baginya, biarpun mungkin sudah berusia, wanita tidak sepatutnya malu untuk mempelajari sesuatu subjek bermula dari peringkat asas sekiranya mereka mahu mencapai kejayaan dalam apa saja bidang yang mahu diceburi.

“Saya memang mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan tetapi pada awalnya saya bekerja sebagai jurutera. Saya mempunyai kumpulan rakan dan dalam kalangan kami sudah berazam sebaik kami mencapai usia 30, kami akan berhenti kerja dan mula berniaga. Saya mempunyai matlamat dalam hidup dan kita perlu menetapkan sasaran untuk dicapai,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mampu bekerja dengan syarikat lain kerana tidak bertemu organisasi yang mempunyai matlamat sama sepertinya, jadi dia memulakan syarikat sendiri berdasarkan wawasan yang ada dalam fikirannya.

Bercerita mengenai masa lapangnya, di awal kemunculan syarikatnya, dia sentiasa berfikir mengenai perniagaan sehingga susah meninggalkan pejabat dan tidak pergi ke mana-mana untuk bercuti.

Namun apabila suatu hari dia terserempak dengan satu kemalangan maut, ia seakan memberikan satu keberanian untuk terus mengambil cuti dan merehatkan mindanya. Selepas itu barulah dia sedar cuti tidak akan menjejaskan perniagaan sebaliknya ia terus berjalan biarpun perlu dipantau.

Bagi wanita ini, jika mahukan perniagaan yang berjaya, seseorang perlu memberi perhatian dan memantaunya setiap masa supaya perjalanan perniagaan tidak terjejas.

Nuraizah tidak gemar menonton televisyen atau melayari Internet ketika waktu cuti, sebaliknya lebih gemar membaca buku perniagaan, buku cerita bersifat sains fiksyen dan penyiasatan serta menonton wayang.

“Saya juga gemar ke gimnasium untuk membuat senaman yang boleh menguatkan tulang selain menghabiskan masa bersama anak saudara kerana biarpun mereka masih kanak-kanak, mereka mampu menjadi sumber inspirasi dan melahirkan idea permainan bimbit yang lebih baik,” katanya.

Menitipkan kata-kata semangat buat wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan, baginya apabila sudah menetapkan sasaran untuk berniaga, mereka perlu lakukan saja dan bukan menunggu masa sesuai kerana sekiranya sentiasa takut untuk memulakan langkah, mereka akan terus berada di takuk lama.

Setiap wanita perlu menjadi yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan dan tidak menoleh kembali ke belakang serta mempunyai keraguan sebaik membuat keputusan untuk terjun sebagai usahawan.

“Sebagai orang Islam, kita kena percaya rezeki pasti akan datang daripada sumber yang tidak disangka-sangka sekiranya kita rajin berusaha dan berniaga dengan jujur. Namun begitu, bukan semua orang boleh menjadi ahli perniagaan kerana ia memerlukan ketabahan, kerja kuat dan fokus yang mendalam,” katanya.

Tip motivasi berjaya dalam perniagaan

Bijak mencipta dan mencari peluang pekerjaan sendiri, bukannya bergantung kepada kerajaan atau majikan semata-mata.

Bersifat jujur dan sanggup bekerja kuat demi mencapai matlamat.

Wanita perlu mengikis sifat malu yang menebal dalam diri hingga mengekang potensi mereka untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

Perlu menonjolkan diri dan menghebahkan kepada orang ramai mengenai produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Bijak menguruskan dan membahagikan masa sebaiknya.

Fokus mendalam pada sesuatu yang diminati dan usaha sehingga menjadi yang terbaik.

Fokus pada satu jenis bidang perniagaan atau produk terlebih dulu sehingga berjaya.

Perlu ada kemahiran dan latar belakang pengurusan perniagaan. Sekiranya tidak ada, boleh mengambil kursus jangka pendek.

Jangan malu untuk belajar dari bawah.

Berusaha untuk menjadikan perniagaan sehingga berada setaraf dengan perniagaan antarabangsa.

Menerima sebarang cabaran dari sudut positif dan menaikkan semangat untuk lebih berjaya.

Mempunyai matlamat dalam hidup dan berusaha mencapainya.

Perlu memberi perhatian dan memantau perniagaan setiap masa, tidak sekadar menyerahkan kepada orang lain.

Apabila sudah menetapkan sasaran untuk berniaga, mereka perlu lakukan dan bukan terus menunggu masa sesuai kerana sekiranya sentiasa takut untuk memulakan langkah, mereka akan terus berada di takuk lama.

Setiap wanita perlu menjadi yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan dan tidak menoleh kembali ke belakang atau mempunyai keraguan sebaik membuat keputusan untuk terjun sebagai usahawan.

Percaya bahawa rezeki pasti akan datang daripada sumber yang tidak disangka-sangka sekiranya kita rajin berusaha dan berniaga dengan jujur.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

558 views