Habiskan RM300 Dalam Sehari
Tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada yang menerima. Namun tangan yang menerima itu pula tidak ketinggalan memperoleh kegembiraan dan kebahagiaan, sama seperti yang memberinya.
Seperti apa yang dilihat ketika aktiviti kebajikan interaktif Uniqlo bersama pelajar istimewa dari Wisma Harapan, minggu lalu, tiada lebih menggembirakan bagi mereka apabila diberi perhatian seperti insan lain.
Benar, bantuan kebajikan bukan sekadar pada wang ringgit dan material. Dan bantuan yang dihulurkan juga perlulah seiring dengan apa yang diperlukan oleh si penerima.
Justeru Uniqlo berusaha merealisasikan impian kanak-kanak ini bagi menjalani kehidupan seperti rakan sebaya normal dengan berpeluang membeli-belah dan mencuba pakaian sendiri di kedai.
Seramai 20 pelajar Sindrom Down, austisme dan kecacatan otak berusia tujuh hingga 20 tahun merasai keseronokan memilih helaian kegemaran mereka di butik Uniqlo Midvalley sambil dibantu 41 kakitangan yang lebih dikenali sebagai Uniqlo Buddy.
Setiap seorang diberikan baucar RM300 dan ditemani sekurang-kurangnya dua Uniqlo Buddy yang membimbing mereka memadankan helaian sesuai dengan personaliti diri masing-masing.
Selain itu, Uniqlo Buddy berperanan membantu pelajar ini menguruskan perbelanjaan agar setiap pembelian mencapai jumlah yang ditetapkan.
“Ia salah satu komitmen berterusan Uniqlo untuk memperkayakan kehidupan masyarakat menerusi kuasa pakaian.
“Inisiatif yang dilakukan Uniqlo ini bukan sekadar melunaskan tanggungjawab sosial (CSR) kami kepada masyarakat, tetapi menyuntik nilai murni dalam kalangan kakitangan.
“Ia pertama kali diadakan di Uniqlo Malaysia dan kami mahu pelajar istimewa ini merasai sendiri kegembiraan membeli-belah dan memilih serta mencuba pakaian yang mereka gemari.
“Dalam masa sama, Uniqlo Buddy membantu mereka menguruskan perbelanjaan dengan meminta mereka melakukan pengiraan mudah agar jumlah belian mencapai RM300.
“Dengan cara ini kami harap dapat memperkasakan mereka, sekali gus membantu meningkatkan lagi skil sosial pelajar ini dalam menempuh cabaran setiap hari,” ujar Pengurus Pentadbiran merangkap Ketua CSR Uniqlo Malaysia, Cindy Chong Siau Fui.
Tambah Cindy, beberapa Uniqlo Buddy terlebih dulu mengunjungi Wisma Harapan untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai pelajar terbabit di samping mempelajari teknik mengendalikan mereka.
Seperti apa yang dialami salah seorang Uniqlo Buddy, Goh Shuyan, pendedahan kakitangan dengan gaya hidup pelajar ini dapat membantu malah mengajar mereka memahami kehendak pelanggan istimewa.
Meskipun ada beberapa kanak-kanak istimewa ini menggigit Uniqlo Buddy, Goh mendapati ia adalah antara cara mereka berkomunikasi dengan orang lain.
“Salah satu perkara yang kami pelajari ialah meletakkan diri di tahap mereka. Mereka juga mahukan layanan sama seperti individu normal, justeru kami cuba memberikan pengalaman sebaiknya menerusi aktiviti ini,” katanya.
Bagi Rashid Ramli, 32, pengalaman kali pertama mengendalikan golongan istimewa ini membuatkan dirinya lebih prihatin dan mengelakkan sikap rasis.
Digandingkan dengan Nicholas Jude, Rashid membantu remaja itu memilih lapan helaian merangkumi kemeja-T, kemeja polo dan baju panas.
“Sasaran utama saya ialah membuatkan Nicholas gembira dengan pilihannya. Selain itu saya cuba membantunya menyuai padan helaian Uniqlo dengan pakaiannya sedia ada.
“Dengan cara ini Nicholas mempunyai lebih banyak idea dalam penggayaan dan tidaklah memakai pakaian yang sama setiap kali menyertai aktiviti di luar,” katanya.
Nyata aktiviti seperti ini amat dialu-alukan Wisma Harapan berikutan dapat memberi peluang untuk pelajar ini bercampur gaul dengan masyarakat luar.
Jelas koordinatornya, Margaret Thava, 59, pembabitan dalam aktiviti luar kelas seperti ini dapat membantu mereka mempelajari perkara baru dan meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka apabila berdepan masyarakat.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ini boleh layari www.uniqlo.com.my atau lawat laman sosial di www.facebook.com/uniqlo.my.