Hargai Kutub Utara

Melihat setiap bingkai gambar yang tergantung di ruang legar Hotel Traders dengan paparan beruang polar dan burung Ptarmigan berterbangan benar-benar mengagumkan penulis. Apatah lagi apabila dirakamkan jurugambar tempatan Bonnie Yap yang cukup dikenali sebagai jurugambar sambilan untuk mana-mana acara membabitkan pelancaran fesyen, produk dan makanan.

Apa yang bermain di fikiran penulis bukan hanya pada hasil kerjanya yang unik dan kreatif, tetapi pada kesanggupannya ‘terbang’ dan belayar ke kawasan Artik iaitu rantau di sekitar Kutub Utara dan berhadapan Antartika yang jarang dikunjungi pelancong disebabkan suhu sejuk melampau sehingga mencecah -37 darjah celsius. Malah penulis juga kagum dengan kekuatan semangat dan usaha yang bersungguh-sungguh bagi memastikan dia mampu menghasilkan sesuatu yang bermakna kepada masyarakat.

Dikenali sebagai jurugambar yang ramah dan mudah tersenyum, ketika ditanya perasaan berjaya menjejakkan kaki ke kawasan berais yang dianggap sebagai kerja ‘gila’ oleh ibunya, dia hanya mengangkat tangan menunjukkan tanda bagus sambil menggeleng kepala.

“Tidak mampu diucapkan dengan kata-kata. Semua serba sempurna, hanya mereka yang pernah ke sana mampu memberikan gambaran kerana inilah tingkat pencapaian saya dalam kerjaya jurugambar selama ini. Saya sendiri cukup teruja kerana apa yang saya impikan menjadi kenyataan,” katanya ketika sesi temuramah di Hotel Traders minggu lalu.

Menjadi jurugambar yang ‘gilakan’ cabaran, Bonnie ada sebab tersendiri mengapa dia sanggup mengeluarkan belanja sendiri dengan kos mencecah RM40,000. Dia benar-benar teringin merakamkan gambar beruang polar dan glasier yang disifatkan cukup unik dan menarik.

Namun penulis dapat merasakan seakan ada perkara lain yang mendorongnya untuk melakukan apa yang dilalui sekarang. Ini kerana impian untuk melihat beruang polar dianggap sesuatu yang masih tidak mencukupi bagi menggerakkan seluruh semangat serta membina kekuatan bagi merealisasikan impiannya.

“Saya menyimpan hasrat yang besar untuk membina kejayaan sendiri sebagai jurugambar. Namun begitu semua impian ini tidak akan tercapai sehingga ia didorong satu perasaan untuk melakukan ‘sesuatu’ yang membanggakan sebelum saya menutup mata.

“Setiap hari saya disampaikan berita rakan menghidap penyakit berbahaya seperti kanser. Ada juga yang sudah meninggal dunia. Saya sedar hidup ini terlalu singkat sedangkan masih banyak yang perlu saya lakukan bagi memberi kepuasan kepada diri sendiri,” katanya berlepas ke Artik pada Ogos 2013 dengan melalui Norway, Denmark dan Iceland.

Membawa bersama kamera Canon digital DSLR dengan lensa 300 milimeter, perjalanan Bonnie ke Artik bermula dari Oslo ke Longyearbyen, Norway yang disebut-sebut sebagai bandar paling tinggi atau utara di dunia. Dari situ Bonnie meneruskan pelayaran dengan kapal khas bersama 46 pelancong dari seluruh dunia ke Lautan Greenland sambil memerhatikan glasier di lembah Iceland dan Denmark.

“Saya cukup terkesan melihat ais yang melebur di lembah dan tidak ada ais yang cukup untuk membentuk glasier baru. Ini membuka mata saya mengenai isu pemanasan global yang berlaku di seluruh dunia.

“Saya begitu takjub melihat pembentukan ais di sekitar lembah dan bongkah ais dengan jelas berubah bentuk akibat perubahan cuaca tahun demi tahun. Saya tertanya-tanya jika ini keadaannya adakah generasi akan datang mampu melihat glasier dan gunung ais yang semakin mencair,” ujarnya.

Baginya semua yang dilihat adalah keajaiban. Bonnie tidak melepaskan peluang merakamkan satu persatu keajaiban yang terbentang di depan mata. Aksi ibu beruang polar yang sedang tidur dan kemudian bermain dengan anak-anaknya menjadi antara tebakan gambar menerusi lensa kamera. Walaupun sebelum datang dia diberitahu agak sukar melihat beruang polar disebabkan faktor cuaca namun Bonnie bernasib baik kerana dia bukan saja diberi peluang melihat satu, tetapi enam yang seolah-olah menunggu gambar mereka diabadikan.

Menjelaskan mengenai cabaran sepanjang 25 hari perjalanan dan 18 hari di Artik selain terpaksa menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk, Bonnie juga berhadapan dengan masalah komunikasi terutama dengan pelancong dari seluruh dunia yang bertutur dalam pelbagai bahasa.

Walaupun menggunakan bahasa Inggeris namun pengaruh dialek menyebabkan ia kurang difahami. Bagi mengatasi masalah ini Bonnie banyak bertanya dengan mereka yang datang daripada negara Asia.

Oleh kerana mengembara secara solo, ada kala Bonnie diserang rasa tertekan kerana rindukan keluarga dan kawan-kawan.

“Namun saya kembali bersemangat mengenangkan misi yang harus disudahkan dan perlu menghasilkan gambar terbaik,” katanya yang mengunjungi gimnasium dan melakukan senaman setiap hari bagi menguatkan stamina dan membina kecergasan sebagai persediaan ke Artik.

Cinta berputik zaman remaja

Menceritakan bagaimana meminati kerjaya ini dan menjadikannya sebagai mata pencarian, anak bongsu lima beradik ini mengakui cintanya terhadap fotografi dan kamera bermula sejak usia 16 tahun. Ketika itu dia dihadiahi kamera oleh seorang rakan yang meminta dia mengambil gambar pada majlis hari jadinya.

“Kerana cukup teruja menerima kamera dengan filem, saya terus mengambil gambar tanpa henti. Namun apabila gambar sedia dicuci, saya dapati banyak yang rosak dan tidak boleh disimpan. Ini membuatkan saya dimarahi. Sejak itu saya bertekad untuk belajar dalam bidang fotografi bagi menghasilkan gambar yang baik,” katanya yang dibesarkan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Selepas tamat tingkatan lima Bonnie memberitahu ibunya, Chai Kok Siam, dia ingin menyambung pengajian dalam bidang fotografi. Pada awalnya ibu menghalang kerana beranggapan kerjaya ini tidak sesuai untuk wanita kerana didominasi lelaki.

Namun selepas memujuk dengan bersungguh-sungguh akhirnya dia berjaya meyakinkan ibu dan bertekad untuk tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Pada 1989 saya berjaya mendaftar di Institut Seni Malaysia (MIA) dengan mengambil jurusan fotografi. Bagi menampung pengajian saya berjinak-jinak dengan kerja sambilan sebagai jurugambar di jabatan pengiklanan MIA dan sudah tentu ia banyak mendedahkan saya dengan kerjaya yang sebenar,” katanya.

Selepas menerima diploma dalam jurusan ini Bonnie berkhidmat di syarikat pengiklanan pada 1990 sebelum meletak jawatan dan meneruskan kerjaya di syarikat penerbitan akhbar berbahasa Inggeris.

“Oleh kerana sangat menggemari bidang sukan saya teruja mengambil gambar untuk bahan berita sukan. Namun selepas mencuba saya dapat rasakan ia bukanlah bidang saya sebenarnya. Saya sedar kelemahan saya adalah mengambil gambar bergerak lalu berpindah ke unit majalah dalam syarikat yang sama,” katanya.

Mendapat jolokan jurugambar gaya hidup mewah, Bonnie mendapati hasil kerjaya dalam bidang fesyen, gaya hidup, makanan dan produk sangat digemari pelanggan. Malah dia sering diminta mengambil gambar untuk acara yang mereka anjurkan sehinggakan tiada masa melakukannya. Lalu dia meneroka keluar daripada Star Publications dengan membina perniagaan sendiri selepas hampir 12 tahun menempuh pengalaman berharga.

Dengan keupayaan dimilikinya termasuk idea dan kreativiti, Bonnie yakin ada sesuatu yang harus disimpan agar menjadi khazanah paling berharga. Inilah sebabnya Bonnie merealisasi impian ke Artik seterusnya mengadakan pameran The Jewel of the Artic bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya menghargai alam sekitar.

Menurut Bonnie, daripada 179 gambar yang diambil di Artik dia hanya memilih 40 gambar terbaik untuk dipamerkan. Malah dia melakukan suntingan paling minimum ke atas semua gambar bagi mengekalkan status semula jadi.

“Saya hanya bermain dengan tetapan kecerahan untuk imej untuk mengekalkan keaslian. Ini bagi memberi pilihan kepada orang ramai melihat keaslian setiap gambar yang saya ambil di Artik,” katanya.

Pameran fotografi yang akan dipamerkan di lobi Hotel Traders di Kuala Lumpur bermula 1 hingga 31 Mac ini. Bonnie juga akan menjual gambar yang dipamerkan sebagai usaha membantu kanak- kanak yang memerlukan bantuan kewangan untuk perubatan dan rawatan di Hospital Assunta.

Pada masa akan datang Bonnie bercita-cita meneruskan pengembaraan solo ke Antartika pada 2015 dan berharap mampu melaksanakan pameran kedua pada 2016.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,537 views