Gigi Sensitif, Derita Gusi Berdarah

hidayatulakmal@hmetro.com.my

Kira-kira 66 peratus penghidap gigi sensitif tidak mengambil sebarang tindakan untuk melindungi diri mereka daripada masalah berkenaan manakala 91 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit gusi tidak mendapat penjagaan kesihatan mulut yang khusus bagi mengurangkan masalah dan sering mengabaikan masalah itu.

Bagaimana mahu mengenal pasti anda mempunyai gigi sensitif? Jika anda terasa tidak selesa seperti cucukan tajam pada gigi setiap kali mengunyah, anda mungkin mempunyai masalah gigi sensitif.

Selain masalah gigi sensitif, masalah gusi berdarah juga sering berlaku dalam kalangan belia Malaysia berusia antara 18 hingga 34 tahun, namun tidak ramai yang mengambil berat aspek penjagaan kesihatan mulut mereka.

Kajian Tabiat dan Penggunaan Penjagaan Gigi yang dijalankan oleh Ipsos mendapati 40 peratus golongan belia mengalami masalah gigi sensitif manakala 43 peratus lagi menderita gusi berdarah.

Kelaziman tinggi gigi sensitif serta penyakit gusi ini menunjukkan keperluan untuk pemeriksaan gigi yang lebih kerap dan pengesyoran produk penjagaan khas bagi memenuhi keperluan penjagaan mulut pesakit.

Kajian berkenaan turut mendedahkan 24 peratus rakyat Malaysia tidak pernah menemui doktor gigi dan 45 peratus lagi hanya mengadakan pertemuan dengan doktor gigi apabila menghadapi masalah tertentu.

Peka dengan masalah itu, GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK) dengan kerjasama Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) melancarkan kempen Nation of Healthy Smiles, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pengurus Besar Penjagaan Kesihatan Pengguna GSK Malaysia dan Brunei, Stacy Wallace berkata, angka berkenaan menunjukkan terdapat jurang antara pengetahuan pengguna mengenai kesihatan gigi dan tabiat sebenar penjagaan mulut terutama dalam kalangan belia.

“Jurang ini mendorong kami untuk bukan saja meningkatkan kesedaran berkaitan isu penjagaan mulut, malah untuk mendidik orang ramai bahawa lebih cepat mereka bertindak ke atas kesihatan mulut dan mendapatkan penjagaan mulut khas, ia mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka keseluruhannya,” katanya.

Buat pertama kali bagi mendekati golongan belia, kempen Nation of Healthy Smiles akan memperkenalkan ‘Smileograph’, satu platform digital yang menggalakkan orang ramai merakam dan mengumpulkan senyuman mereka dengan memuat naik senyuman berkenaan melalui media sosial dan laman web.

Kempen itu menyasarkan untuk menyediakan 7,500 pemeriksaan gigi percuma kepada mereka yang memerlukan di 150 klinik pergigian yang menyertai kempen ini di seluruh negara.

Kempen bersama ini bertujuan memberikan pendidikan, kesedaran serta peralatan yang diperlukan untuk mempromosikan kesihatan mulut dan mengurangkan masalah mulut di Malaysia.

Ia bermula dengan penjagaan gigi asas hinggalah penjagaan khusus untuk gigi sensitif, masalah gusi dan penjagaan gigi palsu. Sebagai sebahagian daripada

kempen Nation Of Healthy Smiles, 10 program jelajah akan diadakan di pasar raya besar terpilih.

Sementara itu, Presiden MDA, Dr Chow Kai Foo berkata, pihaknya memberikan sokongan padu bagi menjayakan kempen itu memandangkan MDA mempunyai matlamat yang selari dengan komitmen GSK untuk meningkatkan tahap kesihatan mulut dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Bagi menyokong kempen ini, kami akan menawarkan pemeriksaan gigi percuma di klinik yang menyertai kempen ini dan mendidik rakyat Malaysia mengenai penjagaan kesihatan khusus untuk mulut bagi mengekalkan kesihatan mulut yang baik,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Kawalan Pengamalan Kesihatan Pergigian, Dr N Jegarajan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,441 views