Hitam, Putih Asas Rekaan

INSPIRASI flora dan fauna berkonsepkan gaya 70-an dengan bingkisan bunga-bungaan melatari setiap helaian busana sama ada pada gaun labuh, blaus pendek atau jaket bercetak dipadankan seluar atau skirt menjadi pilihan wanita moden masa kini.

Berkonsepkan percutian dengan mengetengahkan elemen segar pada rekaan, potongan ringkas dan cetakan pada baju, sekali lagi koleksi Raoul Cruise 13 diperkenalkan selepas diterima baik peminat pada tahun lalu.

Mengetengahkan cetakan sebagai titik tumpu si pemakai, Raoul nyata kreatif dalam menghasilkan jenamanya sendiri apabila memilih rona pastel seperti hitam dan putih sebagai asas rekaan pada hamparan fabrik kapas serta sutera georget untuk padanan skirt dan seluar.

Selain itu gabungan warna terang seperti merah jambu, merah, hijau zamrud dan kuning diperkenalkan sebagai pilihan kepada mereka yang inginkan keceriaan dalam penggayaan. Ia seolah-olah mewujudkan blok warna terutama bagi mereka yang berani mencuba.

Selain flora, cetakan geometri seperti grid bersilang nampak lebih feminin apabila diabadikan pada sutera Shantung yang menampakkan kelangsingan wanita.

Padanan seperti gaun, skirt pendek, skirt labuh, seluar dipadankan jaket, kardigan dan blaus ternyata menampakkan sisi elegan si pemakai dan sesuai digayakan untuk acara koktel. Corak abstrak serta polos direka menjadi helaian yang cukup indah terutama pada gaun dan blaus.

Keunikan Raoul bukan saja pada potongan dan pemilihan warna, tetapi sedikit perincian manik pada bahagian tertentu terutama gaun labuh menambah nilai estetika. Potongan tangan serta kolar memberi keunikan tersendiri. Bagi penggemar jenama ini, Raoul sentiasa memastikan setiap padanan mampu memberi keyakinan kepada wanita.

Walau di mana anda berada sama ada ke pejabat dengan koleksi ringkas atau keluar bersama rakan dan keluarga, padanan Raoul pastinya mampu memberikan gaya tersendiri kepada wanita. Mungkin juga pilihan ini memberi kelegaan kepada mereka yang ingin menghadiri acara karpet merah atau menyempurnakan percutian pada hujung tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,416 views