Gabungan Klasik, Kontemporari

Cukup membahagiakan saat kaki melangkah sambil berpimpin tangan menuju ke pelamin, disaksikan saudara-mara serta sahabat handai yang memeriahkan majlis.

Tiada ungkapan yang mampu disuarakan tatkala menjadi ratu dan raja sehari, hanya perasaan gembira terlihat di wajah pasangan pengantin.

Di sebalik keindahan bergelar pengantin baru, jangan dilupa memilih persalinan sesuai dengan mekap menarik bagi menjanjikan penampilan tampak lebih berseri.

Pelbagai imaginasi indah bermain dalam minda menjelang tiba hari yang dinanti-nantikan termasuk mengidamkan busana sesuai.

Bagi wanita, perkara ini sememangnya penting iaitu memilih busana yang tampak gah di hari persandingan.

Menurut pemilik butik andaman Yon Ramzie Collection (YRC), Yon Ramzie Samat, sebaiknya pengantin perlu memilih persalinan mengikut saiz badan, ketinggian dan konsep majlis.

“Jika mahu menggunakan dua tema berbeza dalam satu masa, mereka harus bijak memilih padanan bersesuaian misalnya konsep moden dan klasik.

“Saya sarankan bakal pengantin untuk memilih warna pastel pada persalinan dengan potongan moden untuk lebih selamat terutama pada majlis yang dilangsungkan di siang hari.

“Untuk lebih menarik, gayakan persalinan fabrik songket, namun direka dengan potongan moden bagi memenuhi tema klasik dan moden diidamkan,” katanya.

Bagi mereka yang mahu menggayakan persalinan dengan warna terang, majlis sebelah malam lebih sesuai bagi menonjolkan keanggunan dan keceriaan kedua-dua pasangan.

Justeru, kebanyakan koleksi persalinan ratu dan raja sehari yang direka sendiri Yon Ramzie masih mengekalkan gaya klasik yang digabung bersama potongan kontemporari bagi mengikut aliran fesyen semasa.

Dia sentiasa mengingatkan bakal pengantin supaya memilih butik andaman yang betul bagi mengelakkan mereka tertipu dengan janji manis butik berkenaan.

“Apabila memilih butik andaman terutama secara dalam talian, sebaiknya buat kajian terlebih dulu seperti pengalaman dan maklum balas daripada pelanggan mereka.

“Pastikan kita tahu lokasi butik andaman yang dipilih dan bukan hanya melihat sehelai baju saja, terus setuju membuat tempahan,” katanya.

YRC mula dibuka di rumah pada 1995 sebelum berpindah ke lokasi strategik untuk menjalankan perniagaan andaman separuh masanya di Taman Desa Seputeh, Kuala Lumpur.

Bagi memudahkan bakal pengantin mencari maklumat mengenai khidmat butik andamannya, Yon Ramzie turut aktif di laman Facebook/Yon Ramzie Samat.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

683 views