Hasil Tidak Mengecewakan

Banyak kemahiran yang boleh dipelajari wanita untuk membantu mereka menambah pendapatan sampingan, soal mahu atau tidak saja.

Menjahit, membuat kuih dan menerima tempahan gubahan hantaran perkahwinan, semua bersandarkan minat serta ilmu bagi membezakan individu yang mahu meningkatkan potensi diri mereka sendiri.

Buktinya, banyak kelas anjuran pelbagai pihak sama ada secara persendirian atau berkumpulan yang boleh dihadiri untuk mempelajari dan meningkatkan penguasaan bidang diminati.

Misalnya, kelas gubahan hantaran perkahwinan. Pemilik Whatalovelywedding by Fathinz, Nur Fathinatul Huda Md Nor, 32, atau lebih mesra disapa Fathin turut mengakui menerima banyak permintaan untuk dia mengadakan kelas gubahan hantaran perkahwinan.

“Berdasarkan pengalaman ditimba dalam bidang gubahan selama lapan tahun, ia banyak mengajar saya mengenai perkara penting dalam pemilihan jenis bunga dan konsep yang menarik.

“Ilmu diperoleh berdasarkan pengalaman sendiri tidak mahu disia-siakan begitu saja. Disebabkan itu, saya mula membuka kelas gubahan secara tidak formal iaitu kepada saudara terdekat pada 2008.

“Selepas itu, pada 2010 pula saya mula mengadakan kelas secara formal kepada peserta yang berminat. Namun saya hanya mengadakan kelas mengikut permintaan,” katanya.

Bagi meningkatkan ilmu pengetahuan, Fathin juga tidak ketinggalan mempelajarinya menerusi pengalaman sendiri dan Internet agar lebih banyak maklumat berguna dapat dikongsi bersama peserta yang mengikuti kelas kendaliannya.

Tambahnya, minimum pelajar dalam satu masa adalah tiga orang dan diadakan sebulan sekali jika mempunyai masa terluang.

Whatalovelywedding Floral Master Class by Fathinz mengadakan dua kategori kelas iaitu membabitkan gubahan hantaran dan susun atur bunga untuk hiasan rumah.

Ia biasa dilakukan dalam tempoh tiga jam dan pelajar akan diajar mengenai bahan diperlukan untuk menggubah hantaran.

Selain itu, Fathin turut menekankan mengenai tip pemilihan bunga dan rona sesuai mengikut tema, penjagaan bunga, penggunaan span, masa diperlukan untuk menyiapkan gubahan dan aksesori menarik yang boleh digunakan.

“Saya mengajar sehing-ga mereka faham dan memperoleh ilmu berkaitan gubahan untuk dipraktikkan apabila berada di luar kelas.

“Walaupun teknik dikongsi hanya menyentuh soal mengenai penjagaan bunga, ia dianggap penting dalam gubahan bagi memastikan bunga kekal segar apabila digunakan.

“Bagi saya, gubahan bunga bukan hanya melihat pada kemahiran seseorang, malah ia lebih kepada minat dan teknik yang betul supaya hasilnya tidak mengecewakan pelanggan,” katanya.

Menariknya, kelas gubahan juga menyentuh mengenai gubahan yang mengikut trend terkini serta diinginkan bakal pengantin.

Ujarnya, kebanyakan pengantin masa kini memilih penggunaan bunga segar pada hiasan hantaran mereka berbanding bunga tiruan.

Walaupun jarak perjalanan rumah antara pasangan jauh, mereka tidak kisah asalkan gubahan tampak segar, semula jadi dan warnanya juga lebih lembut.

Malah kos gubahan menggunakan bunga segar juga lebih efektif terutama kepada pengantin yang hanya mahu menjadikan gubahan sebagai pelengkap majlis dan bukan untuk disimpan lama.

Bagi Fathin, jenis bunga yang dipilih pelanggan tidak menjadi masalah asalkan setiap penggubah perlu tahu cara memastikan bunga segar tidak lebam dan mampu bertahan lama.

“Disebabkan itu, saya berasa kelas gubahan hantaran menggunakan bunga segar ini penting kerana ia banyak mengajar peserta mengenai penjagaan dan jenis bunga yang sesuai dengan faktor jarak perjalanan bakal pengantin.

“Selain itu, banyak juga panduan dikongsi untuk memastikan bunga kekal segar. Misalnya, jenis bunga dan penggunaan air tanpa klorin bagi mengelakkan bunga cepat layu.

“Kadangkala, ada sesetengah penggubah yang tidak tahu mengenainya dan menyiapkan gubahan tanpa menyelidik jenis bunga yang sesuai dengan masalah dihadapi pelanggan,” katanya.

Tambah Fathin, beberapa kriteria penting yang perlu ada pada penggubah bunga hantaran, rumah atau majlis agar mereka mempunyai ilmu mengenai jenis dan sifat bunga.

Selain itu, mereka juga harus mempunyai minat dan sikap sabar dalam menghasilkan gubahan menarik. Pengalaman juga penting untuk mengajar diri mengenai pantang larang dalam penggunaan bunga segar dan masalah biasa dihadapi untuk mengatasinya dengan teknik betul.

“Setiap gubahan mempunyai cerita masing-masing. Kita juga boleh tahu sifat pengantin menerusi pemilihan warna bunga sama ada ia terang atau lembut.

“Selain itu, menggubah juga perlu ada idea tidak kira bertulis atau menerusi gambaran agar ia tidak tersasar daripada konsep diinginkan pelanggan.

“Disebabkan itu, saya mengajar peserta untuk membuat lakaran idea terlebih dulu sebelum menyiapkan gubahan,” katanya.

Tambahnya, bukan hanya dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang gubahan malah peserta juga berpeluang membawa pulang hasil idea mereka sebagai kenangan atau rujukan sendiri.

Malah setiap jenis bunga dan ciri-cirinya akan diterangkan secara terperinci agar peserta dapat memahami sifatnya sama ada ia sensitif terhadap air, minyak wangi atau sinaran cahaya matahari.

Fathin juga gembira kerana dapat berkongsi ilmu dan membuka peluang kepada wanita lain untuk membuka perniagaan sendiri dalam bidang gubahan bunga atau hantaran.

Pada masa sama, Fathin turut merancang untuk mengadakan kelas atau seminar berkaitan bunga dan gubahan dengan jumlah peserta yang lebih ramai.

Nasihat Fathin kepada wanita yang mahu mengikuti kelas gubahan hantaran, periksa terlebih dulu portfolio penggubah bunga dan sebaiknya belajar daripada mereka yang berpengalaman.

Ini kerana, penggubah bunga yang berpengalaman tidak lokek berkongsi ilmu dan memastikan setiap peserta memahami subjek yang dipelajari.

Gubahan bunga bukan boleh dipelajari dalam sehari saja. Peserta perlu terus belajar dan mempraktikkan ilmu dipelajari bagi meningkatkan kemahiran di samping memperkenalkan idea baru yang lebih menarik.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

632 views