Gaya Lebih Menyerlah
Selain risau memikirkan gaya pakaian yang mahu dipadankan bersama aksesori bersesuaian ke majlis istimewa, solekan juga harus diambil berat supaya tampak lain daripada kebiasaan.
Sebaiknya, jangan biarkan solekan seperti ke pejabat tetapi cuba berikan sentuhan berbeza dengan mengenakan solekan glamor.
Pengasas dan jurusolek butik RedGlow, Arlina Rosli berkata, bersolek untuk tampak anggun dan lebih cantik daripada hari biasa bagaikan satu kewajipan jika ingin menghadiri mana-mana majlis rasmi yang glamor dan memerlukan gaya menawan.
Oleh itu, untuk bersolek gaya glamor tentunya mengambil lebih masa berbanding solekan ke pejabat atau bersantai.
“Pastikan anda memperuntukkan masa secukupnya untuk bersolek dan jangan sesekali menyapukan warna solekan ala kadar atau tergesa-gesa. Ini bukan saja menjejaskan gaya solekan tetapi langsung tidak menyerlahkan penampilan.
“Untuk solekan gaya glamor, antara bahagian yang perlu diberi perhatian ialah mata atau bibir. Jika sudah memberi fokus utama pada bahagian mata dengan pilihan warna agak menonjol, pastikan bibir diwarnakan dengan ton lebih semula jadi.
“Bagi bahagian mata misalnya, maksimum tiga rona pembayang mata diperlukan kerana satu warna tidak mungkin mampu menyerlahkan penampilan,” katanya.
Walaupun majlis diadakan pada waktu malam, elak menggunakan pensil penggaris berwarna hitam di bahagian kening sebaliknya pilih warna seperti perang gelap atau coklat.
Gaya mata smokey yang menggunakan pembayang mata berwarna kelabu atau hitam paling mudah disesuaikan untuk solekan glamor.
Ia akan bertambah menarik apabila pembayang mata bercahaya (berkilat) disapu pada lapisan kedua sapuan berwarna kelabu atau hitam tadi. Kesan berkilat yang terhasil menyerlahkan lagi raut wajah dan penampilan pada majlis berkenaan.
“Saya paling suka menggunakan pembayang mata warna gelap untuk dijadikan asas pada kelopak mata kerana ia mudah sekata dengan campuran warna lain untuk solekan glamor.
“Saya juga menyapu asas pembayang pada bahagian pipi (jingga kemerahan) dan tulang pipi (berwarna coklat gelap) supaya olesan bedak serta pemerah pipi di bahagian itu tahan lebih lama,” jelasnya.
Untuk gaya glamor yang lebih menyerlah, boleh gunakan tambahan lain seperti memakai bulu mata palsu, dandanan rambut bersesuaian dan memilih pakaian atau tudung yang mempunyai kilauan batu permata serta kristal.
Terima kasih:
Butik RedGlow
No 17B, Jalan Tengku Ampuan Zabedah E9/E Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.