Gabungan Tudung, Selendang

Kombinasi warna dalam penghasilan tudung satu perkara yang sangat penting serta memerlukan ketelitian. Ini kerana ia memerlukan teknik serta daya imaginasi yang tinggi bagi menghasilkan gabungan warna sepadan, menyerlah, anggun serta tampak eksklusif.

Menyedari wanita masa kini semakin berani serta bijak bergaya, jenama tudung Fareeda masih mengekalkan kombinasi rona terang pada tudung Khadeeja dengan merujuk kepada warna kegemaran wanita kemudian dipadankan dengan corak dan olahan pemilik Fareeda sendiri, Faridah Zakaria.

“Sejak dulu hingga kini kombinasi warna sentiasa menjadi keutamaan jenama ini dan ia diteruskan dalam penghasilan tudung terbaru Khadeeja yang mengetengahkan gabungan warna terang seperti merah jambu, kuning, hijau, biru laut, ungu, merah, coklat, hitam dan jingga yang kemudiannya diolah Unit Kajian dan Pembangunan (RD) Fareeda,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tudung terbarunya ini, Khadeeja adalah hasil kombinasi tudung sarung bersengkuap bersama selendang yang dijahit sekali. Menariknya, tambahan perhiasan seperti bunga baldu dan kerongsang berpalang sebagai aksesori tambahan bagi menyerlahkan keanggunan si pemakai.

Menurut Faridah, idea menghasilkan tudung ini tercetus selepas menyedari masih ramai peminat tudung jenis bawal di Malaysia. Jadi dia mereka satu tudung menyerupai jenis bawal tetapi menggunakan material sifon berkualiti dua lapis dengan tambahan kerongsang yang boleh disematkan pin pada bahu atau kepala.

“Tudung Khadeeja menjanjikan keistimewaan kepada wanita kerana ia tudung jenis sarung tetapi pada masa sama digabungkan dengan selendang yang menampakkan seolah-olah wanita memakai tudung bawal,” katanya.

Bagi memperlihatkan konsep serba guna, tudung ini didatangkan dalam empat gaya berbeza sama ada dipinkan kerongsang di bahu atau di kepala. Ini bagi memberikan lebih pilihan terutama kepada wanita berkerjaya sama ada menyesuaikan untuk ke pejabat atau menghadiri acara kasual.

Wanita juga tidak perlu bimbang mencari kerongsang sepadan kerana setiap pembelian disertakan kerongsang mengikut warna tudung.

Fareeda meletakkan kerongsang pada tudung rekaannya supaya tampak eksklusif dan bergaya. Malah daripada kajian dilakukan Faridah, kerongsang adalah perhiasan kesukaan wanita dan pasti akan kekal keindahannya apabila dipakai bersama tudung.

Selain warna dan corak, Fareeda masih mengekalkan penggunaan material sifon dalam setiap rekaan terbaru termasuk tudung Khadeeja. Ini kerana Faridah sendiri sudah mencuba pelbagai jenis kain dan akhirnya memilih sifon kerana material ini terbaik dan berkualiti tinggi. Malah dia juga mendapati material jenis ini lebih lembut, tidak panas dan terletak cantik apabila dipakai.

Untuk tudung Khadeeja, penggunaan sifon dua lapis berbeza warna dipilih bagi mengekalkan identiti Fareeda. Dengan ukuran standard 13 inci labuh, selendang boleh dipanjang atau dipendekkan mengikut cita rasa wanita.

Menjelang Aidilfitri ini, Fareeda bukan saja menyediakan tudung Khadeeja dan Zaynab versi bawal malah rekaan sedia ada seperti Sofiya, Suzanna dan Sara bagi memenuhi keperluan wanita. Dalam pada itu koleksi jubah dewasa dan kanak-kanak turut disediakan bersama tudung untuk si kecil yang pastinya memberikan kelainan untuk seisi keluarga.

Sempena Syawal, disediakan harga promosi istimewa untuk tudung Khadeeja. Semua produk keluaran jenama terbabit boleh didapati di semua butik yang terletak di Bangi, Shah Alam dan Pulau Pinang. Untuk jangka masa panjang, jenama terbabit merancang untuk menambah cawangan serta mengintai peluang di negara Timur Tengah seperti Arab, Mesir, Turki dan Iran.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

877 views