Hiasan Manik Tambah Cantik

MENGAMBIL inspirasi gaun koktel serta gabungan busana perkahwinan yang hebat, terciptalah rekaan yang bukan saja sesuai meraikan mempelai tetapi boleh digayakan untuk pelbagai acara. Melihat setiap helaian, ternyata pereka bukan saja mengetengahkan kreativiti menerusi perincian memukau tetapi menerapkan unsur moden dan tradisi pada setiap busana.

Membelek setiap pakaian yang dipamerkan di butik Arma Abd Rahman Wedding Couture nyata mencipta kekaguman tatkala melihat jahitan manik, batu permata dan jemeki disusun cantik pada bahagian tertentu. Walaupun nampak ringkas, keistimewaan dalam pemilihan fabrik serta perincian digunakan menjadi unsur penting yang menjadi pengenalan jenama ini.

Menurut Arma Abd Rahman, seni dalam rekaan bukan saja terletak pada potongan tetapi keharmonian menerusi pemilihan, bentuk, susunan serta jahitan manik.
Keistimewaan ini tidak hanya didapati dengan mengikuti pembelajaran formal tetapi daripada pengalaman untuk melihat mempelai anggun tatkala melayari hari bahagia.

“Selain potongan yang terletak cantik pada tubuh si pemakai, saya mengetengahkan kreativiti menerusi perincian manik dan jemeki yang mungkin tidak diperoleh daripada pereka lain. Apa yang saya tampilkan walaupun nampak ringkas, mempunyai keindahan tersendiri tatkala disarungkan pada tubuh wanita,” katanya.

Bagi menonjolkan kemewahan, bekas penuntut jurusan fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini mempunyai kriteria tersendiri dalam pemilihan fabrik.

Tidak hanya mengamalkan konsep ‘tangkap muat’ tetapi Arma amat teliti kerana di sinilah letaknya kualiti yang menjadi tonggak kesetiaan pelanggan terhadap jenamanya.

“Antara kain digunakan ialah sifon, renda, satin, taffeta dan sutera yang sedikit tebal bagi memberikan alunan segar kepada si pemakai. Selain itu, fabrik ini menyerap peluh, selesa serta membangkitkan keserian apabila ditambah manik dan mutiara swarovski,” jelasnya yang lebih menggemari fabrik polos berbanding bercorak.

Bukan hanya tertumpu kepada gaun persandingan, menyedari pelanggan yang inginkan pakaian yang boleh disesuaikan ke majlis makan malam atau koktel, lantas Arma mencipta potongan sederhana menerusi gaun labuh, baju kurung berpotongan moden dan ilusi kaftan, kemudian ditambah juraian pada bahu dan hujung baju.

Manik ditambah pada bahagian yang menjadi tumpuan seperti bahu, lengan, pinggang, leher dan hujung baju. Hasilnya, ia bukan saja menyerlahkan keanggunan raja sehari tetapi kejelitaan tatkala menghadiri majlis eksklusif mewah.

“Ketika ini rentak dalam pemilihan pakaian pengantin semakin berubah mengikut peredaran zaman. Tiada lagi mempelai yang inginkan busana sarat yang hanya mampu dipakai ketika majlis perkahwinan, sebaliknya potongan moden serta fleksibel sering menjadi tumpuan,” katanya.

Warna segar seperti biru kelasi, jingga, keemasan, merah serta rona pastel seperti putih, krim, kelabu dan perak turut ditampilkan sebagai pilihan. Bagi mereka yang gemarkan rona terang, usah bimbang kerana pemilihan fabrik tidak keterlaluan dan nampak lembut dipandang. Begitu juga dengan warna malap pastinya membangkitkan unsur kemewahan serta eksklusif, apatah lagi sekiranya majlis berkonsepkan dalam taman.

Butik yang terletak di Seri Kembangan ini bukan saja menampilkan busana mewah tetapi juga khidmat jururunding perkahwinan daripada hujung rambut hingga kaki. Malah rekaan pelamin, hantaran serta cenderahati turut disediakan bergantung kepada konsep majlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

825 views