Guna Unsur Lembut Warna, Fabrik
DARIPADA gemerlapan kaftan, kemudian dipermodenkan kepada pakaian koktel yang lebih kasual menjadi inspirasi pereka tersohor Eric Choong dalam menterjemahkan rekaan terbarunya.
Ilham daripada mitologi Yunani, semua himpunan ini diambil daripada kisah menarik dewi Yunani yang menggambarkan personaliti serta kejelitaan mereka. Ia hadir apabila melihat wanita moden hari ini begitu mementingkan penampilan serta keyakinan diri.
Oleh itu, Choong ingin melanjutkan metafora kuasa mitos dewi Yunani di luar kehidupan mereka. Maka terhasillah rekaan gaun yang elegan dan mampu menyerlahkan sisi berbeza si pemakai.
Koleksi ini menggunakan unsur lembut sama ada daripada segi warna dan fabrik.
Dia menggunakan sutera sifon dan tafetta sebagai fabrik utama digabungkan dengan satin, organza dan renda sebagai pelengkap pada helaian polos.
Pereka ini menyelitkan pengaruh Yunani pada rekaan gaun berpotongan empayar, lipatan kain, bahu jatuh dan kain kembang dengan perhiasan bunga pada bahagian hadapan baju, reben pada bahu serta gemerlapan batu permata pada leher dan dada. Setiap helaian dipermodenkan menjadi lebih unik menerusi lapisan dan alunan jatuh pada kain menggunakan fabrik tambahan seperti renda dan organza.
“Sesuai untuk wanita tinggi lampai, keistimewaan rekaan bukan saja pada potongan yang terletak cantik pada tubuh si pemakai, tetapi menerusi perincian manik serta jalinan tali pinggang.
“Bagi menambah gaya elegan wanita, rekaan bunga zaitun dipakaikan pada rambut bagi menggambarkan keamanan dan kemakmuran semua,” katanya.
Palet merah dipilih pada gaun petang bagi melambangkan semangat, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan serta ciri-ciri yang wujud pada dewi. Bagi menambah sentuhan kemewahan dan kilauan, setiap padanan dihiasi perincian swarovski yang pastinya menambah gaya elegan serta memberi nafas baru ke dalam tafsiran reka bentuk klasik dan moden.
Jahitan manik diletakkan pada bahagian tertentu seperti leher dan dada bagi menyempurnakan rekaan manakala fabrik daripada dua ton warna menambah keunikan tersendiri.
“Sengaja saya menambah perincian manik pada fabrik polos bagi menonjolkan keunikan potongan serta menambah aura apabila dipakai untuk sebarang majlis.
Saya yakin kemeriahan pakaian akan menyerlah apabila tambahan unsur perhiasan diberikan pada baju. Malah wanita yang memakainya akan tampil anggun dan berada dalam kelas tersendiri,” jelasnya.
Sebagai memberi penghormatan kepada keindahan dan kekuatan dewi Yunani, Choong menamakan setiap gaun dengan nama unik seperti Artemis, Hestia, Hemera, Iris, Phoebe, Asteria, Aura dan Selena yang semuanya membawa maksud tersendiri.
Setiap padanan sesuai untuk gaya koktel serta menghadiri majlis makan malam.
Bagi mereka yang ingin bergaya moden, boleh memilih untuk dipakai pada hari perkahwinan yang sesuai dilangsungkan di taman.
Layari laman sesawang www.ericchoong.com atau kunjungi butik Eric Choong Kuala Lumpur di Jalan Telawi 3, Bangsar Baru, Kuala Lumpur. Ia dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 11 pagi hingga 8 malam manakala Sabtu dari jam 11 pagi hingga 6 petang.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16