Gaya Solekan Mata

PASTI ketika ini ramai yang bersiap sedia untuk memenuhi undangan rumah terbuka. Selain pening memikirkan busana yang ingin digayakan, tema solekan juga perlu diberi perhatian agar penampilan tidak menonjol bak artis sarkas.

Solekan yang sederhana dan tidak terlalu tebal amat digalakkan berikutan faktor cuaca panas hingga boleh menyebabkan solekan ‘cair’ lalu terpaksa dioles semula.

Menurut Jurusolek Kanan Mac Cosmetics Malaysia (Mac), Haritha Shan, penggunaan bedak asas yang berasaskan air serta tidak berminyak amat penting kerana ia membantu memastikan solekan bertahan sepanjang hari.

“Di samping menyapu bedak asas pada keseluruhan wajah, gunakan juga krim asas di bahagian kelopak mata agar riasan di bahagian itu tidak bercapuk dan luntur.

“Pilih rona lebih semula jadi apabila menggayakan busana sarat dengan warna atau corak. Jika lebih berani, cuba solekan smoky.

“Solekan smoky bukan saja berupaya membuatkan riasan mata lebih berdimensi, malah tampak elegan serta sesuai untuk semua warna baju,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mencuba riasan smoky namun bimbang tidak tahu cara mengadun warna, Mac hadir dengan koleksi edisi terhad Illustrated by Julie Verhoeven yang menampilkan kit riasan mata, beg alat solek dan berus.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Julie mencipta hasil lukisan
yang menggabungkan seni dan fesyen. Teknik dan gayanya – wajah patung melankolik dan pelbagai palet warna – kerap muncul
di akhbar dan majalah

fesyen, selain dimasukkan dalam senarai rekaan bagi jenama popular dunia antaranya Loius Vuitton, Mulberry dan Versace.

Ilustrasi ciptaannya nyata menyerlahkan kontras pada kanvas hitam Mac dan gagasan yang dibawanya nyata seiring dengan falsafah kecantikan Mac.

Tambah Haritha, palet solekan mata dalam koleksi ini sesuai untuk riasan sederhana bagi mereka yang tidak gemar bersolek tebal, sementara ia boleh berubah kepada smoky apabila warnanya diadun dengan baik.

“Pada belakang kit ini, ada disediakan panduan untuk menghasilkan solekan smoky. Selain itu, ia dilengkapi berus mini, penggaris mata dan maskara,” jelasnya.

Koleksi edisi terhad Illustrated by Julie Verhoeven ini boleh didapati di butik Mac seluruh negara pada harga antara RM168 hingga RM268.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,620 views