Galak Makan Dari Muda
Melihat tubuhnya yang langsing dengan wajah cerah berseri ramai tidak menyangka wanita ini sudah berusia 44 tahun. Malah, jika dilihat daripada luaran pasti ada mengatakan dia berusia awal 30-an berdasarkan kulit wajah yang bersih, tegang tanpa sebarang masalah. Namun, sebenarnya Salina Sari Ghazali sudah memiliki empat cahaya mata dan dua daripadanya baru saja menamatkan pengajian di universiti.
Ditanya apakah rahsianya memiliki wajah awet muda, sambil tersenyum dia memberitahu amalan mengambil jamu yang sering dikaitkan dengan wanita lepas bersalin membantu untuk kekal muda, sihat dan bertenaga.
Ujarnya, sejak kecil dia melihat ibu Nadrah Syed Ali, 69, menghasilkan jamu berasaskan herba seperti jintan manis, jintan putih, bunga lawang, buah pala, pelaga, lada hitam, cengkih sehingga 23 jenis rempah yang dikisar kemudian dijadikan bebola kecil.
“Sejak kecil saya sering menemani ibu membeli bahan herba di kedai. Ketika kecil lagi saya sudah mengenali yang mana satu bunga lawang, pegaga, cengkih dan lada hitam. Saya juga membantunya mencuci semua bahan sebelum ditumbuk untuk dijadikan adunan.
“Kemudian kami adik-beradik membantu ibu menggentel adunan herba menjadi sebesar biji kacang yang disalut madu. Apabila siap, jamu ini dijemur agar tahan lama sebelum dimasukkan ke dalam botol untuk dijual kepada pelanggan.
“Biasanya kebanyakan tempahan daripada saudara-mara, rakan dan jiran tetangga saja. Oleh kerana berkesan mengatasi masalah dalaman wanita terutama haid tidak teratur, pening, angin, sakit perut dan tidak bertenaga, lama-kelamaan ia menjadi terkenal dan menjadi pilihan wanita,” katanya.
Salina sendiri mengamalkannya sejak berusia 17 tahun dan langsung tidak mengambil sebarang makanan tambahan. Ini kerana ibu yang berasal dari Yaman seorang pengusaha jamu Arab yang diperturunkan sejak 100 tahun lalu daripada satu generasi kepada generasi lain.
“Ibu menghasilkan jamu sendiri sejak bertahun-tahun lamanya yang diperturunkan daripada nenek. Sejak datang ke Malaysia, dia menjalankan perniagaan ini, namun hanya secara kecil-kecilan terutama jika tempahan daripada saudara-mara dan rakan. Namun, ibu berpesan supaya mewarisi apa yang dilakukannya itu,” katanya.
Walaupun ketika itu Salina sudah mengetahui bagaimana jamu dihasilkan, dia masih belum berminat menjadikan perniagaan ini lebih komersial sehinggalah suatu hari ibunya menyuarakan hasrat untuk bersara dan inginkan salah seorang anak mengambil alih. Memikirkan sudah lama berkhidmat dalam sektor swasta, sampailah masanya dia mempunyai perniagaan sendiri.
Keputusan untuk memasarkan jamu secara komersial dibuat selepas mendapat permintaan ramai dalam kalangan rakan yang sememangnya mengamalkan jamu keluarannya.
“Pada awal keluaran, jamu di bawah jenama Salina Sari Health Beauty hanyalah untuk rakan rapat dan saudara-mara. Tetapi apabila semakin hari permintaan semakin banyak dan pasarannya sudah meluas, saya mula terfikir untuk mengusahakan secara besar-besaran.
“Saya tekad berhenti kerja kerana ingin memberi sepenuh perhatian dalam perniagaan. Lagi pun sebelum berhenti kerja, saya sudah mendapat maklum balas positif pelanggan mengenai produk yang saya pasarkan,” katanya.
Perkara pertama yang dilakukan Salina adalah mencari pengilang yang dapat menyediakan produk mengikut apa yang sudah ditetapkan. Di sinilah cabaran bermula kerana tidak ramai yang sanggup mengikut terma ditetapkan. Misalnya perlu mencuci semua bahan sebelum dikisar dan memastikan semua peralatan bersih dan selamat.
“Mujur saya bertemu pemilik kilang di Subang yang juga berasal dari Arab. Dia bersetuju memenuhi permintaan saya. Dia juga mengakui bahan yang digunakan adalah kombinasi herba terpilih yang diperoleh terus dari India dan mempunyai khasiat tersendiri,” katanya.
Dapatkan sijil halal Jakim dan KKM
Dalam pada itu, wanita ini tidak duduk diam kerana merasakan perlunya mendapatkan sijil halal dan perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjual Salina Sari Health Beauty di pasaran terbuka. Antara yang dipasarkan adalah Sari Segar Herbs, Lawas Lega, Habbatus Sauda Nigella Sativa dan Bunjut Ajaib.
Jelasnya, setiap satu mempunyai peranan masing-masing, contohnya Sari Segar Herbs, Lawas Lega dan Bunjut Ajaib baik untuk ‘menyuburkan’ badan dan berfungsi menjaga kesihatan dalaman wanita. Kebanyakan wanita hari ini bekerja di pejabat pada masa sama menguruskan keluarga di rumah.
“Ini menyebabkan mereka mengalami tekanan kerana perlu menyediakan semua keperluan serentak. Tekanan bukan setakat mempengaruhi badan seperti letih, tidak bertenaga, haid tidak teratur, tetapi menyebabkan wajah tidak bermaya dan berjerawat,” katanya.
Salina berkata, penggunaan bahan berkualiti amat dititikberatkan dalam usaha menjadikan jamunya betul-betul berkesan dan memberi manfaat kepada pengguna.
Herba yang dipilih mempunyai khasiat tersendiri dan mampu memperbaiki sistem tubuh. Misalnya kulit kayu manis berkesan dalam merawat ulser, lada hitam bagi membuang angin dan baik untuk ibu selepas bersalin manakala habatus sauda boleh mengubati semua penyakit kecuali mati. Kesemua jamu sesuai untuk semua orang kecuali Bunjut Ajaib yang dikhususkan buat wanita.
Kalau dulu setiap butir jamu digentel secara manual. Kini dengan adanya teknologi pengilangan, adunan jamu dimasukkan ke dalam kapsul bagi memudahkan pengambilan. Ini kerana ramai lebih menggemari dalam bentuk kapsul yang dapat melindungi rasa pahit atau baunya yang kuat.
“Pengambilan jamu keluaran kami juga amat mudah, hanya diambil setiap malam sebelum tidur. Semua jamu kami juga sesuai untuk wanita yang baru melahirkan cahaya mata. Ini kerana kandungan herba ini tidak menyebabkan badan rasa panas atau masalah kuning kepada bayi. Jadi wanita jangan bimbang, malah jamu ini dapat memberikan tenaga dan menyegarkan tubuh selain memperbanyakkan susu ibu. Bunjut Ajaib pula berfungsi mengatasi masalah ketidaksuburan wanita,” ujarnya.
Jika dulu Salina hanya mengharapkan pengiklanan daripada mulut ke mulut, tetapi kini dengan perkembangan teknologi maklumat serta kehebatan laman sosial dia turut menggunakan kemudahan ini untuk memasarkan produknya. Walaupun kurang mahir berbanding golongan remaja, demi memastikan produknya mendapat pasaran meluas, Salina mulai belajar bagaimana membentuk jaringan komunikasi dengan pelanggan.
“Alhamdulillah, selepas memasarkannya menerusi Facebook, semakin ramai mengenali jamu Salina Sari Health Beauty. Mereka bukan hanya membaca testimoni sebaliknya mencuba dan mengakui keberkesanannya,” katanya.
Menyedari pengambilan jamu dalam kalangan wanita Melayu masih belum meluas berbeza dengan Indonesia yang menggalakkan anak gadis seawal usia 15 tahun makan jamu, Salina menjelaskan jamu sepatutnya dijadikan amalan sejak muda dan bukan untuk wanita lepas bersalin saja.
Ini kerana jamu memberikan fungsi meluas untuk kesihatan luaran dan dalaman wanita. Dengan kombinasi pelbagai herba tidak mustahil ia membantu memberi penyelesaian kepada beberapa masalah seperti haid tidak teratur, kesuburan, keputihan dan keintiman suami isteri.
“Saya berharap jamu Salina Sari Health Beauty menjadi penyelesaian kepada masalah wanita. Malah, ibu boleh mula mendidik anak gadis mengamalkan jamu kerana ia tidak menggunakan bahan kimia,” katanya.
Ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan, Salina menjelaskan jamunya boleh didapati di salun dan ejen terpilih. Mereka yang berminat boleh melayari laman sosial Facebook Salinasariherbs atau www.salinasariherbs.com.