Guna FB Cegah Kanser

BERAPA ramai antara kita berani bersuara sama ada menegur atau memarahi ahli keluarga, rakan, teman lelaki dan wanita mahupun orang asing yang merokok terutama jika ia dilakukan di depan mata?

Ya, memang ada yang berani namun jumlah mereka yang berdiam diri lebih ramai. Mungkin disebabkan malu, malas, takut dimarahi atau sudah serik menegur, kita bertindak mengambil keputusan untuk tidak bersuara lagi.

Kata-kata seperti ‘suka hati mereka, sudah sakit nanti tanggung sendiri’ dan ‘ala, mereka sudah besar, tahu fikir mana baik dan mana buruk’ selalu didengari apabila masalah untuk menegur si perokok tegar ini dibangkitkan.

Bagaimanapun, jangan sesekali berputus asa untuk terus menasihati mereka terutama anak muda agar menjauhi rokok mahupun perkara lain yang tidak sihat demi kesihatan diri.

Ini kerana, bahan di dalam rokok yang mengandungi tembakau itu adalah penyebab utama dan tertinggi kepada penyakit pembunuh di seluruh dunia iaitu kanser.

Justeru, berlandaskan sebab tanggungjawab dan menyayangi masyarakat, Persatuan Kanser Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Courts Malaysia (Courts), melancarkan kempen mengenai bahaya dan pencegahan kanser secara inovatif melalui saluran laman sosial paling popular, facebook.

Pengarah Urusan NCSM, Rubi Ain Dahlan, berkata kempen yang dinamakan sebagai ‘I Choose’ atau ‘Saya Pilih’ ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan belia sama ada pelajar sekolah, kolej atau universiti terhadap penyakit ini yang boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat.

“Dengan kerjasama Courts, hari ini kami dapat melancarkan halaman facebook khas untuk golongan belia. Halaman ini istimewa kerana ia akan menjadi saluran utama bagi mereka berkongsi maklumat termasuk cara mengamalkan gaya hidup sihat daripada segi pengambilan bahan makanan, senaman dan seumpamanya sejak peringkat awal bagi menghindari kanser.

“Selain itu, dengan kewujudan halaman facebook ini, kami dapat memikat hati semua golongan belia apabila nada dan gaya bahasa yang digunakan bersesuaian serta digemari mereka.

“Golongan belia sememangnya berkeupayaan untuk menyerap maklumat yang banyak. Oleh itu, kami berharap dapat menyalurkan pelbagai maklumat penting ini kepada mereka menerusi saluran komunikasi yang paling disukai agar dapat membentuk diri mereka untuk membuat pilihan bijak dengan mengatakan tidak kepada kanser,” katanya.

Menurut Rubi Ain, kajian menunjukkan pencegahan kanser bermula dengan gaya hidup sihat dan lebih wajar serta berkesan lagi sekiranya amalan itu dimulakan dari usia muda.

Tidak sukar, antara petua menjaga kesihatan untuk menjauhi kanser atau penyakit kronik lain adalah dengan menggunakan krim pelindung sinaran matahari, meninggalkan tabiat merokok dan mengurangkan diri terdedah daripada asap rokok, memakan lebih banyak buah-buahan atau sayur-sayuran segar serta elak pengambilan makanan yang siap diproses.

Tambahnya, kempen berkenaan juga adalah sebahagian daripada program Harapan Kami Untuk Kanak-Kanak iaitu satu usaha inisiatif berterusan anjuran NCSM dan Courts sejak 2010.

“Keluarga sihat adalah asas kebahagiaan anggotanya. Seiring dengan konsep perniagaan Courts yang mengutamakan rumah tangga, amat penting bagi kami untuk membabitkan diri dan menyumbangkan usaha dalam kegiatan yang dapat meningkatkan tahap kesihatan masyarakat Malaysia,” kata Pengarah Negara Courts, Chris Yong.

Selain akan sentiasa dikemas kini dengan maklumat terkini mengenai cara mengurangkan risiko kanser, halaman ini juga memperkenalkan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti koreografi tarian.

Menerusi medium sama, anda boleh menyaksikan sebuah video istimewa bertajuk Unlike Cigarettes yang mengandungi pandangan selebriti tempatan seperti Cheryl Samad, Jeremy Teo, Jojo Struys, Azura Zainal, Stephanie Chai, Julie Woon, Fuad, Will Quah dan Shawn Lee yang menggalakkan golongan belia untuk menghindari serta menghentikan tabiat merokok.

Satu lagi aktiviti yang boleh disertai oleh semua remaja warganegara Malaysia berusia 13 hingga 24 tahun ialah pertandingan membuat video. Peserta hanya dikehendaki merakamkan diri mereka untuk berkongsi pendapat mengenai keburukan merokok dan menghantar rakaman video berkenaan sebelum 30 September 2012.

Lima peserta terbaik yang akan diadili oleh barisan panel bertauliah berpeluang memenangi hadiah menarik tajaan Courts seperti televisyen Samsung LED 32 inci, Apple iPod Shuffle 2G dan mesin pencetak foto Canon Selphy.

Untuk melihat dan mendapatkan maklumat berguna mengenai penyakit kanser ini, layari www.facebook.com/ichoosemalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

609 views