Gangguan Sistem Endokrin

INDIVIDU yang menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk barah sering dipersalahkan kerana mengabaikan gaya hidup sihat dan amalan pemakanan salah.

Hakikatnya, ada banyak lagi faktor menyebabkan kesihatan individu terjejas akibat gangguan pada sistem endokrin.

Sistem endokrin ialah sistem dalam badan yang bertanggungjawab menghasilkan hormon oleh kelenjar tertentu dan masuk ke dalam darah untuk mengawal atur aktiviti badan.

Ia penting untuk memastikan tubuh manusia mempunyai sistem yang sangat teratur dan seimbang.

Timbalan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UCSI, Dr Mustafa Ali Mohd berkata, tidak ramai mengetahui sistem endokrin sedangkan ia penting dalam tubuh bagi memastikan kesihatan individu pada tahap yang baik.

PESAKIT tiroid mengalami bengkak leher.

Beliau berkata, sistem endokrin ialah antara sistem agak kompleks dalam badan manusia.

“Fungsinya mengeluarkan hormon, mengawal paras gula dalam darah, tekanan darah, sistem pembiakan dan suhu.

“Terdapat 10 kelenjar utama pada sistem endokrin iaitu hipotalamus, pituitari, pineal, tiroid, paratiroid, timus, ovari, testis, pankreas dan adrenal,” katanya.

Menurutnya, ada banyak bahan yang boleh mengganggu sistem endokrin seperti alam sekitar dan barangan kegunaan harian iaitu makanan, plastik serta bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan telefon bimbit juga pakaian.

Dr Mustafa

“Bahan ini mengandungi bahan kimia yang tidak membunuh manusia, tetapi boleh memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan dalam jangka panjang.

“Bahan ini apabila masuk ke dalam badan, ia secara perlahan-lahan akan mengubah sistem endokrin dan hormon tubuh manusia,” katanya.

Dr Mustafa berkata, apabila sistem endokrin berubah, sistem dalam badan akan menjadi bercelaru daripada segi kawalan hormon.

“Kawalan hormon ini penting untuk pelbagai fungsi fisiologi dan perjalanan tubuh manusia.

“Gangguan sistem endokrin tidak menyebabkan kematian secara mengejut. Disebabkan itu ramai tidak memberikan perhatian terhadap bahan penyebab gangguan ini,” katanya.

Menurut Dr Mustafa, antara hormon penting kepada manusia ialah hormon jenis polipeptida yang dihasilkan oleh kelenjar pankreas bagi mengawal paras gula dalam darah.

Satu lagi ialah hormon estrogen yang berfungsi mengawal ciri-ciri wanita iaitu perkembangan seksual dan pembiakan.

JUMPA doktor untuk rawatan lanjut.

Menurut Dr Mustafa, dalam sistem ini, setiap hormon saling berfungsi dan sekiranya ada gangguan pada satu daripada hormon, kemungkinan besar ia boleh mengganggu fungsi hormon yang lain.

“Pendedahan kepada bahan yang mengganggu sistem endokrin boleh menyebabkan tiga kemungkinan.

“Pertama, bahan ini bertindak dalam hormon dan menghalangnya berfungsi. Juga seolah-olah hormon itu tidak wujud dalam badan untuk bertindak,” katanya.

Menurut Dr Mustafa, kesan kedua ialah bahan itu bertindak sebagai hormon yang menipu badan manusia.

Contoh, bahan ini bertindak seperti hormon estrogen.

“Jika termakan bahan ini, seolah-olah tubuh mengeluarkan banyak hormon estrogen sedangkan itu bukan hormon estrogen, tetapi bahan lain.

“Kesan terakhir, apabila bahan ini masuk ke badan, ia akan menghasilkan tindak balas tidak terkawal.

“Pelbagai kemungkinan boleh terjadi antaranya melemahkan fungsi kognitif dan mengganggu proses tumbesaran,” katanya.

Menurut Dr Mustafa, orang ramai perlu mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan yang mengganggu sistem endokrin.

“Caranya ialah mengenal pasti bahan gangguan berkenaan seperti bisfenol A (BPA) dan phthalate.

“Bahan pencemar ini (BPA dan phthalate) adalah bahan asas dalam pembuatan plastik.

“Begitu juga dengan racun serangga dan bahan yang digunakan dalam pembuatan kuali tidak melekat,” katanya.

Dr Mustafa meminta orang ramai supaya cuba mengelak menggunakan barangan yang mengandungi bahan ini.

“Jangan bergantung kepada penggunaan barangan plastik dalam kehidupan harian.

“Sebaik-baiknya gunakan barangan diperbuat daripada kaca, keluli tahan karat dan seramik.

“Apa yang kita makan dan digunakan mula menunjukkan kesan terhadap kesihatan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

135 views