Gaya Klasik Untuk Gadis

Penggunaan solekan ala mata kucing tampak lebih versatil dan penuh gaya apabila dipadankan dengan busana retro atau olesan gincu bibir merah menyala.

Pilihan gaya klasik ini juga mampu menyerlahkan kesederhanaan pada gadis muda yang tidak mahu kelihatan matang sebelum waktunya.

Solekan ini nyata bersesuaian dengan mereka yang memiliki bentuk mata bulat dan sepet kerana ia boleh menyerlahkan lagi penampilan.

Bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan dalam arus fesyen terkini, ada beberapa panduan untuk mendapatkan solekan mata kucing.

Sapukan seluruh kelopak mata dengan pembayang mata semula jadi kemudian lapis dengan sapuan warna coklat pada bahagian bawah tulang kening bagi menyerlahkan bentuk kelopak mata.

Lukis garisan sederhana tebal pada bahagian atas kelopak mata menggunakan pensel mata mengikut gerakan dari dalam membawa ke hujung mata.

Pada bahagian hujung mata, lorekkan sedikit lengkungan ke atas membentuk seperti segi tiga pada hujungnya.

Kemaskan lorekan dan tambah garisan menggunakan warna yang sama pada bahagian bawah mata.

Pastikan garisan pensel mata pada bahagian atas dan bawah bersambung di penghujungnya bagi memastikan ia kelihatan kemas.

Akhiri dengan sapuan maskara jika ingin mata bundar kelihatan lebih galak.

Cuba lukis garisan pada mata berulang kali bagi memperoleh hasil lorekan mata kucing yang kemas. Jika inginkan kesan dramatik bersesuaian dengan majlis, boleh gunakan pensel warna metalik yang ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna.

Bagi pemilik mata bundar, gunakan teknik solekan mata menggunakan kaedah soket yang menegaskan warna gelap pada penjuru mata dan lukis sekelilingnya menggunakan penggaris mata.

Teknik ini juga mampu membuatkan mata kelihatan galak.

Untuk membentuk garisan mata lebih menyerlah, boleh titikkan penggaris mata pada garis bulu mata atas bermula dari dalam hingga ke hujung luar mata bagi menyelaraskan tahap ketebalan garisan.

Kemudian bermula di hujung garis mata atas, lukiskan garisan nipis dan semakin menebal apabila garisan semakin menuju ke hujung mata.

Lukiskan garisan lentik ke atas sedikit sehingga menimbulkan ilusi mata kucing pada garisan hujung mata. Garisan lentik itu hendaklah seperti menuju ke arah hujung bulu kening dan buatkan sedikit garisan di hujung garis bulu mata bawah untuk kemasan solekan.

Panduan menyerlahkan gaya solekan:

Gunakan berus solekan berbulu lembut.

Gunakan alat solek berkualiti kerana jika menggunakan alat solek tidak bermutu, kemungkinan ia akan merosakkan kulit dan warna digunakan tidak menarik.

Gunakan jari untuk mengadun warna pembayang mata terutama di bahagian hujung mata agar kelihatan lebih asli dan semula jadi.

Pilih warna yang sesuai dengan warna kulit.

Gunakan warna terang di bahagian luar hujung mata dan sapukan hingga ke tengah mata. Campurkan sedikit warna gelap untuk menampakkan kesan dwiwarna.

Kemaskan solekan menggunakan putik kapas, bukan dengan jari.

Jika ingin menggunakan teknik solekan smokey, jangan gunakan kaedah berkenaan secara berlebihan di bawah mata kerana ia boleh memberikan tanggapan negatif kepada mereka yang memandang. Ia menampakkan seolah-olah mata lebam akibat ditumbuk.

Gunakan bedak asas sebelum sapuan pembayang mata. Ia akan membantu solekan tahan lebih lama.

Digalakkan memakai pembayang mata sebelum mengenakan celak mata.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

817 views