Fungsi Olesan Mekap

Untuk menyerlahkan kemasan mekap raja sehari, gaya solekan mestilah sesuai dengan bentuk wajah mempelai. Fokus utama yang perlu dikenal pasti adalah titik fokus pada wajah. Bentuk kening menjadi rangka asas yang perlu diberikan perhatian.

Mainan warna digunakan perlu diadun sebati pada seluruh wajah agar kelihatan lebih sekata dan tidak bertompok. Terutama sekali apabila membuat sapuan pembayang mata. Untuk membuatkan bahagian mata lebih menyerlahkan campuran warna pembayangnya perlu diadun sempurna.

Mulakan dengan warna asas yang gelap sebagai dasarnya pada keseluruhan kelopak mata kemudian lapiskan dengan warna lebih cerah dan ratakan pada penghujung soket mata.

Bukan hanya gabungan warna malah, cara olesan mekap juga memainkan peranan untuk menyerlahkan lagi seri pengantin.

Apabila menggunakan berus di awal sapuan kemaskan kembali menggunakan span agar garis berus digunakan tadi hilang dan wajah kelihatan lebih halus dan licin.

Tip membentuk tulang kening yang sesuai dengan wajah.

Bentukkan lengkung kening mengikut raut wajah kerana bentuk setiap wajah berbeza. Untuk menentukan kedudukan tulang kening guna kaedah kedudukan mata hitam – pandang ke hadapan dan ukur bahagian tengah mata bagi menentukan titik tulang kening asli.

Bagi muka bulat, kening perlu dibentuk sedikit melengkung tetapi elakkan terlalu panjang di bahagian hujungnya kerana ia akan membuatkan pengantin
kelihatan lebih berusia.

Kening memainkan peranan penting dalam tatarias mekap, seeloknya jangan membuang kening terlalu banyak cukup sekadar merapikan bahagian dikehendaki saja.

Pensel penggaris mata digunakan perlu tajamapabila ingin melukis
kening. Mulakan di bahagian dalam mata dan mengikut garis kening.

Buat dua garisan – untuk bahagian atas (ukir dalam rerambut bukan di bahagian luar) dan bagi bahagian bawah pula lukis garisan selari, tarik dan cantumkan dengan garisan atasnya apabila sampai ke hujung bulu kening.

Layangkan pensel penggaris mata dan warnakan bahagian bulu kening terbabit – gunakan pembayang warna coklat agar kelihatan lebih semula jadi.

Kesan jika tidur tanpa menanggalkan riasan mata

Rasa tidak selesa pada mata boleh berlaku sekiranya mekap termasuk dalam mata ketika sedang tidur akibat bergesel dengan bantal.

Kerap tidur tanpa menanggalkan mekap mata akan menyebabkan folikel bulu mata dan kelenjar minyak di bahagian mata tersumbat dan menyebabkan pembiakan bakteria yang menjadi punca radang kulit. Bintik kecil dikenali sebagai styes atau hordoelum akan terbentuk.

Dinasihatkan untuk meletakkan penanggal mekap bersama kapas berdekatan katil agar mudah untuk menanggalkan mekap ketika berada dalam keadaan yang terlalu penat.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

495 views