Harapan Baru Wei Wei

Kira-kira 10 tahun lalu, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Theu Zhi Wei tinggal di sebuah rumah biarawati Buddha di Alor Setar, Kedah.

Secara fizikal, dia yang dikenali sebagai Wei Wei ini seperti kanak-kanak sempurna yang riang bermain. Namun, sebenarnya dia tidak mampu mendengar sejak lahir dan sekali gus bisu.

Seperti ditakdirkan, dia dipertemukan dengan Dr Koay Cheng Boon yang dimaklumkan mengenai nasib anak kecil itu.

Melihat keadaannya dan memikirkan masa depan si kecil itu, Dr Koay berazam untuk membantunya mendapatkan deria pendengaran supaya dia boleh menikmati anugerah itu, bercakap dan memperoleh masa depan lebih cerah.

“Oleh kerana Wei Wei pekak sejak lahir, hampir tiada harapan baginya untuk belajar bertutur, menerima pendidikan biasa atau diambil sebagai anak angkat.

“Wei Wei seolah-olah ditakdirkan bergantung hidup pada belas kasihan dan hanya pemulihan pendengaran boleh memberi harapan baru kepadanya,” katanya.

Dr Koay meyakinkan pihak Pusat Perubatan Sunway untuk memberikan rawatan dan pembedahan untuk Wei Wei secara percuma bernilai RM100,000 menggunakan kepakarannya dan teknologi yang ada pada masa itu menerusi Program Implan Koklea.

Pada Febuari 2004, pembedahan dilakukan Dr Koay dengan implan koklea diletakkan pada telinga dalam Wei Wei.

Ia juga pembedahan pertama seumpamanya dilakukan di hospital itu, sekali gus menjadi pusat perubatan swasta pertama di negara ini berjaya melakukannya.

Dalam masa dua minggu, Wei Wei mendengar bunyi buat kali pertama, sekali gus bermulanya kehidupan baru buat dirinya.

Program Implan Koklea di pusat perubatan terbabit diasaskan lebih 10 tahun lalu pada 2004. Ia kini mempunyai rekod pencapaian cemerlang dengan lebih 36 penerima implan koklea setakat ini.

Namun menurut Dr Koay, kejayaan mengubah kehidupan mereka yang pekak terutama pekak sejak lahir bukan saja bergantung kepada pembedahan semata-mata.

“Sememangnya ia memberi peluang kepada pesakit mendengar, tetapi untuk mereka memahami bunyi dan bertutur, ia memerlukan sokongan daripada semua pihak di sekeliling mereka.

“Selepas pembedahan dan pesakit boleh mendengar bunyi, mereka patut diberikan sesi terapi untuk satu jangka masa tertentu.

“Ibu bapa, keluarga dan persekitaran perlu memahami dan membantu mereka yang mendapat telinga bionik ini memahami situasi dan perkembangan mereka.

“Oleh itu, saya juga sangat mementingkan langkah yang patut diambil selepas pembedahan. Ia sama seperti proses belajar berjalan, harus dilakukan langkah demi langkah dan penuh perhatian,” katanya.

Menurutnya, kejayaan pembedahan implan koklea terhadap Wei Wei dan 35 individu lain selepasnya dicapai berkat kerjasama antara pakar bedah, jururawat kakitangan, pakar audio, pakar terapi pertuturan dan semua ahli profesional perubatan.

Ibu angkat Wei Wei, Daisy Lim dari Johor Bahru, yang menjaga dan membesarkannya selepas pembedahan itu mengakui, pembedahan membabitkan implan koklea sememangnya membuka lembaran baru dalam hidup Wei Wei, namun perkembangan selanjutnya juga sangat penting.

“Selain menghadiri sesi terapi audio dan pertuturan setiap minggu, saya juga memastikan Wei Wei bertutur menggunakan percakapan bukan bahasa isyarat.

“Pembelajaraannya juga perlu lebih sesuai. Saya tidak mengikut saranan sesetengah pihak yang menyuruh Wei Wei dimasukkan ke sekolah anak-anak kurang upaya kerana saya tahu dia kini sempurna.

“Selain memasukkan ke sekolah biasa, saya juga menyediakan kelas tuisyen untuknya bertutur.

“Walaupun pada mulanya perkembangan pertuturan Wei Wei seperti ketinggalan dua tahun, berkat sokongan keluarga dan usahanya, dia kini seperti remaja normal yang lain,” katanya.

Wei Wei kini remaja perempuan yang ceria dan berinteraksi dengan rakannya seperti anak muda yang lain.

“Saya sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan Dr Koay serta kumpulan sokongan Pusat Perubatan Sunway dan keluarga saya yang banyak memberi dorongan.

“Kehidupan saya kini sama seperti rakan sebaya yang lain. Saya boleh mendengar dengan baik dan berinteraksi seperti mereka dengan mudah,” kata anak gadis ini yang menyimpan impian bergelar pelakon atau jurugambar pada satu hari nanti.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

525 views