Galeri Seri Endon Pembuka Ruang

Batik dan masyarakat Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Bak irama dan lagu, batik sejak dulu menjadi fabrik pilihan utama dalam keluarga Melayu, malah Cina dan India yang menyarungkannya setiap hari.

Mengikut sejarah awalnya, batik mula diperkenalkan di Kelantan pada era 1910-an. Bagaimanapun, ketika itu rekaan dan pemakaiannya amat terhad sehingga pernah ke satu tahap di mana ia cuma boleh dipakai kerabat diraja sahaja.

Seiring dengan peredaran zaman, pemakaian batik kini tidak lagi terhad sebagai kain basahan atau kegunaan harian, sebaliknya menjadi salah satu koleksi rasmi pakaian kebangsaan.

Di samping usaha Yayasan Budi Penyayang yang memperluaskan pemakaian batik hingga ke persada antarabangsa, semakin ramai pereka muda mula membabitkan diri dalam seni rekaan batik ini.

Dilatari elemen moden dan kontemporari, barisan pereka generasi baru ini nyata menyuntik ilham baru dalam arena penghasilan batik yang selama ini hanya dikuasai golongan warga emas.

Lebih menarik apabila pereka muda ini bukan hanya dalam kalangan Melayu tapi berjaya memikat pereka bukan Melayu menceburi bidang ini.

Buktinya ketika persembahan koleksi terkini Galeri Seri Endon, minggu lalu, yang menyaksikan dua pereka berbangsa Cina, Karl Ng dan Zoe Tan digandingkan bersama Jaludin Zaini, Jamilah Shukri, Khalid Shamsuddin, Masrina Abdullah dan Suhairi Marlina.

Menurut Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah, Galeri Seri Endon sentiasa membuka pintu kepada pereka tempatan yang mahu meningkatkan martabat batik di peringkat global.

“Galeri Seri Endon sentiasa mempersembahkan pereka lama dan baru yang mahu turut serta membantu mengekalkan budaya warisan kita ini.

“Selain itu, platform yang disediakan Galeri Seri Endon ini diharap dapat mengembangkan lagi bakat baru agar dapat berkongsi daya kreativiti dan produk yang ingin ditonjolkan,” katanya.

Koleksi baru yang dihasilkan khusus untuk Aidilfitri ini dimulakan dengan tema ‘Pop Art’ oleh Jaludin Zaini. Pereka dari Sarawak ini bermain dengan rona pop lalu diterjemahkan pada batik dengan cetusan etnik segar dan moden.

Rekaan Jamilah Shukri menyusul dengan tema ‘The Soft Shades of Borneo’. Rekaan etnik Sarawak ini dimanifestasikan oleh Jamilah dalam palet warna lembut dan pastel.

Baginya, palet warna itu menggambarkan rona alam semula jadi yang indah dan menenangkan.

Karl Ng seterusnya mengangkat tema ‘Mahsuri’ yang mengadun rona alam seperti perang, hitam, kelabu dan biru.

Pereka senior, Khalid Shamsuddin kemudiannya tampil dengan tema ‘Kool’ yang menitikberatkan mainan warna dingin, selain ton hijau dengan suntikan merah jambu.

Keindahan musim bunga menjadi inspirasi Masrina Abdullah yang mempersembahkan rekaan ‘The Colours of Spring Allure’ dengan teknik lapisan warna.

Suhairi Marlina pula kekal dengan Aboriginal Abstract yang menjadi tanda pengenalannya selama ini. Rekaan abstrak nyata menarik kala diadun pada batik yang membuatkan rekaannya seakan-akan penuh dengan unsur keremajaan.

Tema ‘Simply Modern’ pula menjadi platform Zoe Tan yang berpegang kepada falsafah ringkas, moden dan pantas. Zoe cuba lari seketika daripada motif flora dan daun pada batik tradisional lalu digantikan dengan cetakan eksentrik.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

551 views