Gaya Hidup Sihat
Gaya hidup yang sihat kunci utama kepada kesejahteraan insan. Ia perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat tidak mengira usia atau latar belakang.
Amalan gaya hidup sihat dapat menghindarkan diri daripada menghadapi masalah kesihatan, mental dan sosial.
Menyedari hakikat itu, peneraju rangkaian farmasi, kesihatan dan kecantikan terkemuka, Guardian, mengadakan program kesihatan dan kesejahteraan bagi memperkasakan golongan wanita, remaja serta kanak-kanak kurang bernasib baik.
Program tanggungjawab sosial itu membabitkan 100 penghuni dari rumah kebajikan Yayasan Chow Kit, Rumah Safiyyah dan Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih
di ibu negara.
Kanak-kanak berkenaan didedahkan kepada aspek gaya hidup sihat terutama membabitkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri menerusi bengkel interaktif menarik yang dikendalikan ahli farmasi Guardian sendiri.
Selain itu, beberapa permainan dan kuiz ringkas turut diadakan untuk kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah.
Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Guardian, Azlin Ramli berkata, sesi interaktif selama hampir dua jam itu memberi banyak panduan berguna mengenai kesihatan dan kebersihan diri yang selama ini diabaikan oleh kanak-kanak.
Kata Azlin, pihaknya memilih melancarkan program itu pada bulan puasa kerana Ramadan menggalakkan umat Islam untuk berkongsi kasih sayang dengan mereka yang memerlukan.
“Kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak kerana percaya kehidupan yang sihat bermula pada usia muda. Bagi golongan yang kurang bernasib baik, kami memberi maklumat yang diperlukan untuk membolehkan mereka menjaga kesejahteraan diri,” katanya.
Pada majlis sama, kanak-kanak berkenaan turut dibawa membeli-belah barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri. Selain itu, kakitangan farmasi itu turut meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama mereka.
Menurut Azlin, pihaknya teruja menjayakan program itu kerana ia sejajar dengan falsafah Guardian iaitu membantu membawa kesejahteraan kepada komuniti.
“Kami komited untuk membantu masyarakat dalam mencapai kualiti hidup yang lebih baik.
“Justeru, kami melihat program ini sebagai inisiatif jangka panjang untuk mendekati golongan kurang bernasib baik dengan menyediakan makanan tambahan, vitamin, produk penjagaan kesihatan dan penjagaan peribadi kepada kanak-kanak terbabit. Semoga sumbangan ini dapat membantu mereka menjalani kehidupan lebih gembira dan bermakna,” katanya.
Penghuni Yayasan Chow Kit, Aishah Abdullah, 17, berkata, dia dan adiknya, Fatimah, 12, gembira kerana Guardian prihatin dengan kehidupan golongan muda sepertinya.
Dengan adanya bengkel kesihatan seperti itu, Aishah dan penghuni rumah kebajikan berkenaan memperoleh banyak maklumat berguna mengenai aspek kebersihan dan penjagaan diri.
“Kami diajar cara menjaga kebersihan wajah dengan betul selain penjagaan kesihatan badan. Lebih menarik, kami juga diajar cara mengira kalori dengan betul selain turut dibekalkan dengan barangan kesihatan,” katanya.
Nadia Kamaruzaman, 8, gembira kerana berpeluang memilih sendiri baju dan kasut raya kali ini. Ketika ditemui, penghuni Rumah Safiyyah itu tidak henti-henti membelek kasut raya yang tertera kartun kegemarannya.
Kata Nadia, dia sudah lama mahu mendapatkan sepasang kasut yang cantik.
“Saya memilih baju kurung dengan kasut merah jambu dengan gambar kartun Barbie. Tidak sabar rasanya untuk menggayakan kelengkapan serba baru ini,” katanya dengan senyuman gembira.