Hijab Untuk Si Kecil
Perubahan terkini gaya hidup masyarakat negara ini menyaksikan sudah ramai ibu bapa Islam membiasakan anak kecil mereka memakai tudung.
Meskipun ada yang menganggapnya hanyalah aliran fesyen, ia sebenarnya menepati apa disyariatkan Islam.
Begitu pun, tidak seperti hijab dewasa, tudung untuk kanak-kanak perempuan sebenarnya agak sukar didapati.
Kebanyakan yang ada di pasaran sekarang memiliki corak serta rekaan tidak sesuai dan ada yang saiznya terlalu besar berbanding raut wajah si kecil.
Tampil menyelesaikan masalah berkenaan, dua rakan karib, Rodzi Mohamed, 35, dan Amziyadi Md Rasid, 35, memperkenalkan himpunan rekaan tudung menerusi Fathiyah’s Dreams yang bukan saja menepati aliran fesyen terkini, malah memberi keselesaan meskipun dipakai seharian.
Menurut Rodzi, jenama berkenaan yang pertama seumpamanya di negara ini dan ia memberi tumpuan kepada koleksi tudung untuk kanak-kanak saja.
Katanya, jenama itu terhasil selepas dia sendiri melalui pengalaman sukar dalam mendapatkan tudung bersesuaian untuk anak sulungnya yang berusia sembilan tahun, kira-kira dua tahun lalu.
“Sejak itu kami berdua mula memikirkan idea untuk mereka sendiri tudung yang bukan saja cantik digayakan, tetapi juga selesa. Bermula dengan mencari material yang sesuai sehinggalah menempahnya menjadi tudung yang cantik.
“Pada awalnya, koleksi itu dijual secara kecil-kecilan kepada rakan terdekat sebelum kami memutuskan untuk membesarkan pasaran perniagaan dalam talian,” katanya.
Kini, jenama Fathiyah’s Dream sudah berusia dua tahun dan dua usahawan ini terus ligat menambah beberapa lagi rekaan untuk memastikan ia relevan dengan kehendak pasaran.
Amziyadi berkata, jenama itu kini memiliki lebih tujuh koleksi dan setiap satunya mempunyai rekaan yang berbeza.
Antara koleksi yang boleh didapati ialah Aimi iaitu tudung dua warna, Hawa (tudung denim dan lycra) serta Iman, himpunan tudung denim saja.
“Bagi kanak-kanak yang meng-gemari tudung bercorak yang memiliki penutup atas (sengkuap), koleksi Sofea paling sesuai untuk dimiliki.
“Selain itu, koleksi tudung fabrik kapas bercorak (Alia) juga tidak kurang menariknya kerana coraknya menepati cita rasa si kecil,” katanya.
Dalam pada itu, rekaan tudung polos tanpa corak juga turut dikeluarkan menerusi koleksi Sarah. Malah, mereka turut menyediakan tudung putih untuk pelajar sekolah.
Bagi si kecil yang berusia bawah dua tahun pula, tudung koleksi Wildan daripada fabrik lycra paling sesuai untuk dimiliki.
Bagaimanapun, tidak lengkap penampilan tanpa memadankan tudung dengan pakaian bersesuaian.
Menurut Amziyadi, jenama berkenaan turut menyediakan pelbagai rekaan pakaian menarik untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
Antara rekaan yang boleh didapati ialah seluar palazo, skirt denim, gaun potongan ekor ikan, jubah denim, gaun labuh, seluar panjang bercorak dan banyak lagi.
“Pemilihan warna pula sudah pastinya rona lembut seperti merah jambu, biru, ungu serta hijau menjadi pilihan utama, tetapi warna lain seperti kuning, merah, coklat juga ada.
“Semua rekaan berkenaan boleh didapati pada harga antara RM45 hingga RM89 manakala untuk tudung pula harganya antara RM23 hingga RM37.
“Koleksi tudung sekolah harganya bermula daripada RM19 dan ia boleh didapati dalam empat saiz iaitu S, M, L dan XL,” katanya.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan rekaan tudung atau pakaian untuk anak, boleh layari laman web www.fathiyahdreams.com.