Galak Aktiviti Hijau Bersama Keluarga

“Pernah lihat padi? Pernah kumpul biji getah? Atau pernah lihat kerbau berkubang di bendang?” Hanya geleng dan perkataan ‘tidak’ yang diterima apabila sesekali bertanyakan soalan ini kepada beberapa kanak-kanak bandar yang penulis kenali.

Sedih dan kesal kerana ibu bapanya tidak mendedahkan si kecil dengan alam semula jadi tapi penulis juga sedar bahawa arus kemodenan yang dikecapi kini makin lama menghanyutkan kita daripada nikmat yang pernah dirasai keturunan kita dulu.

Bergerak ke arah matlamat melestarikan bumi memerlukan perubahan asas dalam sikap serta tingkah laku manusia. Kemajuan atau perkembangan ke arah matlamat ini banyak bergantung kepada aspek pendidikan dan kesedaran awam.

Menanggalkan palam, menutup suis yang tidak digunakan atau memandu kereta hibrid sedikit sebanyak dapat membantu memelihara alam tapi lebih ramai pula yang tidak berusaha ke aras melestarikan bumi hingga boleh dihitung dengan jari.

Berapa kerat sangatkah yang benar-benar faham konsep 3R – Reuse, Reduce, Recycle (guna semula, kurangkan, kitar semula)?

Meskipun istilah ‘alam sekitar’ digunakan secara meluas untuk pelbagai perkara, model asasnya digabungkan dengan persekitaran fizikal serta bentuk kehidupan biologi.

Disebabkan permintaan, desakan serta rutin kehidupan manusia yang makin meningkat, alam sekitar kini berdepan beberapa masalah atau fenomena antaranya jerebu, banjir kilat, pemanasan global, lapisan ozon yang makin nipis dan
pencemaran alam dalam setiap bentuk.

Biosfera bumi makin lama tidak mampu menampung semua ini lalu sudah tiba masanya manusia perlu sedar dan proaktif melakukan sesuatu, walaupun sedikit, agar dapat menyelamatkan alam sekitar yang kita diami.

Konsep pembangunan lestari untuk kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera bukanlah perkara mudah tapi tidak sukar pula untuk dimulakan.

Di sinilah munculnya peranan penting ibu dan bapa atau figura dominan – sama ada si ibu atau sang bapa – dalam sesebuah keluarga.

Selain menguruskan hal rumah tangga dan keperluan keluarga, ibu dan bapa juga perlu peka mengenai alam sekelilingnya.

Benar, kepemimpinan hanya disusuli dengan teladan. Jika ibu bapa tidak mengambil inisiatif atau sambil lewa dengan apa yang berlaku di sekelilingnya, jangan pula mengharap si kecil akan bertindak responsif apabila diminta melakukannya.

Jelas Presiden EcoKnights, Yasmin Rasyid, figura dominan dalam keluarga – biasanya ibu – amat berpengaruh dalam memastikan ahli keluarganya mengamalkan nilai murni dan kelebihan itu sebaiknya digunakan bagi membantu melestarikan bumi ini.

“Kanak-kanak adalah masa depan negara kita. Menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik mereka mengenai apa yang mereka perlu tahu untuk menjaga planet ini.

“Bukan hanya untuk diri dan anak-anak mereka tapi bagi generasi seterusnya. Apa saja yang dilakukan ibu bapa mampu memberi kesan besar dalam keluarga. Disebabkan itulah ibu bapa perlu memperkasakan diri dengan kesedaran serta ilmu mengenainya, lalu diaplikasikan kepada anak-anak hingga ke peringkat lebih luas.

“Yang penting ia mesti dimulakan dalam kalangan ahli keluarga sebelum dibawa keluar kepada komuniti,” katanya.

Tambah Yasmin, kanak-kanak akan belajar menerusi apa yang dilihat daripada perlakuan ibu bapanya. Jika ibu bapa mula mengamalkan cara hidup hijau dan mengurangkan pembaziran, kanak-kanak ini pasti terpengaruh dan sedia melakukannya tanpa disuruh.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu tunjukkan pada mereka betapa pentingnya menjaga alam sekitar menerusi tindakan yang kita lakukan dan bukan hanya secara lisan.

“Tidak membuang sampah merata-rata atau keluar dari kenderaan, mengasingkan sisa sampah dan membaiki peralatan yang rosak adalah antara perkara mudah yang boleh dilakukan bersama anak-anak.

“Menggalakkan anak-anak menggunakan bekas makanan dan berjimat-cermat menggunakan air serta elektrik juga dapat memberi impak besar, bukan saja pada sahsiah mereka malah alam sekitar dan pengurusan bajet keluarga yang lebih tersusun.

“Hasilnya bukan boleh dilihat dalam sehari dua dan faktor sabar banyak memainkan peranan dalam hal ini. Tapi apabila seluruh keluarga terbiasa melakukannya, pasti muncul hasil yang lebih memberangsangkan,” katanya.

Bagaimanapun Yasmin menegaskan bahawa ibu bapa terlebih dulu perlu mengambil tahu dan sedar dengan kefahaman anak mereka mengenai alam sekitar.

“Kebanyakan kanak-kanak zaman ini sudah tahu bagaimana untuk menjaga alam sekitar kerana ia diajar dan ditekankan di sekolah. Yang menjadi masalahnya pula ialah ibu bapa yang tidak peduli dengan perkembangan anak mereka.

“Lebih buruk apabila ada kanak-kanak yang bertanyakan saya bagaimana untuk menyedarkan ibu bapa mereka agar lebih peka dengan alam sekitar.

“Situasi ini jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak moden ini sudah mampu berfikir secara realistik tapi tidak berupaya melakukannya sendirian kerana perlukan bantuan keluarga,” ujarnya.

Yasmin mengesyorkan aktiviti hijau seperti bercucuk tanam atau kembara trek bukit bersama ahli keluarga pada setiap hujung minggu mahupun kala musim cuti.

Jika tidak dapat melakukannya, boleh cuba dengan melabelkan beberapa kotak sampah untuk jenis sampah yang berbeza.

Dari situ ia akan mencambah minat kanak-kanak untuk mengetahui mengapa perlunya diasingkan sampah-sarap dan kesannya kepada alam sekitar.

4,000 bebola lumpur stabilkan tasik

Gerakan memulihara tasik seperti dilakukan penduduk sekitar Lake Edge, Puchong, baru-baru ini, bukan sekadar membantu menjaga alam sekitar tapi turut menjurus kepada perhimpunan keluarga.

Rata-rata yang hadir membawa anak masing-masing bagi mendedahkan mereka dengan peri pentingnya alam sekitar kepada ekosistem di sekelilingnya.

Selain perkongsian maklumat mengenai pengasingan sampah yang diamalkan di Jepun, penduduk juga berpeluang menghasilkan lebih 4,000 bebola lumpur yang kemudiannya dibaling ke tasik berhampiran.

Sejak tahun lalu, penduduk saling bekerjasama meminimumkan kesan pencemaran tasik di sekitar kediaman mereka dengan pembuangan bebola lumpur terbabit.

Bebola lumpur dikenal pasti berupaya membantu membersihkan air, mengurangkan bau dan meningkatkan tahap kebersihan apabila mikrobakteria yang terkandung di dalamnya dilepaskan secara perlahan-lahan selepas mendap di dalam air.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,291 views