Henti Rokok Elak COPD

Melalui Kajian Perokok Dewasa Global (GATS) 2011, lebih 43 peratus lelaki di Malaysia adalah perokok manakala 2.3 juta hingga 7.6 juta orang dewasa terdedah pada asap rokok di tempat kerja dan rumah.

Asap rokok, sama ada daripada pengunaan tembakau atau daripada orang merokok, adalah penyebab utama sekatan pulmonari kronik (COPD). COPD menjejaskan kesihatan 210 juta orang di seluruh dunia dan dijangka menjadi punca keempat kematian di dunia menjelang 2030.

COPD atau penyakit sekatan pulmonari kronik ialah penyakit paru-paru progresif yang membuatkan seseorang sukar bernafas. Ia berlaku kepada individu berusia 40 tahun ke atas dan disebabkan kesan merokok serta jerebu dalam atmosfera. Gejala umum seperti sesak nafas, pengeluaran kahak berlebihan serta batuk kronik.

Pakar Perunding Perubatan Umum dan Pernafasan Hospital Pakar KPJ Damansara dan Pengerusi Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM), Datuk Dr Zainudin Md Zin berkata, faktor yang meningkatkan risiko adalah rokok di mana 90 peratus pesakit COPD adalah perokok. Manakala 10 peratus lagi adalah faktor persekitaran seperti pencemaran dan faktor pekerjaan.

“COPD boleh dielak jika individu menjalani hidup sihat seperti tidak merokok. Meskipun pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membanteras tabiat, ia masih kurang mendapat sambutan.

“Selama ini banyak inisiatif pendidikan dilaksanakan berkaitan COPD tetapi masih ada kes COPD yang tidak disahkan di negara ini.

“Kita perlu meneruskan program kesedaran pendidikan bagi meningkatkan pengesanan awal dan menguruskan COPD dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui sempena Hari COPD Sedunia bertema Breathe in The Knowledge anjuran GlaxoSmithKline (GSK) dengan LFM di KPJ Damansara baru-baru ini.

Menurutnya, langkah pencegahan awal sepatutnya diambil individu atas rasa tanggungjawab dengan tidak merokok. Mungkin pada usia muda tiada masalah, namun memasuki usia emas ia memberi kesan tidak baik, malah membahayakan nyawa.

“Kebanyakan kes COPD terbentuk selepas pendedahan berpanjangan kepada jelaga yang merosakkan paru-paru dan saluran udara, terutama paip, cerut, asap tembakau dan lain-lain, bahkan asap pasif turut menyakitkan paru-paru dan menyebabkan COPD.

“Selain mengganggu tidur, pesakit mengalami sesak nafas walaupun hanya melakukan kerja harian seperti berjalan dan mendaki tangga.

“Saluran pernafasan perlahan-lahan menjadi sempit dan akhirnya menimbulkan rasa penat kerana setiap nafas ditarik memerlukan paru-paru bekerja kuat,” katanya.

Kebelakangan ini, COPD bukan saja dikenali sebagai penyakit ‘lelaki’ tetapi turut dialami golongan wanita pada nisbah yang sama disebabkan peningkatan penggunaan tembakau dalam kalangan wanita.

Walaupun tiada penawar, perkembangan penyakit mungkin dapat dilengahkan dengan berhenti merokok serta mengelak pendedahan kepada agen berbahaya lain.

Dalam pada itu, Pemegang Amanah Yayasan Paru-paru, Datuk Dr Aziah Ahmad Mahayiddin berkata, tiada ubat untuk menyembuhkan COPD.

“Merokok adalah punca utama COPD tetapi tidak mudah perokok mahu menghentikan tabiat mereka. Hanya dengan berhenti merokok pesakit akan pulih. Kita perlu mendidik serta menyokong mereka dalam usaha berhenti merokok,” katanya.

Walaupun COPD dianggap sebagai penyakit pada usia tua, anggaran menunjukkan 50 peratus penghidap COPD berusia kurang daripada 65 tahun, menyebabkan peningkatan dalam ketidakhadiran di tempat kerja, persaraan awal dan kurang pembabitan dalam tenaga kerja.

RAWATAN COPD

- Langkah pertama berhenti merokok. Bincang dengan doktor cara terbaik untuk berhenti merokok. Pelbagai cara diperkenalkan seperti klinik berhenti merokok, rawatan gantian nikotin, ubat-ubatan untuk kurangkan gian merokok dan kaunseling.

- Pendedahan kepada asap, gas kimia dan habuk perlu dikurangkan selain mengelak menghidu asap rokok perokok lain (perokok pasif).

- Mengambil suntikan vaksin selesema dan kurang bergaul dengan orang ramai ketika musim demam.

- Rawat penyakit dengan ubat mengikut nasihat doktor. Kebanyakan ubat COPD waktu ini sedutan inhaler yang disedut terus ke saluran udara dan mengurangkan kesempitan dan inflamasi saluran udara.

- Ubat sedut juga mempunyai kesan sampingan, namun kurang berbanding ubat makan seperti berdebar-debar dan tangan menggeletar. Pesakit digalakkan menulis nama semua ubat biji dan ubat sedutan untuk rujukan doktor ketika kecemasan. Kalau boleh, simpan ubat dalam kotak supaya tidak lupa makan ubat.

- Eksaserbasi/keterukan COPD. Ini berlaku kerana pesakit COPD mengalami tanda mudah penat, kahak pekat dan berlebihan warna daripada biasa.

- Keadaan ini terjadi apabila pesakit COPD demam selesema, terdedah pada habuk atau jerebu dan pesakit COPD tidak makan ubat seperti diarah doktor.

- Senaman dan rehabilitasi pulmonari sangat penting bagi menguatkan otot pernafasan supaya proses pernafasan menjadi mudah di samping menambah stamina pesakit.

- Diet. Kebanyakan penghidapnya menjadi kurus dan mengalami keadaan reput tulang osteoporosis. Pesakit COPD memerlukan tenaga 10 kali ganda berbanding individu normal untuk bernafas. Pemakanan seimbang memberi pesakit tenaga untuk menjalankan tugas harian.

- Rawatan oksigen. Ia diberi kepada pesakit yang berada di peringkat sangat teruk iaitu pada tahap oksigen dalam darah kurang 90 peratus. Oksigen boleh diberi dengan beberapa cara seperti tangki oksigen atau oxygen concentrator.

Rawatan ini membolehkan pesakit COPD kronik memperoleh kualiti hidup lebih baik.

- Pembedahan. Ia pilihan terakhir dalam rawatan penyakit COPD, namun bukan cara terbaik kerana risiko pembedahan tinggi. Antara pembedahan dijalankan untuk pesakit COPD adalah bullectomy dan pemindahan paru-paru.

- Ubah suai cara hidup jika peringkat COPD sangat teruk, anda mungkin tidak berupaya melakukan kerja harian. Oleh itu, anda mungkin memerlukan bantuan mereka yang terdekat.

Ubah suai adaptasi diri

- Mendapatkan pertolongan ahli keluarga atau kawan untuk tugas penting.

- Simpan semua benda penting di satu tempat berdekatan supaya tidak perlu berjalan jauh.

- Guna pakaian longgar supaya pernafasan tidak susah.

- Rancang sebelum keluar rumah dan sentiasa memastikan pengambilan ubat sebelum keluar rumah.

- Bawa nombor telefon rumah, anak atau kawan supaya boleh dihubungi ketika kecemasan.

- Anda dinasihatkan tidak keluar rumah dalam keadaan kurang sihat.

- Jika hendak meninggalkan rumah untuk tempoh lama (melawat anak di negeri lain), jangan lupa membawa ubat anda (buku catatan ubat-ubatan atau surat rujukan daripada doktor).

- Pengurusan diri sendiri untuk penyakit ini sangat penting kerana kebanyakan pesakit COPD hanya diperiksa doktor tiga atau empat bulan sekali.

- Semua pesakit mesti mencatatkan rawatan penyakit mereka, ikut arahan doktor dan jangan lupa temu janji doktor.

Antara tanda umum masalah paru-paru:

- Sukar bernafas.

- Nafas menjadi pendek (tercungap-cungap apabila bernafas).

- Berasa seperti tidak cukup udara.

- Kemampuan untuk bersenam berkurang.

- Batuk yang tidak surut walaupun mengambil pelbagai jenis ubat.

- Batuk berdarah atau berkahak.

- Sakit atau tidak selesa apabila menarik dan menghembuskan nafas.

Kaedah menjaga paru-paru:

- Berhenti merokok.

- Elak menjadi perokok sekunder.

- Elak persekitaran tercemar.

- Kurangkan penggunaan bahan kimia industri atau domestik.

- Jika bekerja dalam industri berkaitan kimia, pakai topeng penutup hidung.

- Amalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat.

- Kawal penyakit (jika anda menghidap penyakit berkaitan paru-paru).

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

112 views