Genggam Dua Bidang

Bukan saja berjaya menggapai cita-cita sebagai seorang guru, malah turut mencapai impiannya menjadi pereka fesyen.

Hasil ketekunannya itu, dia bukan saja dapat menggembirakan hati kedua-dua orang tua, malah hatinya turut puas apabila dapat berkarya di waktu lapang dan hujung minggu.

Pereka fesyen yang menggunakan label Nurul Hussin, Muhammad Nurul Anuar Hussin berkata, minatnya terhadap bidang fesyen tidak pernah pudar walaupun bergelar guru.

Pada awalnya dia hanya mahu menjadi pereka fesyen, namun kedua-dua ibu bapa memberi syarat sekiranya ingin menceburkan diri dalam bidang itu dia perlu bergelar pendidik terlebih dulu.

Cabaran itu disambut gembira, malah bertekad membuktikan kepada mereka bahawa dia mampu merealisasikan kedua-dua impian baik dalam dunia pendidikan mahupun fesyen.

Lepasan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini kemudian menyambung pengajian di maktab perguruan sebelum menjadi guru dan mengajar di sebuah sekolah di Klang. Selepas impian ibu dan bapanya terlaksana, Muhammad Nurul Anuar mula mempersiapkan diri untuk menjadi pereka fesyen dengan mengikuti kelas rekaan di sekitar Kuala Lumpur.

Hasilnya pada 2005, dia mula mengambil tempahan baju pengantin daripada saudara-mara dan rakan terdekat. Dia tidak menyangka kerana rekaannya mendapat pujian dan sambutan ramai apabila mereka tidak putus membuat tempahan.

Katanya, minat menjahit itu muncul sejak kecil lagi ketika berusia lima tahun apabila suka melihat pasangan pengantin menggayakan pelbagai busana menarik, namun dipendamkan kerana perlu belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam akademik.

“Ketika kecil saya pernah menghasilkan beberapa helai baju untuk diri sendiri dan rasa sangat gembira apabila dapat menjahit. Ibu bapa memberi sokongan kepada saya menceburi bidang ini tetapi perlu menjadi orang berpelajaran terlebih dulu.

“Saya terus memasang tekad untuk belajar dengan tekun kerana tidak mahu menghampakan harapan ibu bapa dan juga ingin mengejar impian sendiri,” katanya.

Apabila ditanya tidakkah sukar menceburi dua bidang berbeza pada satu masa, dia menggeleng pantas. Kedua-dua bidang amat diminati kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

Melakukan kerja dengan ikhlas hati akan memudahkan cara untuk menghasilkan sesuatu seperti yang dimahukan.

Dia pada awalnya menjadi pereka fesyen untuk mengisi masa di hujung minggu dan cuti sekolah kerana tidak mahu ia berlalu begitu saja tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah.

Dengan adanya aktiviti ini ia bukan saja boleh menjana pendapatan sampingan, malah dapat merangsang daya fikir dan kreativitinya apatah lagi dia seorang yang teliti dalam menghasilkan rekaan.

“Saya mahu pelanggan bukan sekadar berpuas hati, malah gembira apabila mengenakan pakaian rekaan saya. Jika tidak teliti tanpa mementingkan kualiti jahitan, baju akan kelihatan buruk dan tidak sesuai dengan mereka.

“Jadi saya perlu berbincang dengan pelanggan untuk mengetahui kehendak mereka sebelum membeli kain dan membuat rekaan,” katanya.

Selepas pelanggan puas dengan rekaan di atas kertas barulah dia akan mula menghasilkan baju seperti yang dimahukan.

Bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan, tetapi dengan melakukan kerja seikhlas hati dan menghasilkan baju mengikut cita rasa mereka akan datang buat kali kedua untuk mendapatkan koleksi lain.

Malah rasa puas hati pelanggan itulah yang secara tidak langsung menjadi ‘ejen pemasaran’ apabila mereka bercerita mengenai rekaannya. Ramai yang datang kembali bersama saudara mara dan rakan.

Dia juga lebih senang memilih kain dan material bersama pelanggan kerana mahu hasilnya berkualiti. Jika pelanggan meletakkan kepercayaan kepadanya untuk membuat pilihan, dia akan mendapatkan fabrik berkualiti sama ada dari dalam atau luar negara.

Sebagai pereka dia perlu tahu fabrik apa yang akan membuatkan sesuatu rekaan itu kelihatan mewah. Jika tidak, kain mahal pun nampak biasa.

Begitu juga untuk menghasilkan baju pengantin kerana mempelai zaman moden mahukan rekaan yang ringkas tetapi tampak mewah.

Rekaan begini akan memudahkan pergerakan pengantin kerana ia tidak terlalu berat memandangkan mereka perlu memakainya dalam tempoh yang agak lama.

Muhammad Nurul Anuar berkata, sebagai pereka fesyen dia perlu mempunyai identiti diri kerana setiap orang mempunyai hasil seni berlainan.

Oleh itu, sebagai pereka elakkan daripada meniru rekaan orang lain kerana ia dapat dikesan oleh pelanggan. Paling penting ialah menghasilkannya dengan idea sendiri supaya semua orang yang mendapat khidmatnya berpuas hati.

Dia juga lebih suka membuat kajian dalam menghasilkan rekaan iaitu melalui pemerhatian sekeliling dan juga di internet. Dari situlah dia akan mendapat banyak idea baru yang boleh diterjemahkan dalam rekaan.

“Saya mahu rekaan saya terus segar dan tidak ditelan zaman. Malah pakaian pengantin rekaan saya tidak terhad ketika menjadi raja sehari saja tetapi boleh digayakan untuk menghadiri majlis makan makan.

“Oleh itu, pereka perlu peka dengan perkembangan semasa, dan tidak menghasilkan rekaan mengikut kehendak diri sendiri saja,” katanya.

Sebagai pereka, tentu saja menyimpan impian untuk jadi terkenal dan ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk digapai. Bagi merealisasikan impian itu dia membuka sebuah butik pengantin di Klang dan akan berusaha dengan lebih gigih untuk berjaya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,236 views