Gaya Kontemporari Jadi Pilihan

SELAIN polos, baju kurung berbunga turut menjadi pilihan menjelang lebaran. Selain warna memikat, potongan moden kontemporari kini mengambil alih daripada gaya klasik.

Baju tanpa pesak, kolar bulat dan zip belakang antara ciri perlu ada dalam padanan baju kurung moden manakala kain berlipat sisi yang dulunya popular, kini diubah suai menjadi kembang belakang atau selisih hadapan.

Apa yang istimewa, padanan baju kurung bercorak biasanya tidak diberatkan dengan perincian manik, tampalan renda, reben atau sulaman. Hanya sedikit manik pada leher ia sudah menyerlah apatah lagi digayakan dengan perhiasan seperti anting-anting, rantai, beg dan kasut sepadan.

Untuk perayaan, pemilihan beg tangan dan kasut sama pentingnya dengan busana. Sama ada anda menggayakan helaian baju kurung atau kebaya. Malah pemilihan kasut bertumit mampu menampakkan anda lebih langsing daripada biasa.

Sekiranya mengunjungi rumah saudara-mara memadai membawa beg tangan atau beg sandang. Namun jika jemputan untuk majlis rumah terbuka, tas tangan comel atau beg genggam mampu menyerlahkan keanggunan.

Jika tidak mahu menggayakan rona sepadan anda boleh memilih warna kontra sama ada pada kasut atau beg tangan. Jangan bimbang sekiranya tidak sepadan kerana kini, rona berbeza menjadi gaya fesyen semasa.

Panduan pemilihan kasut dan beg tangan

- Pilih kasut yang bukan saja menampakkan ketinggian tetapi selesa ketika berjalan.

- Kasut yang sesuai dan nampak cantik adalah di antara satu sehingga tiga inci manakala lima inci ke atas hanya sesuai digayakan peragawati atau selebriti ketika menghadiri majlis. Namun sekiranya anda sudah biasa memakainya tidak menjadi masalah apa yang penting selesa dipakai.

- Warna pelbagai seperti merah, biru, hijau dan kuning mungkin nampak cantik bagi mereka yang mampu ‘membawakan’ tema sebegini. Bagi wanita yang kurang yakin boleh memilih rona pastel seperti hitam, putih, coklat, kelabu dan krim kerana rona ini sesuai untuk semua jenis warna pakaian.

- Pilih beg tangan sederhana besar untuk menghadiri majlis rumah terbuka atau ke rumah saudara-mara.

- Elakkan memakai beg silang dengan baju kurung atau kebaya kerana ia menampakkan kecetekan anda dalam berfesyen.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,053 views