Gerakan Lembutkan Sikap ‘kasar’
TARIAN diklasifikasikan sebagai satu bentuk gerakan berirama mengikut muzik yang dimainkan sama ada ia dilakukan secara berseorangan, berdua ataupun berkumpulan mengikut kesesuaian tersendiri.
Bagi kanak-kanak, keinginan untuk bergerak mengikut rentak dan irama muzik adalah satu kebolehan semula jadi sungguhpun pada mulanya ia dilakukan secara tidak teratur dan pastinya tanpa sebarang panduan tertentu.
Tidak dinafikan pada peringkat awal, pergerakan ini dilakukan menerusi imaginasi kanak-kanak itu sendiri bagi memahami struktur dan fungsi anggota badan, kemampuan untuk melakukan pergerakan, menyelesaikan masalah ketika membuat gerakan terbabit serta meluahkan perasaan masing-masing dengan lebih mudah.
Selain itu, muzik juga dapat menimbulkan suasana serta mood yang pelbagai kepada kanak-kanak disebabkan irama dan muzik yang digunakan juga berbeza dalam menarik minat serta perhatian kanak-kanak berkenaan.
Menurut Pengasas Pusat Tarian Tradisional Walinongsari, Intan Amylea Abdul Malek, 51, tarian mampu memberikan pelbagai manfaat kepada fizikal mereka yang melakukannya kerana ia bukan semata-mata satu bentuk aktiviti hiburan, tetapi turut dilengkapi pelbagai keunikan tersendiri.
Dia yang juga bekas penari kebudayaan mengakui, penubuhan studio latihan ini disebabkan anaknya yang gemar menari, tetapi minatnya lebih tertumpu kepada gaya tarian kontemporari dan bukan gaya tradisi masyarakat tempatan.
Katanya, dari situlah timbul idea untuk memartabatkan semula tarian tradisi masyarakat Melayu yang pelbagai tanpa mengubah dan mengadunnya kembali dalam bentuk moden.
“Saya yakin masih ada yang ingin mempelajari bentuk serta gaya tarian tradisi Melayu yang pelbagai ini kerana lenggok serta irama yang ditonjolkan lebih pelbagai dan lebih ke arah gaya semula jadi.
“Setiap gaya tarian yang dilenggokkan berdasarkan suatu perkara sama ada ia meniru kejadian yang berlaku ataupun gaya haiwan yang dilihat dan ia digubah menjadi bentuk tarian lebih menarik untuk ditarikan,” katanya ketika ditemui di studio tariannya di Prima Sri Gombak, Selangor, baru-baru ini.
Malah, nama Walinongsari itu sendiri dipilih sempena nama keturunan keluarga sebelah bapanya dan sejak ditubuhkan pada 2008, ia banyak memberi fokus kepada pelajar perempuan.
Intan berkata, pada peringkat awal, pelajarnya akan diajar asas tarian tradisional yang lebih menjurus kepada tarian asli, inang, joget serta zapin.
“Kebanyakan pelajarnya pula berusia seawal enam hingga 15 tahun dan apabila melepasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka boleh memilih sama ada untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni ini ke peringkat lebih tinggi ataupun sebaliknya.
“Tarian sebegini mampu memberikan stamina yang baik untuk badan dan menjadikan minda lebih cergas disebabkan pergerakan yang ada didalamnya banyak menumpukan kepada gerakan badan, mata dalam membentuk tarian yang selaras dan sekata,” katanya.
Sejak ditubuhkan, pusat tarian kelolaan Intan ini sudah menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dan terbaru ialah persembahan tarian taridra Ulik Mayang di Pesta Bunga Antarabangsa (Floria) Putrajaya, tahun lalu.
Bagi ibu bapa yang menghantar anak ke studio tarian berkenaan, mereka mengakui terdapat perubahan yang berlaku sama ada dari segi fizikal, mental dan juga sosial apabila kanak-kanak ini terbabit dalam bidang tarian sebegini.
Menurut Laila Halit, 42, dia mengetahui mengenai kewujudan pusat tarian ini secara mulut ke mulut melalui rakan dan juga jiran tetangga.
Malah, daripada pemerhatiannya juga dia dapati anak-anaknya turut menyukai tarian, tetapi lebih kepada jenis tarian moden dan rancak.
“Keadaan ini mungkin disebabkan pengaruh media elektronik yang terlalu banyak mengetengahkan bentuk tarian sebegitu berbanding tarian tradisional, tetapi ia bukan menjadi satu kesalahan, sebaliknya ia membentuk minat dalam diri anak-anak itu.
“Mungkin pada mulanya ia terarah kepada bentuk tarian moden, tetapi jika kita tahu cara untuk membimbing minat anak ke arah yang lebih memartabatkan, budaya serta tradisi tempatan ia sepatutnya lebih digalakkan,” katanya.
Oleh itu, katanya suaminya mencadangkan agar menghantar anak mereka mempelajari suatu bentuk tarian yang mampu membentuk jati diri dan budaya tempatan yang lebih ketimuran.
Disebabkan itulah, dia menghantar tiga anak perempuannya berusia sembilan, 12 dan 14 tahun untuk menyertai kelas tarian di Pusat Tarian Tradisional Walinongsari secara tetap setiap hujung minggu.
“Sungguhpun tiada asas dalam bidang tarian sebelum ini, tetapi mereka mampu membuktikan bahawa dalam masa dua bulan, mereka berupaya mempelajari corak tarian sukar yang diajarkan kepada mereka.
“Saya dan suami cukup teruja dengan perkembangan ketiga-tiga anak kami dan berbangga kerana mereka juga turut menyertai pertandingan yang membabitkan pusat tarian ini,” katanya.
Suziyanti Masukidar, 35, pula mengakui dengan menghantar anak perempuannya yang berusia lapan tahun untuk mempelajari tarian tradisional sebegini, ia mampu melembutkan sedikit sikapnya yang agak ‘kasar’ sebelum ini.
Katanya, dia mula menghantar anaknya sejak setahun lalu selepas memerhatikannya yang gemar menari di hadapan televisyen mengikut irama yang didengarnya.
“Dia tiada asas tarian, tetapi caranya melenggokkan badan mengikut irama berkenaan menarik minat saya untuk menghantarnya mempelajari cara yang betul dalam bidang tarian.
“Bagi saya ia juga memenuhi masa lapangnya ketika hujung minggu dan tidak lagi perlu risau dia menghabiskan masa tanpa melakukan aktiviti yang lebih bermakna,” katanya.
Suziyanti berkata, waktu lapang anaknya kini lebih terisi dan tidak lagi perlu melihatnya terperuk di rumah menghadap komputer sepanjang masa, sebaliknya dia lebih aktif bergaul kini dengan rakan sebaya di studio tarian.
Di samping itu, bagi Erna Huzie Raduan, 32, dia mula menghantar dua anak perempuan kembarnya ke studio tarian ini sejak empat tahun lalu selepas membuat pertimbangan dan pilihan bagi memastikan tempat pembelajaran mereka ini memberikan penjagaan terbaik dari segi keselamatan pelajar.
Katanya, perkembangan fizikal dan mental kedua-dua anaknya mula menampakkan perbezaan ketara disebabkan gerakan yang dipraktikkan dalam tarian mengaktifkan minda mereka agar lebih peka dan cekap terhadap keadaan persekitaran.
“Sebelum ini boleh dikatakan kedua-duanya agak ‘lambat’ dari segi kecekapan untuk menerima suatu pembelajaran, namun segalanya berubah apabila mereka mula menari.
“Perkembangan yang ditonjolkan amat memberangsangkan dan mereka juga makin cekap serta pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, kegiatan yang dilakukan setiap hujung minggu ini memberikan banyak pendedahan kepada kanak-kanak terutama dalam mendisiplinkan diri serta memahami tanggungjawab yang diamanahkan.
“Walaupun masih kecil, tetapi mereka sudah mampu memahami banyak perkara dan boleh dikatakan ‘dewasa’ lebih awal daripada usia sebenar dengan melakukan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka sebaik mungkin.
“Saya cukup berbangga dengan mereka dan akan memberikan sokongan sekiranya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Tetapi kini apa yang penting adalah bahagikan masa antara aktiviti tarian dan tarian sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, menurut penari kanak-kanak yang kini turut bertindak sebagai ‘jurulatih bersama’, Erma Hazwani Awang, 12, dia mula menari sejak berusia enam tahun dan kini mahir dengan lenggok dan langkah tarian istana.
Katanya, minat dan bakat yang ada ini banyak diperoleh daripada ibunya sendiri yang tidak pernah jemu mengajarnya mengenai selok-belok tarian tradisi Melayu seperti ini.
“Saya cukup berbangga kerana diberi peluang untuk mempelajarinya kerana ia bukan saja penuh dengan gaya simbolik, tetapi turut membantu mendisiplinkan diri dan terapkan ketahanan mental dan kesabaran yang tinggi.
“Ia berbeza sama dengan bentuk tarian moden kerana gerak langkahnya lebih rumit dan memerlukan ketepatan serta ketelitian dalam memahirkan diri serta mencabar minda untuk mengingati setiap langkah yang perlu dilakukan,” katanya.