Gabungan Dua Warna
BAGI bakal pengantin yang sukar membuat pilihan bentuk riasan mata, penting untuk mendapatkan bantuan pakar bagi menghasilkan solekan lebih menyerlah pada hari persandingan.
Penataan mekap di bahagian mata memberikan banyak kelebihan pada wanita kerana mata sentiasa menjadi fokus utama apatah lagi ketika melayan tetamu kelak.
Untuk memberikan pandangan lebih seksi dan tajam pada bahagian berkenaan, riasan mata gaya smokey mampu menyerlahkan penampilan.
Antara faktor yang perlu ditekankan ialah pemilihan dasar warna pembayang mata yang seharusnya bersesuaian.
Sebagai contoh, penggunaan warna perak berkilat sebagai pembayang mata dasar akan memperlihatkan lebih kilauan pada mata sebelum ditambah dengan warna pembayang mata diingini.
Bagi menghasilkan riasan warna mata lebih menyerlah, gabungan dua warna berbeza mampu memberikan kelainan. Penggunaan pembayang mata berwarna gelap pula menghasilkan pandangan mata lebih tajam.
Tumpukan pada hujung mata dengan membuat sapuan warna lebih tebal pada kawasan berkenaan sebelum dikemaskan ke seluruh kelopak mata.
Kemudian gunakan penggaris mata pada bahagian atas garis kelopak mata dan bagi membentuk mata lebih besar dan galak, panjangkan sedikit garisan terbabit pada bahagian tepi mata.
Akhiri solekan dengan maskara agar bulu mata lebih terletak terutama apabila menggunakan gabungan bersama bulu mata palsu.
Terima kasih:
Farrah Rizs Bridal (www.facebook.com/farrahrizsbridal)
No 69, Jalan F4, Fasa 5,
Taman Melawati, Kuala Lumpur (019-6200879/
012-2598920)
Model: Suzieana Razali
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26