Guna Pembayang Mata
Majlis makan malam seolah-olah tiada serinya jika tidak disertakan dengan pakaian bergemerlapan dan gaya solekan menawan.
Namun, kedua-duanya perlu diseimbangkan agar gaya yang ditampilkan tidak kelihatan janggal.
Penggunaan warna terang dan berkilat sememangnya lebih sesuai untuk majlis waktu malam, namun kombinasinya perlu diadun secara sederhana.
Ia bertujuan mengelakkan kejelitaan semula jadi terselindung di sebalik jumlah perhiasan atau solekan tebal.
Untuk mengekalkan solekan pada wajah, sebelum memakai mekap, basuh muka dengan air mineral terlebih dulu.
Bagi menampilkan solekan lebih ranggi, pelbagaikan warna dengan mengadunkan pembayang mata warna biru, ungu, hijau atau coklat.
Sebagai contoh, lapisan pertama disapukan dengan warna ungu lembut, diikuti lapisan kedua ungu gelap serta adun bersama warna hitam di tepi mata.
Pembayang mata warna putih boleh digunakan sebagai penyerlah (highlight) pada tulang atas mata bagi kulit cerah manakala warna pic dan vanila kelihatan lebih anggun bagi mereka berkulit lebih gelap.
Selain itu, jangan sesekali menyapu pembayang mata berwarna gelap di bawah mata dengan alasan untuk menampakkan mata lebih besar. Ini akan membuatkan mata kelihatan terlalu sarat atau lebam. Cukup sekadar menggunakan penggaris mata.
Diingatkan juga jika pembayang mata berwarna gelap, gunakan warna lebih lembut pada bahagian pipi dan bibir.
Contohnya, apabila bahagian mata sudah gelap, pastikan pilih pemerah pipi dan gincu warna merah jambu lembut atau coklat tanah.
Selain itu, bentukkan kening menggunakan pensel warna yang sepadan dengan bulu kening untuk kesan lebih dramatik.
Tip penjagaan kulit sebelum memakai mekap
Sebelum membersihkan wajah, pastikan tapak tangan bersih daripada kotoran atau minyak agar tidak memberi kesan kepada kulit wajah.
Jangan abaikan kawasan leher dan dada. Jika menggunakan pembersih wajah kemudian penyegar dan seterusnya pelembap, sapukan ketiga-tiga regim pembersih ini pada bahagian leher dan dada.
Selepas memakai pelembap, tunggu beberapa minit agar ia menyerap ke dalam kulit dengan sempurna. Kemudian barulah mengenakan solekan.