Fokus Warna Kegemaran
Perbezaan ketara antara cita rasa mempelai di bandar dan kampung turut mempengaruhi pereka dalam menghasilkan rekaan.
Walaupun fesyen berubah mengikut peredaran masa, ada juga pasangan raja sehari yang tidak mengikut rona warna semasa, sebaliknya memilih mengikut konsep yang akan digayakan ketika majlis perkahwinan nanti.
Jika diperhatikan rona pastel seperti putih, krim, coklat, kelabu atau perak lebih digemari pasangan moden yang akan melangsungkan perkahwinan berkonsepkan dalam taman atau di hotel mewah, sebaliknya warna terang seperti merah, hijau, ungu dan biru menjadi pilihan mereka yang tinggal di luar bandar, sekali gus memperlihatkan perbezaan dalam pemilihan warna.
Bijak mengetahui cita rasa pelanggan mendorong pemilik Jimmy Couture yang hanya mahu dikenali sebagai Jimmy menghasilkan rekaan moden, sopan dan ringkas yang sesuai digayakan untuk majlis persandingan.
Gaun labuh kembang bawah menggunakan rona segar seperti hijau, merah, kuning keemasan dan krim menjadi pilihan Jimmy dalam menghasilkan rekaan. Setiap rekaan mengambil kira keperluan pelanggan serta warna kegemaran mereka.
“Apa yang saya perhatikan di bandar, mempelai lebih menggemari warna pastel seperti putih, krim, kelabu atau perak berbeza dengan mempelai yang tinggal di luar bandar kerana mereka meminati warna terang kerana lebih ceria dan menggoda,” ujarnya.
Namun begitu, Jimmy tidak menyerahkan seratus peratus kepada pelanggan, sebaliknya berkongsi idea bagi menghasilkan pakaian yang bukan saja cantik di mata mereka tetapi juga tetamu. Mengambil kira warna kulit, jenis tubuh dan ketinggian menjadi faktor utama menghasilkan rekaan.
“Warna kulit mampu menentukan warna pakaian pada hari persandingan. Mereka yang berkulit gelap sudah semestinya tidak sesuai memakai busana daripada rona gelap seperti hitam atau coklat sebaliknya memilih warna cerah.
Berbeza dengan mereka yang memiliki kulit cerah sesuai mengenakan apa saja rona,” ujarnya.
Bagi memberikan keselesaan kepada mempelai, Jimmy memilih fabrik lembut seperti sifon, sutera sifon dan satin sutera dilapisi renda Perancis bagi menyerlahkan lagi keanggunan mempelai ketika menggayakannya.
Semua fabrik ini nyata sesuai untuk raja sehari kerana bersifat lembut, jatuh serta terletak cantik pada tubuh si pemakai.
Bagi fabrik polos sudah semestinya perincian manik seperti swarovski, kristal dan sequin mampu menyerlahkan keanggunan wanita tatkala bersanding di atas pelamin.
“Namun saya mengehadkan jumlah perincian dan hanya untuk bahagian tertentu bagi mengelak padanan terlalu sarat dan menonjol sehingga menenggelamkan kejelitaan ratu sehari.
Sebaiknya pilih bahagian tertentu seperti dada, hujung tangan dan bahu yang paling sesuai diletakkan perhiasan,” ujarnya.
Jimmy Couture yang beroperasi sejak sembilan tahun lalu memulakan perniagaan di rumah dan kemudian membuka butik di Senawang, Negeri Sembilan selepas melihat sambutan daripada masyarakat setempat.
Katanya, lokasi butik yang terletak di Negeri Sembilan itu membolehkan mempelai dari Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur mendapatkan perkhidmatannya.
Selain busana, Jimmy Couture turut menyediakan dekorasi pelamin, solekan dan jurugambar. Untuk tempahan pakaian, ia bermula daripada RM2,500 ke atas manakala pakaian disewa berharga RM1,500 ke atas.