Hari Ibu Jadi Tradisi Keluarga
Ibu jantung hatiku, ibu juga peneman serta penenang diri kala susah dan senang. Biar apapun yang cuba kita lakukan untuk ibu, tak terbalas segala jasanya daripada mengandung hingga melahir dan membesarkan kita menjadi insan berguna untuk masyarakat, negara serta agama.
Namun kala ibu dirundung malang, tidak ramai pula anak yang sedar mahupun bertanyakan khabar mengenai keadaan ibu.
Tidak kurang pula yang sukar mengucapkan terima kasih dan kata-kata sayang pada ibu sedangkan lidah laju saja mengucapkannya pada pasangan kekasih.
Justeru, sambutan Hari Ibu mula menjadi amalan kerana ada yang beranggapan hari istimewa yang disambut seluruh dunia ini bertindak sebagai ruang untuk si anak mengungkapkan rasa kasih serta sayang pada si ibu.
Sejak sedekad lalu, Hari Ibu menjadi semakin popular malah ada yang meletakkannya sebagai hari peringatan untuk wanita yang melahirkan kita.
Kesempatan sama juga digunakan untuk bercuti sekeluarga. Ada pula yang mengambil peluang membuat keuntungan pada sambutannya. Jualan hadiah, kek, barang kemas dan bunga dicipta khas buat Hari Ibu supaya anak mudah membuat pilihan.
Bagaimanapun, ada yang tidak menyambutnya atas dasar prinsip mereka iaitu kecintaan pada ibu tidak wajar disambut pada satu hari istimewa, sebaliknya sepanjang masa.
Kata mereka, meletakkan hari khas membuatkan anak pandang lewa pada hari lain dan ibu dibiarkan sepi. Apapun semuanya bergantung pada pilihan diri dan bagi pihak yang mahu meraikan ibu, mereka sedaya upaya membangkitkan suasana istimewa.
Kebelakangan ini ramai yang meraikan ibu dengan membawa wanita tersayang ini ke hotel bagi menikmati hidangan tengah hari. Kebanyakan hotel juga mula memperkenalkan promosi menarik khusus untuk hari istimewa itu.
Seperti apa yang dilihat di Kembali Kitchen terletak di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu, keluarga moden mula memilih restoran di hotel bagi meraikan Hari Ibu.
Rasionalnya, hidangan yang dipersembahkan lebih menyeluruh merangkumi pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut, selain ditawarkan pada harga berpatutan. Malah rata-rata mula menjadikannya sebagai tradisi setiap kali munculnya Hari Ibu, malah Hari Bapa.
Memetik kata-kata Chef Sous, Mohd Bahar Abdullah, hidangan untuk Hari Ibu lazimnya berdasarkan kepada maklum balas daripada pengunjung agar ia menepati selera si ibu.
“Lebih 100 hidangan disediakan untuk sambutan kali ini terdiri daripada masakan kampung, India, Jepun, Cina dan Barat.
“Tidak ketinggalan hidangan popular seperti kambing panggang yang turut menjadi menu utama dalam promosi Hari Ibu kali ini,” katanya.
Tidak lengkap hidangan untuk ibu tanpa disertai manisan seperti kuih-muih dan kek.
Chef Pastri, Muhammad Irrashidin Mokhtar, menjelaskan ia antara tarikan utama hidangan ketika Hari Ibu.
“Ketika ini, kek red velvet menjadi trend dalam kalangan masyarakat khususnya wanita. Justeru, ia antara pencuci mulut utama kali ini ditambah warnanya yang merah iaitu rona sinonim dengan Hari Ibu.
“Selain itu, manisan unik seperti mousse raspberi turut menjadi salah satu tarikan kerana dihasilkan dalam bentuk popsicle iaitu seperti batang aiskrim.
“Kami sebolehnya mahu cetuskan pengalaman gastronomi yang bukan saja berbeza, malah menyeronokkan,” katanya.
Selain hidangan menyelerakan, Best Western Premier turut mengadakan aktiviti menghias kek cawan untuk kanak-kanak serta urutan percuma selama 15 minit buat si ibu.
Tradisi keluarga
Bagi Narveen Seran, sambutan Hari Ibu setiap tahun adalah satu-satunya hari apabila ibunya, Jasbir Kaur Seran, tidak perlu melakukan tugasan rutin di rumah.
Bapanya, Harjit Singh Rendawa menjadi tulang belakang yang memastikan Hari Ibu disambut setiap tahun dalam keluarganya.
“Kami tidak benarkan ibu memasak pada hari itu dan biasanya kami sekeluarga membawanya keluar makan tengah hari atau malam di restoran.
“Ia tradisi keluarga sejak saya dan adik-beradik lain masih kecil. Ketika itu,
kami adik-beradik sediakan sarapan untuk ibu sebelum bapa membawa kami ke restoran untuk hidangan tengah hari.
“Kini apabila masing-masing sudah bekerja, kami pula yang membawa ibu serta bapa keluar menikmati hidangan di restoran.
“Pilihan restoran pula tidak terhad di hotel, tapi ia mestilah menepati tema sambutan Hari Ibu itu,” katanya yang kini diraikan pula oleh anak perempuannya, Monisha Kaur.
Tambah Narveen, meraikan Hari Ibu bukanlah bermakna hari lain dipandang sepi, tapi hari istimewa itu lebih meriah kerana diraikan di seluruh dunia.
Ia juga mula menjadi tradisi bagi keluarga Marzillah Jamisham sejurus menimang cahaya matanya, Muhammad Faiqh Miqhail, sejak lima tahun lalu.
“Selepas melahirkan Faiqh, suami mula menjadikannya sebagai tradisi keluarga kami. Selalunya kami keluar makan tengah hari di luar sebelum menghabiskan
masa bersama di rumah,” katanya.
Sementara itu, Steven Ooi pula sering membawa keluarga menikmati hidangan di hotel pada hari istimewa seperti Hari Ibu dan ulang tahun isterinya.
“Meraikan hari istimewa seperti Hari Ibu ini amat digalakkan sebagai tanda penghargaan kita kepada golongan ibu.
“Sememangnya kita perlu meraikan ibu setiap hari, tapi hari khusus seperti ini membolehkan kita berkumpul sesama ahli keluarga bagi meraikannya bersama-sama.
“Anak-anak sering bersama isteri sementara saya sibuk dengan tugasan di tempat kerja. Jadi, hari seperti ini ruang untuk kami merapatkan hubungan sesama sendiri di samping mengajar anak-anak mengenai kepentingan menghargai ibu,” katanya.