Gangguan Seksual Di Mesir
Perutusan hak asasi manusia dari Washington memberi peringatan baru-baru ini terhadap kegagalan kerajaan Mesir mengenal pasti pelaku di sebalik bilangan kes serangan kejam terhadap penunjuk perasaan wanita yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Pada masa sama, hampir 1,000 wanita berkumpul di Kaherah untuk mengutuk serangan seksual terkini. Sambil memukul gendang dan meniup wisel, kumpulan wanita berkenaan mencabar kenyataan beberapa ahli parlimen yang menyatakan kehadiran mereka di pusat tumpuan protes di Dataran Tahrir, menjadi sebab kepada serangan terbabit.
‘Kehadiran seorang wanita di dataran adalah satu revolusi tetapi kata-kata kamu Afifi memang memalukan’. Terpampang satu kain selempang yang merujuk kepada ahli parlimen, Adel Afifi, yang mengatakan golongan wanita sendiri yang mendedahkan diri mereka kepada serangan dengan bercampur gaul bersama lelaki di kawasan tidak selamat.
Walaupun gangguan seksual terhadap wanita sudah lama menjadi satu masalah di Mesir, puluhan serangan ganas di Dataran Tahrir dan kawasan sekitarnya dilaporkan sejak kejatuhan pemerintahan autokrat Hosni Mubarak dua tahun lalu.
Ratusan lelaki yang masih belum dapat dikenal didapati mengambil bahagian dalam serangan ke atas wanita dengan merobek pakaian dan menyentuh mereka malah dalam satu kes, merogol seorang gadis berusia 19 tahun bersenjatakan pisau.
Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) bagi Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Buruh, Michael Posner, mengkritik sistem keadilan jenayah Mesir.
Ini disebabkan kegagalannya untuk mengenal pasti dan membawa pelaku yang terbabit dalam kes rogol serta perbuatan keganasan terhadap wanita yang semakin membimbangkan, ke muka pengadilan.
Dalam pertemuan dengan pegawai rasmi Mesir, termasuk menteri, penasihat presiden dan ulama penting negara itu, Posner melahirkan kebimbangan Washington mengenai hak wanita yang tidak diutamakan di samping isu penting lain seperti ketelusan, kedaulatan undang-undang dan membina persekitaran yang lebih baik untuk masyarakat.
“Laluan kepada demokrasi dan kestabilan di Mesir mesti dilakukan secara aman. Tidak boleh berpatah semula ke masa lalu,” kata Posner kepada pemberita di Kaherah.
Sukarelawan awam lelaki dan perempuan yang ditawarkan untuk menjaga perhimpunan wanita baru-baru ini, memakai jaket berwarna neon dan topi keledar plastik.
Satu perhimpunan serupa turut diserang oleh perusuh pada Jun, walaupun dengan kehadiran pengawal sukarela.
Monelle Janho, 47, ibu kepada dua anak dan guru bahasa Perancis, berkata dia tidak lagi meninggalkan rumahnya tanpa pistol pegun berikutan peningkatan tahap keganasan di negara itu.
“Kami akan menggunakan keganasan jika perlu. Kami sudah berada di sini dan bukan mencari keganasan, tetapi mahukan Mesir yang dulu,” katanya.
Jurutera elektrik Manal al-Malla, 42, berkata, dia sudah mengambil bahagian dalam lebih banyak protes selepas gangguan seksual meningkat.
“Kami akan terus mempertahankan kebebasan dan maruah kami,” kata wanita itu.
Perhimpunan diadakan selepas penggubal undang-undang dalam Majlis Syura, baru-baru ini mencadangkan wanita perlu diberi ruang khas untuk membantah di Dataran Tahrir dalam usaha mengekang serangan seksual yang berulang terhadap mereka.
“Islam melihat wanita sebagai sebahagian daripada revolusi dan kini mereka memberitahu kami bahawa penyertaan kami adalah punca gangguan berkenaan,” kata al-Malla.
Bahey Eldin Hassan daripada Institut Pengajian Hak Asasi Manusia Kaherah, menerbitkan satu surat terbuka kepada Washington mengatakan AS gagal untuk menangani keganasan di bawah rejim semasa, mengatakan Mesir sudah bosan dihukum kerana pemberontaka mereka.