Hapus Runsing Cara Penampilan
BAGI wanita berkerjaya, penampilan ringkas ke pejabat sering menjadi pilihan dalam berpakaian. Padanan blaus, skirt atau seluar melatari padanan.
Namun ada juga yang runsing sekiranya perlu menghadiri majlis ulang tahun hari lahir, minum petang atau makan malam selepas waktu pejabat sedangkan masa terlalu suntuk untuk pulang ke rumah.
Paparan minggu ini menyediakan sedikit idea serta panduan kepada wanita berkerjaya untuk tampil menyerlah ke pejabat serta majlis kasual. Apa yang penting, teknik suai padan ditambah idea memadankan perhiasan sebagai kekuatan utama menambah pesona diri.
Setiap wanita pasti memiliki sekurang-kurangnya sepasang anting-anting, rantai dan gelang. Jangan biar tersimpan cantik di dalam laci solek saja, sebaliknya tambahkan padanan perhiasan ini untuk menghadiri majlis minum petang atau makan malam.
Untuk menjadikan diri lebih menonjol, cuba gayakan aksesori seperti rantai atau gelang lebih daripada biasa. Sebagai contoh, jika anda menggayakan satu set rantai, cuba tukar dengan rantai labuh berjurai untuk menampakkan penampilan lebih glamor atau dua, tiga gelang bersama.
Ramai tidak tahu hanya dengan sepasang kasut mampu merubah penampilan menjadi lebih menyerlah. Apa kata untuk acara malam, pilih kasut bertumit dengan perhiasan manik di atasnya atau pilih kasut bertali yang menampakkan diri lebih seksi apabila digayakan bersama skirt pendek.
Jangan tinggalkan beg tangan kerana ia bak perisai diri wanita. Sama ada rekaan beg berpotongan tote, hobo atau satchel, anda akan tampil lebih anggun di tengah kumpulan orang ramai.
Selain itu, idea menggayakan tas tangan juga harus diambil kira kerana tas tangan comel bukan saja ringkas namun lebih kelas sekiranya anda memilih unsur kilauan atau sebutir mutiara di atasnya. Jangan bimbang jika warna tidak sepadan pakaian kerana warna kontras akan membuatkan penampilan lebih glamor dan segar.