Garapan Tiga Pereka

KREATIVITI melangkaui batasan zaman dan juga masa. Kreativiti juga menjadikan seseorang itu berada di dalam dunia sendiri bagi menghasilkan apa yang dinamakan inovasi lantas dipersembahkan dalam interpretasi berbeza.

Walaupun sukar diterima akal, gabungan kreativiti dan khayalan ini mampu menjadikan seorang pereka lebih dinamik, inovatif dan paling penting mendahului zaman. Setiap rekaan pasti menggambarkan inspirasi pendandan yang diterjemahkan menerusi model di pentas utama.

Selepas tiga dekad berada kukuh dalam industri dandanan di Malaysia, salun terkenal A Cut Above menyambut ulang tahun ke-33 penubuhannya dengan menampilkan pertunjukan gaya rambut bertemakan parti vouge chic di pusat beli-belah Midvalley baru-baru ini bersempena Minggu Fesyen Midvalley 2012.

Persembahan hebat hasil garapan tiga pendandan terkenal bertemakan tiga segmen iaitu glamor, 20-an sehingga 40-an serta koleksi avant-garde.

Membuka tirai himpunan kreatif, pendandan Joe T tampil dengan idea tersendiri menerusi konsep dandanan masa depan. Selain penggunaan solekan pada mata dan bibir, dandanan rambut membawakan kesan berbeza menerusi potongan yang unik dan tersendiri.

Faevien Yee pula tampil dengan gaya angkasa lepas yang memberikan gambaran terhadap konsep dandanan masa depan. Walaupun nampak unik dan sukar diadaptasi, ia hanyalah rekaan semata-mata berdasarkan kaca mata pereka. Apa yang pasti, penghasilan setiap gaya memberikan sentuhan berbeza serta menjadi inspirasi kepada konsep dandanan akan datang.

Menggunakan elemen kayu, ranting, bebola dan jaringan benang bersama alunan muzik Avatar serta model berpakaian konsep yang sama, penonton seakan dibawa meneroka zaman angkasa sekali gus memberikan daya inovasi tinggi dalam penciptaan gaya rambut.

Walaupun nampak pelik dan adakala menakutkan, konsep diketengahkan berjaya membawakan elemen terkini dalam seni dandanan rambut. Rekaan Yee turut dipersembahkan ketika pertunjukan fesyen Mercedes Benz Stylo Fashion Grand Prix 2012 lalu.

Winnie Loo pula tampil dengan tema lebih nyata dan sesuai untuk persekitaran hari ini. Berkonsepkan gaya moden dengan pemilihan warna rambut untuk gaya masa hadapan, sama ada panjang atau pendek, Winnie memberikan menampilkan keunikan menerusi kekemasan serta potongan segar yang boleh diterima ramai.

Sentuhan funky menjadi pilihan barisan model diterajui Amber Chia di bawah latihan akademi miliknya. Majlis diserikan dengan kehadiran Ratu Malaysia Universe, Andrea Fonseka serta beberapa selebriti yang lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

799 views