Guna Fabrik Mudah Pakai

Penggayaan tudung untuk pengantin Muslimah bukan saja bergantung kepada bentuk wajah, tetapi jenis ikatan serta warna memainkan peranan penting bagi menentukan keanggunan mempelai tatkala bersanding di pelamin.

Kebiasaannya warna tudung sedondon atau sewarna tema pakaian menjadi pilihan. Ada juga menggunakan rona yang sama supaya tidak nampak berbeza.

Menurut pemilik butik Nurin Makeover Wedding Kuala Lumpur, Nurin Adlina Basir, pengantin bertudung perlu memilih cara ikatan bersesuaian serta konsep majlis perkahwinan. Ini kerana kedua-duanya sangat penting bagi menjadikan mempelai kelihatan anggun dan menawan.

Jelasnya, fesyen tudung ini juga harus menitikberatkan kesopanan. Sama ada membuat ikatan atau memakai tudung sedia dipakai, ia haruslah menutupi keseluruhan rambut serta melindungi kekurangan bentuk wajah.

“Konsep Muslimah ini boleh dipraktikkan dengan menggunakan sehelai selendang dan anak tudung yang boleh diikat ke belakang. Anak tudung mestilah mempunyai sengkuap dan cara ikatan boleh dilakukan sama ada menutup keseluruhan dada dan leher atau menggayakan ikatan serban,” katanya.

Untuk kedua-dua gaya ini, mempelai haruslah berhati-hati terutama bagi mereka yang memiliki wajah bulat atau segi empat.

Pemakaian anak tudung yang senang dibentuk, boleh menutup kekurangan bentuk muka sama ada bulat atau bersegi. Mempelai berwajah segi empat harus memilih tudung bersengkuap kerana ia akan menampakkan wajah lebih seimbang.

Bagi mereka yang berwajah bujur dan panjang, tidak menjadi masalah mengenakan sebarang jenis gaya tudung. Ini kerana mempelai berwajah bujur mampu menggayakan sebarang jenis fesyen kerana bentuk wajah mereka tidak mempunyai sebarang kekurangan.

Namun, pemilihan anak tudung bermanik akan menjadikan wajah lebih berseri dan anggun. Keadaan ini berbeza bagi mereka yang memiliki wajah bulat dan penuh.

“Bagi mempelai berwajah bulat seharusnya ikatan mampu menutupi kekurangan wajah. Ini boleh dilakukan dengan memilih anak tudung serta tudung bersengkuap kerana ia akan membuatkan wajah sedikit bujur. Tudung ala serban sebaiknya dielakkan kerana akan menampakkan wajah lebih bulat,” jelasnya.

Terdapat beberapa fesyen atau gaya tudung yang boleh dipilih mengikut cita rasa mempelai seperti fesyen gipsi. Ia digayakan dengan memakai anak tudung berikat di belakang. Pengantin boleh menggunakan sehelai tudung dengan membuat ikatan bunga di tepi serta meletakkan sehelai layah di kepala.

Bagi menambah keserian, pengantin boleh menggunakan selendang panjang dengan meletakkan di bahagian tengah kepala.

“Pastikan selendang itu pendek pada bahagian kanan dan disematkan pin di bawah dagu. Selepas itu, tarik hujung selendang dan bawa ke kiri. Bentukkan separuh bulat. Letakkan layah di bahagian belakang kepala agar lebih anggun,” ujarnya.

Bagi mereka yang inginkan konsep moden kontemporari, harus memilih cara pemakaian tudung bersesuaian, mungkin dengan menggunakan kain sifon dan net. Caranya dengan melilit kain net dan sifon di kepala menjadi bentuk separuh bulat. Letak aksesori sesuai seperti kerongsang agar keserian pengantin bertambah.

Bagi konsep perkahwinan dalam taman pula selain menggunakan fabrik mewah seperti sifon, gaya ikatan harus bersesuaian dengan busana.

“Lilitan serta ikatan haruslah kemas, tidak berserabut dan nampak ringkas. Ini kerana, gabungan layah akan membuatkan penampilan bertambah anggun. Jangan sesekali menggunakan fabrik yang sukar dipakai seperti linen atau satin kerana ia akan menyebabkan tudung anda kurang kukuh serta kebarangkalian akan terbuka juga tinggi,” ujarnya yang menggalakkan mempelai memilih ikatan gaya gipsi sekiranya memakai busana berkolar.

Warna tudung untuk majlis pernikahan dan persandingan juga berbeza. Untuk pernikahan, warna yang sesuai ialah putih mutiara, biru ais, krim, kelabu, biru firus, ungu kundang dan merah jambu. Bagi majlis persandingan pula, warna pilihan biasanya biru gelap, coklat, hijau lumut, ungu nila serta merah dan putih.

“Rona putih dan krim sememangnya sangat sinonim untuk pernikahan manakala persandingan, tudung lebih berwarna dipilih bersesuaian dengan konsep majlis. Apa yang penting, pemakaian tudung haruslah menampakkan kesopanan, keayuan serta menjadikan anda pasangan paling menyerlah,” ujarnya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,432 views