Global: Pakar Replika Pedang
FILOMENO de Guzman tidak tahu kewujudan Sparta yang hidup di Scotland pada zaman pertengahan dulu, tetapi tukang besi itu adalah ‘pakar’ dalam menghasilkan replika pedang perwira perang zaman silam.
De Guzman, bekas sarjan dalam pasukan askar yang tidak pernah ke luar negara itu bersama 15 pesawah (juga jiran-jirannya) mempunyai kelebihan menukarkan besi buruk kepada sesuatu yang cantik dan berharga.
Hasil kerja tangan mereka memenuhi keperluan pasaran antarabangsa yang mencari replika pedang pahlawan Rome, askar Yunani dan samurai Jepun selain membekalkan senjata bagi filem Hollywood seperti Braveheart, Conan the Barbarian dan Rambo.
“Pedang kini mengalami ‘saat kelahiran’ atau ‘kegemilangan’ semula di Hollywood. Maknanya, cerita pada zaman menggunakan pedang tetap popular dan ia berita baik untuk perusahaan kami,” kata de Guzman, 63, di bengkelnya yang terletak di tengah kawasan pertanian di utara Filipina.
De Guzman tidak pernah menjejakkan kaki di universiti dan mengaku pengetahuannya mengenai sejarah silam amat cetek tetapi dia banyak belajar melalui filem.
“Saya suka menonton filem Hollywood. Saya tonton DVD Braveheart, Gladiator, Lord of the Rings, Conan the Barbarian, Rambo dan Samurai,” katanya gembira.
Perusahaan de Guzman ini adalah sesuatu yang agak asing di Filipina. Semuanya bermula apabila de Guzman mengambil keputusan bersara daripada pasukan bersenjata pada 1980 dan mengambil kelas percuma dalam pertukangan besi yang disediakan kerajaan untuk kakitangan askar.
Dia mula menghasilkan pisau dapur dengan menempa besi yang dipanaskan menggunakan kayu api di belakang rumahnya, yang terletak di tengah sawah padi di Pozorrubio, 180 kilometer di utara Manila.
“Ini adalah produk yang baik dan tidak mudah rosak. Semua rumah perlukan tukang besi dan pisau,” kata de Guzman, bercerita mengenai pilihan kerjayanya itu.
Hasil kerja tangannya mula disedari askar Amerika Syarikat yang ditempatkan di dua pangkalan tentera Amerika berhampiran dan mereka mula menempah pisau.
Puas hati dengan kehalusan kerjanya, mereka menempah pedang pula dan apabila permintaan untuk rekaan yang lebih kreatif semakin banyak, dia merujuk kepada buku berkaitan senjata silam.
Tidak lama selepas salah seorang kawannya membawa pedang yang dihasilkannya ke satu pameran di Amerika Syarikat pada 1990-an, de Guzman dihubungi oleh pengedar Amerika. Dari situlah perniagaannya berkembang ke peringkat antarabangsa.
Memang ada beberapa tukang besi di Filipina yang mengembangkan perniagaan ke luar negara namun de Guzman percaya dia adalah pengeksport terbesar.
Walaupun kebanyakan hasil kerjanya kini adalah untuk pasaran antarabangsa, tetapi dia tetap mengambil tempahan membuat pisau dan parang untuk suri rumah dan petani. Kata de Guzman, sebahagian besar pelanggan luar negaranya terdiri daripada orang kaya yang berminat dengan senjata perang zaman pertengahan dan pencinta sejarah.
“Saya diberitahu mereka adalah orang yang akan memakai pakaian ala zaman pertengahan dan membawa pedang ketika sambutan perayaan tahunan di negeri masing-masing,” katanya lagi.
Lebih 100 model pedang tergantung di dinding pejabatnya, termasuk replika pedang pendek askar Rome dan pedang lebar seperti yang digunakan oleh askar Spartan (dari Yunani) ketika menentang Parsi dalam Peperangan Thermopylae pada 480 sebelum Masihi.
De Guzman berkata, dia sudah menjual lebih 1,000 pedang Excalibur seperti yang tercatat dalam cerita legenda Raja Arthur. Malah dia juga mengeksport 1,000 pedang replika milik Sir William Wallace, yang dipopularkan oleh Mel Gibson pada 1995 melalui filem Braveheart, kisah penentangan penduduk Scotland terhadap pemerintahan kerajaan Inggeris.
Menurut de Guzman, kedua-dua jenis pedang berkenaan, yang bersaiz 73 sentimeter panjang (28 inci) dan seberat lima kilogram dijual pada harga RM1,800 setiap satu.
Bagaimanapun dia enggan memberitahu pendapatannya sejak mengeksport senjata. De Guzman berkata, kerjanya itu membolehkan dia menghantar empat anaknya belajar di universiti.
Malah rumahnya juga kelihatan seperti milik golongan kelas pertengahan, yang menunjukkan ia bukanlah satu pencapaian kecil di Filipina di mana satu per empat daripada 100 juta penduduknya hidup dengan pendapatan kurang daripada RM3 sehari.
Melalui perusahaannya itu, de Guzman menyediakan pekerjaan tambahan kepada jiran pesawahnya, yang berkumpul di bengkelnya dengan memakai seluar pendek dan selipar untuk menempa besi setiap kali mereka menerima tempahan.
“Mereka juga seperti saya, tidak bersekolah. Jika ada tempahan, kami akan kerja bersama-sama. Oleh kerana mereka adalah petani, maka ladang akan diberikan perhatian utama, tempahan kena tunggu giliran. Pengedar saya faham keadaan kami, jadi tiada masalah,” katanya.
Pun begitu, ada juga pelanggannya terutama peguam dari Hollywood yang tidak mahu memahami situasi mereka.
“Saya namakan salah satu pisau dengan nama ‘Rambo III’. Tetapi saya terima surat daripada produser filem Rambo, memberitahu supaya tidak menggunakan nama ‘Rambo’, jika tidak mereka akan saman saya,” ceritanya.
Selepas menukar nama kepada ‘The Stallone’ – sempena nama pelakon filem berkenaan, dia tidak lagi menerima surat ugutan.
De Guzman menegaskan pedang Wallace yang popular melalui filem Braveheart, bukanlah dibuat sesuka hati tetapi berdasarkan spesifikasi pedang sebenar yang tersimpan di muzium di Scotland seperti yang diberikan pengedarnya.
Selepas pengedarnya memecah masuk ke pasaran pedang Jerman, de Guzman mula menelaah dengan lebih mendalam mengenai sejarah pertumpahan darah pada zaman pertengahan Eropah.
“Saya sudah buat prototaip pedang Teutonik,” katanya sambil menunjukkan pedang dua pemegang yang digunakan oleh pahlawan Jerman dalam Perang Salib pada kurun ke-11 dan ke-13 lalu. – AFP