Gabungan Rona Cerah, Gelap

LAIN orang berbeza cara mereka. Sering kali kita melihat jurusolek mengenakan bedak asas sebagai langkah pertama ketika bersolek, namun ada antara mereka memilih memulakan solekan mata kerana berpendapat tumpuan pada mata mampu meninggalkan kesan berbeza.

Selain itu, menyelesaikan tugasan dalam solekan mata mempercepatkan mekap kerana anda tidak perlu bimbang pada pembayang mata yang ‘jatuh’ pada bawah mata selepas sapuan bedak asas kerana ia boleh dibersihkan tanpa merosakkan wajah.

Menurut jurusolek profesional, Anna Ismail, bagi mendapatkan lirikan mata menggoda, perkara pertama yang harus diberi penekanan ialah asas pembayang mata. Pilih warna krim atau serum yang mudah disapu di seluruh kelopak untuk menjamin ketahanannya. Kemudian, sapukan primer yang anda gemari diikuti warna pembayang mata.

“Pilih pembayang cerah terlebih dulu diikuti rona gelap. Ini bertujuan menjadikan mekap lebih sempurna dan tidak comot. Sapukan warna cerah pada kelopak mata dengan kuantiti mencukupi dan pastikan sapuan anda rata. Selepas itu, pilih warna lebih terang untuk diadun dengan warna asas bagi membangkitkan kejelasan pada kelopak mata,” katanya.

Namun begitu, pemilihan sapuan rona gelap atau terang bergantung pada kreativiti masing-masing, malah tiada peraturan ditetapkan. Tetapi apa yang membezakan keindahan mata seseorang adalah pada kebijaksanaan individu memilih serta mengadun warna pembayang mata. Lebih lama anda mencampur dan membuat sapuan pada kelopak mata, solekan menjadi lebih sempurna dan hebat. Dalam hal ini, penting untuk jurusolek berimaginasi bagi mendapatkan hasil mengagumkan.

Selepas itu, sempurnakan solekan dengan celak pada bahagian akar bulu mata sama ada mahukan yang tebal atau nipis. Jika inginkan mata lebih galak, buat sedikit tebal dengan sapuan berulang kali dan lebihkan pada hujung mata. Seni tangan dalam menghasilkan olesan ini berbeza antara individu.

“Apa yang penting jangan keterlaluan kerana calitan celak mampu mengubah penampilan seseorang. Amat penting solekan mata mengikut majlis yang akan dihadiri. Apabila solekan mata selesai, ambil maskara dan mulakan dengan mengoles pada bahagian akar bulu mata berulang kali untuk mendapatkan bulu mata lebih lentik, hitam dan panjang. Jangan sesekali memakai bulu mata palsu sekiranya anda memiliki bulu mata yang panjang,” jelasnya.

Menurut Anna, dia lebih puas sekiranya memulakan solekan pada perkara penting serta menjadi tumpuan ramai. Apabila selesai, barulah beralih kepada pemakaian bedak asas, pemerah pipi, bayangan dan gincu.

“Namun semuanya terpulang kepada seni tangan masing-masing. Mungkin ada jurusolek selesa memakai bedak asas terlebih dulu diikuti pembayang mata, namun ada juga memberi tumpuan pada mata kerana di situlah letaknya kunci kejelitaan wanita.

“Malah tiada ketetapan dalam menentukan keanggunan seseorang. Apa yang penting pemilihan warna serta teknik digunakan,” ujarnya.

Panduan solekan mata:

Gunakan berus berkualiti dan berbulu lembut. Ini kerana bulu yang keras akan menyukarkan anda mengadun warna pembayang mata, sekali gus mendapatkan gabungan warna menawan.

Gunakan warna pembayang mata berkualiti. Melabur sedikit tidak salah kerana jika anda menggunakan alat solek yang tidak bermutu, kemungkinan besar ia akan merosakkan kulit dan warna dihasilkan kurang sempurna.

Selain berus, jari juga boleh digunakan untuk mengadun warna pembayang mata terutama pada bahagian hujung mata. Ia nampak lebih asli dan semula jadi.

Warna terang hanya digunakan pada hujung mata dan bukannya di seluruh mata kerana ia akan menampakkan anda seperti badut.

Betulkan solekan menggunakan putik kapas, bukan dengan jari.

Warna metalik mungkin akan menambah seri pada mata tetapi jika anda terlebih guna, ia akan menjadikan wajah tampak berusia.

Jika anda mahu menggunakan teknik solekan smokey, elakkan membuat sapuan di bawah mata kerana ia nampak seperti mata anda ditumbuk atau lebam.

Anda digalakkan memakai pembayang mata sebelum celak diikuti maskara.

Sapu bedak asas pada kelopak mata supaya solekan tahan lama.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

793 views