Hidangan Makan Malam Romantik
Munculnya Februari menandakan hadirnya bulan kasih sayang dalam kalangan masyarakat dunia. Biarpun ia tidak begitu diraikan secara meriah di negara ini, Februari pasti meninggalkan sedikit sebanyak memori indah bagi pasangan bercinta.
Bagi menyemarakkan sambutan bulan berkasih sayang ini, Hotel Best Western Premier menerusi restoran Grill 582 menyediakan menu khas bagi pasangan kekasih.
Set makan malam yang hanya dipersembahkan pada 14 Februari ini menampilkan hidangan gabungan laut serta darat bercirikan mewah, tapi dalam suasana penuh santai.
Lokasi romantik di Itali dan Jepun menjadi ilham dalam hidangan Chef Siti Arini Darsom ini yang pasti memberi pengalaman menikmati hidangan yang berbeza.
“Kami cuba tampilkan kelainan pada hidangan pembukaan. Ia menggunakan makanan laut berbanding ayam atau daging yang sering menjadi bahan pilihan dalam restoran sebegini,” katanya.
Untuk permulaan, pasangan disajikan dengan carpaccio tuna yang disediakan bersama salad edamame dan mizuna. Menu ini sememangnya inspirasi dari Jepun dan ia dilengkapkan lagi dengan perencah sos bijan yang menyelerakan.
Chef Sous di Grill 582 itu seterusnya menghidangkan consomme cendawan iaitu sup jernih yang ditambah udang karang serta dititipkan sedikit minyak truffle
bagi meningkatkan lagi rasa kedua-duanya.
Granita anggur putih pula menyusul yang bertindak seperti ‘membasuh lidah’ agar deria rasa bersedia untuk hidangan utama seterusnya. Granita inspirasi suasana romantis di Itali ini berpaksikan pada estetika anggur putih kering dimakan bersama ais sparkling yang mencetuskan kombinasi rasa masam dan manis yang tidak keterlaluan.
Hidangan kambing panggang terus menjadi tarikan bagi hidangan utama yang disajikan bersama ratatouille dan kentang. Andai kambing bukan pilihan seperti penulis, set makan malam ini menyediakan hidangan itik berempah panggang yang dihidangkan dengan kacang lentil dan sos oren.
Penulis jarang malah sering mengelak mengambil itik kerana tidak sukakan rasanya tapi hidangan ini mengubah persepsi penulis.
Tambah Chef Siti Arini, hida-ngan itik ini diambil daripada resipi turun temurun Perancis yang menampilkan cara masakan berbeza yang membuatkan teksturnya lebih lembut serta tidak hanyir.
Jika tidak gemarkan menu berasaskan daging seperti kambing dan itik ini, pe-ngunjung boleh juga memilih hidangan sole florentine iaitu makanan laut yang digoreng sambil dijamah bersama kentang lenyek, sayuran beetroot dan honey pea.
Tidak lengkap hidangan makan malam romantik tanpa diakhiri pencuci mulut menarik. Kek coklat hangat bersama mascarpone atau pavlova berbentuk hati dengan krim beri segar sedia menanti.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, boleh hubungi 03-2272888 atau emel ke duasentral@bestwestern.com.my.