Hijabers: Sentuhan Islamik

Sebagai Muslimah, Risti Rahmadi yang bekerja sebagai penganjur acara di Indonesia, memakai tudung, mengenakan gincu halal dan sentiasa peka pada waktu solat apabila aplikasi yang dimuat turun dalam telefon BlackBerry miliknya, melaungkan azan lima kali sehari.

Ketika di awal usia 20-an, wanita yang kini menginjak usia 37 tahun itu, sanggup berjimat cermat untuk membolehkannya membeli keluaran terbaru pakaian berjenama Guess dan mekap Revlon. Namun, kini dia hanya membeli produk yang menunjukkan dia bangga menjadi Muslimah Indonesia, malah dia juga berharap mampu mempengaruhi orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Dia adalah ahli Komuniti Hijabers iaitu satu rangkaian perniagaan yang membabitkan wanita Islam. Ini juga sebahagian ledakan pasaran pengguna yang berebut untuk berkongsi pasaran dengan syarikat Barat yang mengambil kesempatan daripada pertumbuhan kukuh di Indonesia.

“Pada pandangan saya, Indonesia sudah menjadi terlalu kebaratan. Generasi muda Indonesia menghabiskan kebanyakan masa mereka di pusat beli-belah dan lupa menunaikan solat,” kata Risti, sambil mengatakan perniagaannya semakin menarik minat pelanggan yang mahu menganjurkan acara bersifat Islamik, sejak dia menyertai komuniti Hijabers.

Ramai kini yang berkongsi pandangan dengan Risti yang mengajak pelanggan membeli barangan Islamik di mana ia mempunyai mesej lebih mendalam, bukan sekadar tabiat membeli-belah. Ia ada kaitan dengan memerangi arus peningkatan pengaruh Barat yang mengancam untuk menghakis nilai Islam tradisional.

Mereka melihat kepenggunaan Barat mempunyai kaitan rapat dengan gejala sosial yang diimport daripada pergaulan seks bebas kepada pengambilan alkohol yang semakin meningkat dan percaya kepenggunaan Islam boleh menjadi pengimbang.

Antara produk Islam yang laris di pasaran negara itu dan membawa banyak keuntungan adalah pendakwah selebriti yang membuat siaran langsung hinggalah ke RomantISLAM, satu perkhidmatan pesanan ringkas yang memberi nasihat berkaitan hubungan berdasarkan ayat al-Quran.

Semakin ramai pereka menampilkan pakaian dan aksesori yang mempunyai sentuhan Islamik, termasuk daripada jenama mewah yang diimport seperti Chanel dan Louis Vuitton.

Di kawasan selatan pinggir Jakarta yang didiami golongan kaya, pereka barangan kemas dan Hijaber, Reny Feby mempamerkan kerongsang berkilauan berharga RM1,511, yang boleh dipinkan pada tudung dan barangan yang lebih mahal seperti cincin berlian bernilai RM151,135.

Wanita berusia 42 tahun itu berkata, 15 tahun lalu, tiada siapa mahu membeli barang kemas jualannya kerana ia dilihat terlalu Islamik dan dia menggunakan slogan ‘Buatan Indonesia’ dengan bangganya.

“Namun sekarang orang Indonesia bangga untuk membeli fesyen tempatan dan bersifat Islamik, malah golongan elit yang membeli barangan kemas dari kedai saya menggunakannya sebagai simbol status,” katanya.

Peningkatan itu juga didorong oleh perkembangan pesat saiz kelas menengah berikutan ledakan ekonomi terbaik Asia Tenggara ketika ini yang mencatat pertumbuhan melebihi enam peratus setahun sejak kebelakangan ini.

Pendapatan tahunan per kapita juga semakin meningkat di Indonesia daripada RM2,721 pada 2003 kepada sekitar RM9,172 pada 2011, seperti yang ditunjukkan oleh Bank Dunia, namun jutaan orang masih hidup dalam kemiskinan.

Menurut pakar dari Indonesia yang kini bertapak di Universiti Kebangsaan Australia di Canberra, Greg Fealy, semakin kuasa pembelian rakyat bertambah, mereka semakin menghampiri Islam secara lebih ketara.

“Ramai golongan alim dalam masyarakat Islam kelas pertengahan mahu menunjukkan kepada orang lain di sekeliling mereka bahawa mereka menjalani hidup yang taat agama, menerusi pakaian mereka, persekolahan, aktiviti beli-belah dan juga pembacaan,” katanya.

Biarpun tidak disangkal sudah ada keinginan bagi mendapatkan produk dengan cita rasa Islam, kumpulan seperti Hijabers yang mempunyai ahli 3,000 orang berharap gaya berkenaan akan terus meningkat.

Organisasi itu yang mempunyai ahli dari seluruh negara, menamakan kumpulan mereka berdasarkan tudung tradisi yang dipakai oleh wanita Islam, banyak mempromosi barangan seperti barangan kemas dan produk kecantikan yang halal.

Mereka juga berada di barisan hadapan kempen yang menentang barangan pengguna dari Barat, yang selalunya ada di pusat beli-belah dan mempunyai banyak cawangan seperti Starbucks.

Pada tahun ini, Hijabers membantah sambutan Hari Valentine yang dianggap menggalakkan pasangan Islam untuk bersifat lebih fizikal dalam menunjukkan kasih sayang di khalayak ramai.

Ia diilhamkan daripada gerakan di Pakistan dengan menamakan semula hari berkenaan sebagai Hari Hijab dan mengedarkan risalah di beberapa bandar yang mengarahkan wanita supaya menutup aurat.

Sebahagian daripada penggunaan Islam yang dilakukan jelas seiring dengan peralihan ke arah Islam yang lebih konservatif dan berkembang di Indonesia sejak kejatuhan Suharto pada 1998.

Bagaimanapun, gambaran keseluruhan kekal kompleks dan bercanggah dalam satu negara yang mempunyai lebih daripada 17,000 pulau.

Walaupun semakin ramai orang membeli produk Islam, terdapat juga ledakan populariti muzik dangdut iaitu versi Indonesia hasil gabungan Arab, Melayu, India dan pop Barat yang terkenal dengan lirik lucah serta pergerakan tarian yang seksi.

Selain itu, semakin ramai yang membeli kompleks perumahan Islamik yang terletak hanya satu kilometer dari lokasi konsert berlangsung di Jakarta, di mana penyanyi seperti Kylie Minogue dan Justin Bieber pernah membuat persembahan yang habis jualan tiket.

Kompleks Bukit Az-Zikra, yang dibina di sekeliling masjid dan pusat kajian yang dibiayai diktator Libya yang dibunuh, Muammar Gaddafi, adalah zon bebas rokok serta alkohol dan orang yang tinggal di sana mesti berpakaian mengikut undang-undang Islam.

Ia bertujuan untuk ‘mengimbangi kehidupan moden, perniagaan dan rutin yang sering membuat orang tidak ambil peduli dan tidak prihatin kepada nilai agama’, menurut laman webnya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

735 views