Gabungan Rona Terang, Gelap
Sesiapa juga pasti teruja setiap kali melihat wanita berpenampilan menawan sama ada pada busana mahupun solekan. Jika ditenung, selain sapuan bedak asas pada kulit, kerlipan mata menjadi tarikan penting yang mampu menyerlahkan personaliti sesuai dengan pepatah, dari mata turun ke hati.
Bagi mendapatkan lirikan menggoda serta menjadi tumpuan, solekan smokey menggunakan kombinasi dua rona pembayang mata mampu menyerlahkan penggayaan wanita.
Ini diakui Eksekutif Pemasaran Kanan Averine, Tan Cher Lynn yang menjelaskan, mendapatkan asas solekan smokey terletak pada gabungan dua jenis rona pembayang mata iaitu gelap sebagai bayangan dan terang sebagai asas sapuan.
Bagi mendapatkan paduan solekan mata sekata, aplikasi dimulakan dengan sapuan rona cerah ke seluruh kelopak mata sehingga ke tulang kening, diikuti sapuan rona gelap pada seluruh kontur mata.
Namun begitu, kreativiti dan keberanian jurusolek ketika mengadun warna menjadikan solekan smokey lebih unik dan tersendiri.
“Apa yang perlu diketahui ialah pemilihan serta teknik dalam mengadun warna. Ini kerana tidak semua rona pembayang mata sesuai untuk solekan smokey. Sebaiknya, pilih rona gelap dan terang, kemudian sapu berulang kali pada kelopak mata sehing-ga ia mewujudkan kesan menyerlah,” ujarnya.
Selepas itu, tambah celak pada atas dan bawah mata bagi mewujudkan kesan dramatik. Maskara sangat penting untuk solekan smokey kerana ia akan membuatkan mata lebih bersinar disebabkan bulu mata yang hitam, panjang dan lebat. Selepas itu, sapukan pemerah pipi dan gincu sebagai pelengkap kepada gaya smokey.
Walaupun ada berpendapat wanita bermata kecil tidak sesuai mengenakan solekan jenis ini, sebenarnya teknik ini mampu membuatkan mata lebih besar, galak dan bersinar. Apa yang penting, jangan takut memilih warna kerana selagi tidak membuat sapuan, kesempurnaan solekan tidak dapat dilihat dengan jelas.
Selain untuk majlis makan malam, solekan mata smokey boleh digayakan ke majlis minum petang atau majlis bertema seperti hari jadi, acara permaidani merah atau aktiviti kasual sama ada mengenakan pakaian berkonsep elegan atau santai.
Panduan solekan smokey
Mulakan dasar solekan smokey dengan sapuan penyamar cela di seluruh bahagian wajah termasuk bawah mata.
Gunakan celak untuk membuat garis bawah mata, bermula dari bahagian tengah menuju ke luar.
Menggunakan berus pembayang mata kecil atau putik kapas, lembutkan penjuru garis celak tadi. Sapu sedikit pembayang rona gelap untuk mencipta bayang semula jadi.
Adunkan pembayang mata rona cerah dan semula jadi ke seluruh kontur mata atas termasuk di bawah kening. Kemudian dengan pembayang rona gelap, oleskan alat solek secara berlapis-lapis agar dapat memilih tahap kegelapan yang diingini. Berikan perhatian pada penjuru mata agar kemas dan sapukan maskara sebagai penyeri solekan.