Hiasan Cantik Tahan Lama

Keindahan bunga hidup yang memukau pandangan mata memberi ilham wanita ini untuk membuka kedai bunga sendiri.

Kedai bunga yang diberi nama Lavieflo itu melambangkan kecintaan dirinya terhadap kesegaran dan keindahan yang dimiliki bunga hidup.

Pemilik bersama kedai bunga Lavieflo, Datuk Marina Mahammad berkata, dia amat cintakan bunga lalu dia mengambil keputusan membuka kedai bunga sejak enam bulan lalu semata-mata mahu memuaskan hatinya yang amat sayangkan bunga.

Sebelum ini dia bersama rakan-rakan menjalankan perniagaan bunga awet di rumah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang menyukai bunga awet.

“Pelanggan memberi sokongan lalu kami membuka sebuah premis yang dihiasi bunga awet segar pelbagai warna,” katanya ketika ditemui di kedainya yang beroperasi di Damansara Utama.

Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai kontraktor, ia tidak menghalangnya untuk aktif membuka kedai bunga awet khas itu kerana mahukan semua orang memiliki bunga segar yang mampu bertahan dalam tempoh paling kurang setahun.

“Jika pandai menjaga, bunga ini mampu bertahan lama sehingga tiga tahun mengikut kaedah penjagaan masing-masing.

“Saya juga menggunakan dekorasi bunga mawar merah yang berusia lebih dua tahun untuk mengindahkan kedai, malah ia kelihatan masih segar seperti baru dipetik daripada pokok,” katanya.

Katanya, dekorasi itu membuktikan bunga yang diawet mempunyai kualiti tinggi seperti bunga segar.

Kekangan masa sering menyukarkan wanita untuk menanam bunga sendiri, jadi amat sesuai mereka memiliki bunga berkenaan untuk menghias rumah sama ada di ruang tamu, meja makan dan dapur.

Menurutnya, kesibukan tugasan wanita juga membuatkan dia terfikir untuk membawa masuk teknologi mengawet bunga dari luar negara yang mampu memberi kepuasan.

“Saya tertarik dengan bunga ini kerana kecintaan pada bunga tetapi tidak mampu menanamnya kerana tiada kemahiran apabila bunga yang ditanam kerap mati.

“Memang sedih apabila memikirkan tidak pandai menanam bunga, namun kini saya gembira selepas menemui kaedah mengawet bunga hidup kerana boleh memiliki bunga segar dalam tempoh lama,” katanya.

Rumahnya kini dipenuhi dengan bunga awet berusia lebih setahun yang kelihatan masih segar.

Sebelum ini, bunga plastik menjadi pilihan, namun kini ramai wanita memilih untuk memiliki bunga awet kerana bukan saja cantik dipandang, malah masih mengekalkan wangian seperti berada di pokok.

Bunga segar biasanya mahal dan cepat layu manakala bunga plastik cantik dipandang ketika masih baru dan mula jemu selepas warnanya pudar.

Namun bunga segar yang diawet bukan saja tahan lama, malah masih mengekalkan tekstur asal yang lembut dan warna asli walaupun dalam tempoh setahun.

Marina berkata, bunga awet itu menggunakan teknologi luar negara yang dibawa masuk untuk dipasarkan di negara ini dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Proses pengawetan bunga mengambil masa 15 hari termasuk masa paling kritikal empat jam pertama selepas dipotong daripada pokok, melunturkan warna dan mewarnakan semula bunga mengikut warna dikehendaki pelanggan.

Bunga itu juga sangat mudah dijaga kerana ia diawet dengan bahan khas dan tidak perlu dijaga dengan rapi.

“Bunga awet ini hanya perlu diletakkan di kawasan yang kita mahukan dan jika berhabuk hanya meniup atau mencuci dengan berus lembut.

“Ia amat sensitif dengan air kerana boleh menjejaskan kualiti dan tidak tahan lama. Oleh itu, kami menunjukkan kaedah penjagaan betul kepada pembeli kerana mahu bunga tahan lama paling kurang dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Kedainya menawarkan tiga jenis bunga iaitu mawar, carnation dan hydrangers dengan harga berpatutan iaitu serendah RM49 mengikut tempahan. Bunga-bungaan terbabit sesuai untuk pelbagai majlis termasuk perkahwinan dan makan malam.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,744 views